SAYUP-sayup di hujung padang kelihatan seorang anak murid saya yang berkerusi roda disorong ke padang oleh seorang rakannya yang selalu setia bersamanya.

Ceria sungguh wajahnya apabila disorong ke padang. Matanya seakan bercahaya. Seronok! Maklumlah, dari tadi dia hanya memerhati dari luar padang sahaja.

Di padang, suara keriuhan murid-murid lain menyertai acara sukan tara amat mengujakan sesiapa sahaja sebenarnya untuk bersama. Murid seusianya pasti tidak sabar-sabar untuk ke padang. Namun, apakan daya dengan kekurangan yang ada pada dirinya menyebabkan dia akur. Pasrah!

Rakan-rakan seusia dengannya dapat berlari, melompat dan berkejaran di padang, dia sekadar melemparkan senyuman tawar. Saya yang mengamati dirinya dari tadi, sesekali melihatnya ketawa melihat gelagat rakan-rakannya di padang.

Begitulah tafsiran kegembiraan bagi setiap insan itu berbeza. Bagi murid ini, dapat melihat kegembiraan orang lain pun sudah amat menggembirakan hatinya. Syahdu rasanya melihat situasi itu. Ustazah doakan dirinya akan diberikan kegembiraan selalu.

Dan, mujurlah ada teman yang sentiasa setia bersama. Tidaklah dia kesunyian. Untunglah dirinya apabila dikurniakan rakan yang baik dan setia.

Saya bertugas sebagai hakim acara lompat tinggi. Saat mereka melewati kawasan acara ini, saya melambai mereka.

“Mai, sat. Ustazah nak ambil gambar ni.”

Mereka pun menghampiri.

“Senyummm...”

Lalu tersenyum simpullah kedua-duanya. Gembira apabila dia juga dapat bergambar di padang biarpun tidak berupaya menyertai sukan tara itu.

Setelah itu, rakannya memakir kerusi roda itu berhadapan dengan lokasi acara lompat tinggi. Tanpa berfikir panjang, bersilalah rakannya itu di sebelah kerusi roda itu. Sedikit pun tidak terniat di hatinya untuk meninggalkan rakannya itu terkontang-kanting di padang. Dia betul-betul ikhlas dan setia. Kasihnya kepada sahabatnya itu, tiada sempadan.

Masya Allah.

Ustazah pula yang sebak.

Semoga persahabatan kalian terus terjalin erat. Ingatlah, bukan semua orang mampu setia bersahabat. Tetapi persahabatan kalian mampu menjadi contoh teladan kepada yang lain.

Beruntunglah kamu!

Semoga kekal bersahabat hingga ke Syurga.

#ustazahsekolahrendah

Sumber: Facebook Mawaddah MN

- Merupakan Guru Bahasa Arab Sekolah kebangsaan Bertam Perdana, Pulau Pinang

ARTIKEL MENARIK:

Murid lain bersesak untuk pulang ke rumah tetapi dia bergegas ke surau untuk solat..Allahuakbar

Tiada petua khusus, anggap al-Quran sebagai sahabat sejati - ini kata Farhatul, pelajar SMAP Labu

Murid dapat E dalam ujian, tapi UPSR, keputusan sangat cemerlang..cikgu ini kongsi formula penting

Murid tahun 1 seronok dapat baju sukan baru..keprihatinan guru ini buat netizen menangis