PEKAN - Ibu kanak-kanak mangsa bunuh, Solihah Abdullah, 35, tidak menyangka individu dianggap seperti adik sendiri sanggup membunuh anaknya.

Katanya, dia terkejut apabila diberitahu pegawai penyiasat bahawa suspek yang mengaku membunuh anak ketiga daripada empat beradik itu melakukan jenayah berkenaan, atas faktor berdendam dengan mereka.

"Demi ALLAH, saya tidak tahu apa masalah dia menyimpan dendam sehingga menyebabkan anak saya dibunuh dengan kejam.

"Saya tak tahu apa menyebabkannya berdendam dengan kami sehingga 'baby' (nama panggilan Siti Masitah Ibrahim) menjadi mangsa.

“Kami sekeluarga melayannya dengan baik seperti adik sendiri, sanggup dia membalasnya begini, biar ALLAH tentukan nasibnya dan saya serahkan kepada pihak polis untuk tindakan undang-undang,” katanya di rumahnya di Kampung Kemahang, semalam.

Solihah berkata, dia sebenarnya sudah lama tidak bertemu dengan suspek yang berpindah ke kampung lain sejak dua tahun lalu dan terkejut melihat kelibatnya di kampung itu pada hari anaknya dilaporkan hilang, 30 Januari lalu.

“Malah dia masuk ke rumah saya, kira-kira jam 7.30 malam dan mengambil telefon bimbit yang saya sedari hilang ketika mahu menghubungi ahli keluarga.

“Telefon bimbit saya ada bersama dengannya ketika ditangkap orang kampung. Dia menafikan ada mengambil anak saya walaupun ada orang melihatnya bersama Siti Masitah pada petang anak saya dilaporkan hilang.

“Saya sendiri ada melihat kelibatnya di rumah sekitar jam 7.30 malam dan mengambil telefon bimbit saya, hanya selepas mayat anak ditemui baru dia mengaku membunuhnya,” katanya.

Reda dengan takdir yang menimpa, Solihah tetap bersyukur kerana mayat anaknya ditemui bagi membolehkan arwah dikebumikan secara sempurna.

“Saya ada dipanggil ke Hospital Pekan untuk diambil darah bersama suami hari ini (semalam) bagi membantu proses pemadanan DNA dengan anak saya.

“Saya berharap semua proses dapat diselesaikan dengan sempurna supaya anak saya dapat dikebumikan,” katanya.

Ini pula kenyataan penuh Ketua Siasatan Jenayah Pahang, persoalan mengenai organ dalaman juga turut dijelaskan.

Berita penuh boleh dibaca menerusi link ini https://www.gpsbestari.com/berita/pahang/siti-masitah-ini-kenyataan-penuh-ketua-jabatan-siasatan-jenayah-pahang-1.922197