SIAPA yang tidak kenal dengan Dr Kamilin Jamilin, pemegang PHD tanpa sebarang pembetulan, dan dinobat sebagai graduan terbaik USIM ini.

Namun, kisah zaman sekolah pensyarah di Fakulti Pengajian Al-Quran dan As-Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ini lebih menakjubkan.

Selain pernah digelar pelajar bermasalah, ponteng dan nakal, beliau juga sentiasa dapat markah bawah 10 selama beberapa tahun.

Namun, pada saat akhir sebelum Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau keluar dari kesuraman. Titisan air mata dan kekecewaan ibu ayah, menyedarkannya untuk bangkit kembali.

Ikuti pengalaman menarik Dr Kamilin, yang boleh dijadikan teladan.

 

+++

 

Nama saya Kamilin Jamilin, dan dilahirkan pada tanggal 11 Mac 1985, di Kuala Lumpur. Saya dibesarkan dalam sebuah keluarga yang minat serta taat pada agama.

Di awal usia lagi, saya sudah didedahkan oleh ayah tentang kepentingan beragama dan berilmu.

Seboleh mungkin, didikan mengenal dan memahami Quran itu diutamakan sebelum mempelajari abjad ABC.

Ayah berasal daripada keluarga yang susah, namun berjaya melanjutkan pengajian sehingga ke  Amerika.

Beliau juga turut menyambung pelajaran sehingga ke peringkat PhD di Britain dan kami adik-beradik sempat membesar di sana ketika pengajian beliau.

Minat ayah untuk mendidik anak-anak dengan ilmu agama muncul setelah berpeluang bergaul dan berkawan dengan beberapa rakan yang berdakwah di sana.

Bermula dari situ lah ayah berazam untuk menerap pengajian agama kepada anak-anak.

Ayah seorang yang tegas dalam mendidik. Seawal usia dua tahun, saya sudah diajar mengenali Quran, dan pada usia empat tahun, saya sudahpun khatam Quran.

Sewaktu di sekolah rendah, saya merupakan seorang pelajar cemerlang yang sentiasa mendapat tempat pertama keseluruhan. Disebabkan ke cemerlangan itulah emak dan ayah membuat keputusan menghantar saya ke sekolah agama untuk menghafal Quran dan mengaji agama.

Namun segala-galanya berubah setelah saya dihantar ke Al-Imam International Institute di Kubang Kerian Kelantan pada usia sembilan tahun untuk menghafal Quran.

Pada zaman tersebut tidak banyak pilihan pengajian tahfiz, dan kebanyakannya berkonsepkan sistem pondok traditional.

Saya memang tak memahami kenapa saya perlu dihantar ke sana dan dipaksa menghafal Quran, sedangkan saya sudah selesa di sekolah yang asal.

Setiap malam saya menangis memikirkan nasib saya, mengapa saya perlu berjauhan dengan keluarga dan sampai bila saya perlu berterusan begini?

Sepanjang berada di sini, saya sukar untuk menyesuaikan diri, ditambah pula sering menjadi mangsa buli dan ejekan rakan-rakan. Lama-kelamaan jiwa saya mula memberontak dan sering ponteng kelas.

Pada peringkat awal dahulu saya suka berebut azan dan sanggup bergaduh untuk menjadi tukang azan. Setiap kali waktu solat saya akan menunggu awal untuk azan dan gemar meniru azan masjid al-Haram dan masjid al-Nabawi.

Walau bagaimana pun jiwa saya mula tertekan, memberontak dan melawan sistem sekolah. Sikap saya berubah hampir 100%! Tidak lagi suka azan, tidak solat dan tidak hadir solat berjemaah yang diwajibkan sekolah. Saya lebih sanggup dirotan dari mematuhi peraturan sekolah yang semakin saya benci pada ketika itu.

Memikirkan masa depan, pada usia 10 tahun, keluarga memindahkan saya ke sebuah sekolah tahfiz di Janda Baik.

Namun, ia hanya mampu bertahan selama sekitar enam bulan. Di situ sekali lagi jiwa saya memberontak dan sering dirotan cikgu.

Saya banyak bertukar sekolah, seterusnya saya dihantar semula ke sekolah lama di Kelantan, sebelum ke Ma’had Tahfiz al-Din, Malim Nawar di Perak pada usia 11 tahun.

Di sana saya lebih teruk di buli kerana bercampur dengan ramai pelajar senior yang rata-rata berumur 14-16 tahun. Di Malim Nawar saya diuji dengan pelbagai penyakit kerana tidak pandai mengurus diri.

Kemudian saya dihantar semula ke Kubang Kerian buat kali ketiga dan kekal di sana sehingga usia 14 tahun. Di Kelantan, perwatakan nakal saya semakin menjadi-jadi. Saya memang tidak belajar langsung.

