KUALA TERENGGANU - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji Alam, Kuala Terengganu berjaya ‘menakluk’ Eropah dengan menggondol empat anugerah utama dalam pertandingan 11th European Exhibition of Creativity and Innovation yang berlangsung di Romania pada 16 Mei lalu.

Lebih membanggakan, pasukan inovasi SMK Panji Alam itu berjaya mengetepikan 600 pasukan yang bertanding, melibatkan 100 buah negara.

Empat anugerah yang diterima adalah Gold Medal Award Euroinvent, Special Award Corneliu Group Romania , Special Honour of Toronto Invention Society Canada dan Special Prize Award Euroinvent.

Pengarah Pendidikan Terengganu, Shafruddin Ali Hussin berkata, kejayaan itu cukup membanggakan bukan sahaja bagi Terengganu, tetapi untuk negara.

“SMK Panji Alam yang sebelum ini dikelaskan sebagai sekolah masalah disiplin iaitu sekolah yang mendapat bimbingan dan pemantauan PDRM telah bertukar sebagai sekolah yang membanggakan negara apabila mengalahkan 600 buah pasukan yang bertanding.

“Mereka telah membuktikan dengan keazaman yang kuat dan usaha yang berterusan, mereka boleh berjaya.

“Berdepan dengan pelbagai kesukaran, termasuk bertanding pada bulan Ramadan dan menghadapi masalah makanan halal, tapi demi ingin memartabatkan pendidikan negara, mereka berjaya mengharunginya dan melakukan yang terbaik,” katanya.

Pasukan inovasi itu terdiri daripada lima pelajar, iaitu Rushdina Sofea Rushdan, Siti Nabila Syahirah Roslan, Nur Salsabila Abdul Rahman, Muhammad Ajwad Mohd Zamri dan Abi Aamar Arshad.

Mereka turut diiringi dua guru pengiring, iaitu Guru Sains Wan Salasiah Wan Sulaiman dan Guru Kimia Mohd. Noor Shamsulainee Othman dan Che Engku Noor Aien Che Engku Mahmood bertindak sebagai ketua kontinjen.

Kesemua mereka sebelum ini berlepas ke Romania bagi menyertai pertandingan itu yang berlangsung pada 16 hingga 18 Mei di Palace Culture, Iasi, Romania.

Kontinjen negara tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, 22 Mei lalu.

Hadir menyambut kepulangan mereka, Pengarah JPN Terengganu, Shafruddin Ali Hussin; ADUN Batu Burok Muhammad Khalil Abdul Hadi; pegawai JPN Terengganu; pegawai PPD Kuala Terengganu dan Pengerusi Alumni SMK Panji Alam Adnan Salleh.

Turut hadir, Pengetua Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud, [email protected] Mohamed dan Yang Dipertua PIBG Azlee Ismail Ab Rashid.

 

Pencapaian SMK Panji Alam

1. Gold Medal Award Euroinvent 2019

2. Special Award Corneliu Group Romania 2019

3. Special Honour of Toronto Invention Society Canada 2019

4. Special Prize Award Euroinvent 2019

5. Anugerah emas World Young Inventors Exhibition 2019

6. Johan peringkat kebangsaan Breakthrough Invention Innovation & Design Exhibition 2018   

7. Pingat gangsa International Invention and Innovative Competition 2018

 

Gold Medal Award Euroinvent yang diterima dan Special Award Corneliu Group Romania.

Special Honour of Toronto Invention Society Canada.

Special Prize Award Euroinvent.

Pelajar SMK Panji Alam yang menjadi kebanggaan negara.

Ketibaan kontinjen negara disambut meriah di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, 22 Mei lalu.

Muhammad Ajwad bersama ahli keluarga, rakan-rakan dan warga SMK Panji Alam.

Muhammad Khalil (tiga kanan) menyambut kepulangan guru dan pelajar SMK Panji Alam yang berjaya mengharumkan nama negara.

ARTIKEL LAIN:

'Menjadi guru bukan pilihanku, namun Allah lebih tahu segalanya' - GB SK Beruas

Tulisan Dr Isahak mengenai sistem pendidikan negara dan UEC - Satu pandangan yang membuka mata

Hujan lebat, guna plastik sampah balut anak - Guru pedalaman ini kongsi kisah sesat dalam hutan