JOHOR BAHRU - Johor menghadapi kekurangan guru yang kritikal bagi lima subjek iaitu Sejarah, bahasa Melayu, bahasa Inggeris, bahasa Cina dan Pendidikan Islam.

Exco Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, Aminolhuda Hassan berkata, masalah berkenaan dipercayai berpunca daripada kekurangan guru luar untuk mengajar di negeri itu.

“Masalahnya tiada kemasukan guru dari luar dan sesetengahnya pula tidak mahu pindah ke Johor.

“Kita harapkan kemasukan atau pengambilan mahasiswa untuk menjadi guru boleh dilebihkan kepada anak-anak Johor. Jadi mereka boleh kembali ke negeri ini untuk berkhidmat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ziarah dan Penyampaian Hadiah sempena Hari Guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Universiti, Skudai.

Dalam pada itu, Aminolhuda berkata, keseluruhan guru di Johor mencecah 50,000 orang manakala kekurangan dihadapi pula kira-kira dua peratus daripada jumlah berkenaan.

Sementara itu, beliau berharap semua pihak dapat menerima dan memberi kerjasama kepada Pengarah Pendidikan Negeri Johor yang baru, Azman Adnan.

Katanya, kerajaan negeri berharap Azman mampu menjadikan Johor lebih baik dalam akademik dan ko-kurikulum.

“Semoga beliau meneruskan agenda kerajaan dan dapat mencapai visi serta misi yang ditetapkan sebelum ini.

“Saya harap semua pihak, guru-guru dan ibu bapa dapat menerima pelantikan beliau, sekali gus membantu memperkukuhkan Jabatan Pendidikan Negeri Johor serta meningkatkan pengurusan serta bidang berkaitan,” katanya.

Artikel lain:

Pernah dirotan dan ditampar guru... kini siapa sangka Firdauz dah jadi 'orang kuat' di sekolah

Walau terpaksa tahan sakit, ditahan lapan hari di wad... guru ini tetap tanda kertas

Orang luar seronok naik bot, tapi kami di sini sengsara' - Ini luahan Orang Asli

22 ulasan yang boleh diguna pakai guru untuk slip peperiksaan

Wajib baca kepada yang ada adik beradik! 'Jangan 'share' selagi tak habis baca