Tak ambil UPSR atau PMR, saya mencuri, bergaduh, merokok, panjat bangunan setinggi tiga tingkat untuk keluar sekolah,  ponteng semua kelas, sampai cikgu pun sudah tak peduli dengan saya.

Saya hadir ke kelas ataupun tidak langsung tidak diendahkan,  kerana saya dianggap sebagai pelajar bermasalah.

Saya juga pernah mengambil kunci asrama dan apartment tetamu sekolah untuk dibuat kunci pendua, semata-mata untuk tujuan ponteng dan elakkan diri dari solat berjemaah.

Cuma senakal-nakal saya dahulu, saya mempunyai prinsip iaitu tidak suka mengganggu pelajar perempuan dan membuli pelajar lain.

Saya akan menjadi marah jika rakan-rakan mengganggu pelajar-pelajar perempuan atau membuli pelajar yang lebih lemah.

Saya lebih suka mencari masalah dengan mereka yang otai kerana itu lebih membuktikan kejantanan.

Saya pernah memukul pelajar dari China yang lebih tua dua tahun dari saya sehingga mulutnya terpaksa dijahit di hospital USM.

Tidak mempunyai ramai kawan dan sering bergerak sendirian adalah rahsia kenapa saya sering berjaya meloloskan diri dari ditangkap dan tidak kantoi.

Markah kosong

Markah saya selalu kosong sejak bertahun-tahun dan pernah hanya melukis komik di atas kertas peperiksaan.

Insan paling kecewa dan sedih dengan tindakan salah saya adalah emak.

Emak menangis dan bimbang dengan masa depan saya. Apatah lagi setiap kali ujian, kertas ujian saya kosong tanpa markah.

Disebabkan itulah ayah dan emak memindahkan saya kembali ke sekolah yang hampir dengan rumah supaya saya mudah diawasi.

Emak tidak putus berusaha mencari sekolah yang boleh menerima saya. Ketika itu sekolah kerajaan sukar menerima saya kerana rekod buruk dan tidak mempunyai sijil UPSR mahupun PMR.

Tapi mak tidak pernah berputus asa, setelah membuat rayuan di Sekolah Menengah Islam Al-Amin di Gombak, akhirnya guru besar Ustaz Shahrom dan guru kanan Puan Rashida lembut hati untuk menerima kemasukan saya ke tingkatan empat pada usia saya 15 tahun, awal setahun dari kebiasaan. Itupun atas ihsan pihak sekolah.

Waktu tu rasa juga bimbang, macam mana untuk saya kuasai kembali semua mata pelajaran yang sudah bertahun saya tinggalkan?

Berada di tingkatan empat, merupakan ujian besar buat saya. Saya memang tak tahu apa-apa tentang subjek, markah keseluruhan kebiasaannya bawah empat puluh, mata pelajaran Sains, Bahasa Inggeris atau Matematik dan lain-lain memang sentiasa tidak lulus.

Walau bagaimanapun, pada peringkat tersebut, saya masih lagi teruja dengan sekolah dan persekitaran baru tanpa mempunyai kesedaran lagi untuk belajar.

Sinar Harapan SPM

Setelah melalui tahun-tahun suram sebelum ini, semangat saya mula bangkit. Kesedihan dan kekecewaan emak ayah sebelum ini, membuatkan saya mula terfikir tentang masa hadapan.

Biarpun terpaksa belajar pada saat-saat akhir, namun saya tekad, perubahan itu perlu.

Di akhir tingkatan empat sebenarnya masih banyak kegagalan dalam ke semua subjek. Namun pada tahun seterusnya, saya mula berubah dan berusaha.

Pada bulan Mei, ketika berada di tingkatan lima setelah mendapat keputusan semester pertama yang kurang memberansangkan, saya mengambil keputusan untuk fokus ketika belajar.

Mata pelajaran pertama yang saya titik beratkan adalah subjek Matematik yang saya sangat tidak suka dahulu. Tambahan pula saya tertarik dengan konsep pembelajaran yang disampaikan oleh cikgu Zaili guru kelas tambahan Matematik.

Cikgu mengajar saya secara berperingkat-peringkat dari format tingkatan satu sehingga tingkatan lima dengan cara mudah sehinggalah saya mula berminat pada subjek itu.

Setiap hari saya buat latihan untuk pelajaran matematik walaupun di kelas cikgu sedang mengajar subjek lain. Setelah selesai ke semua bab, saya berpindah pula ke subjek-subjek lain.

Alhamdulillah ketika peperiksaan percubaan SPM, saya berjaya mendapat 8A dan seterusnya menjadi pelajar terbaik SPM pada tahun 2001.

Program Persijilan Darul Quran

Berbalik kepada objektif dan impian sang ayah yang inginkan anak-anaknya menjadi penghafaz Quran.  Selepas SPM, saya telah mendaftar masuk ke program persijilan Darul Quran dengan kerjasama UIA pada Disember 2001 yang mengambil masa setahun setengah.  

Kerana ingin cepat menghabiskan pengajian di situ, saya belajar bersungguh-sungguh dan menghafaz al-Quran dalam masa lima bulan sahaja. Seterusnya membuat permohonan agar Darul Quran melepaskan saya bagi mengikuti kemasukan ke universiti pada bulan Mei 2002.

Walau bagaimana pun, permohonan saya tidak berjaya. Saya terpaksa menghabiskan program persijilan tersebut dengan hanya mengulang sepanjang bulan yang berbaki.

Itu pun masih banyak peraturan yang saya langgar, kerana sering pulang ke rumah setiap minggu. Saya juga masih ponteng kelas selain subjek hafalan Quran kerana tidak tertarik pada penyampaian dan isi kelas. 

Jiwa saya yang dipaksa hafal Quran, membuatkan saya hanya fokus pada perkara-perkara yang membantu hafalan Quran sahaja.

Hati saya berat, malah memang tak minat belajar agama ketika itu kerana disebabkan pengalaman dan rakan-rakan agama yang buruk sikap.

Mereka juga suka berbalah tentang beberapa isu dan saling keji mengeji. Saya fikir,  mereka ini mempunyai kebijaksanaan yang rendah, perangai yang teruk. Tiada keistimewaan berbanding pelajar-pelajar biasa.

Kemudian pada tahun 2002 saya melangkah masuk ke Universiti Islam Antarabangsa dalam bidang Senibina. Barang kali kerana minat melukis saya dari kecil serta minat terhadap hasil-hasil seni dan kreatif menyebabkan saya bercita-cita untuk menjadi arkitek.

Ketika di UIA, saya mendapat tahu melalui abang saya Alfisyahrin Jamilin, seorang wakil dari Univerisiti Islam Madinah kini sedang mengadakan sesi temu duga di Perlis untuk pengambilan pelajar baru ke sana. 

Abang bersungguh-sungguh memujuk saya mengikutnya ke Perlis. Pada mulanya saya berat hati kerana tiada minat untuk belajar agama, namun setelah dipujuk untuk sekadar mencuba, akhirnya saya akur dengan kemahuannya untuk ke Perlis.

Saya ditanya pelbagai soalan mudah, namun saya langsung tidak menjawabnya atau sekadar mengatakan tidak tahu. Saya tak kisah jika tidak diterima, lagipun saya tidak tahu berbahasa Arab dan tidak minat langsung dalam bidang agama.

Walau bagaimanapun, rezeki ALLAH tiada siapa yang menduga. Saya tidak menyangka, diterima belajar di Madinah.

Hadis Nabi SAW yang menyebut; “Madinah itu lebih baik untuk mereka, sekiranya mereka mengetahui”, telah memujuk hati saya untuk menerima belajar agama di sana.

Belajar di Madinah

Ketika berada di Madinah, saya lebih banyak bergaul dengan rakan-rakan dari luar negara.

Melalui mereka saya mula menekuni pertuturan dalam bahasa arab serta mendapat inspirasi untuk menyambung pengajian dalam bidang hadis. Biarpun bidang ini kurang popular di kalangan pelajar Malaysia dahulu, di sebabkan ianya sukar.

Tapi saya tekad untuk belajar dan mendalaminya, apatah lagi bidang ini masih kurang pendedahannya di Malaysia.

Di bumi Madinah saya belajar menghargai ilmu dan minat belajar agama sudah mula berputik. Sepanjang tempoh pengajian, saya tidak lagi ponteng kelas atau lambat ke kelas.

Bagi saya kelas adalah prioriti dan amanah yang perlu dipikul, berbanding dengan pengajian luar kelas.

Saya pernah mengalami musibah patah tangan, namun keesokan paginya saya tetap hadirkan diri ke kelas. Saya sanggup tulis nota sendiri dengan tangan kiri, serta merekod pembelajaran dan menulisnya kembali di asrama.

Ketika berada di pertengahan semester, saya terlambat seminit dua menghantar kertas kerana tangan kanan saya yang masih cedera. Namun, Sheikh Su’ud al-Jurbu’iy yang tegas sikapnya tidak mahu menerima kertas jawapan saya.

Menurut Sheikh, kalau hendak lulus mestilah tasmi’ hadis dengan beliau. Saya akur, proses belajar itu pahit, ia bukan semata-mata untuk mendapat markah yang baik sahaja, tetapi demi merebut ganjaran ALLAH SWT. Saya turuti permintaan guru, dengan menghafal sejumlah hadis dan kemudiannya diuji beliau sebagai ganti ujian pertengahan semester.

Alhamdulillah setiap tahun saya memperoleh anugerah mumtaz (cemerlang). Saya banyak mendapat inspirasi daripada sahabat-sahabat dari Yaman yang sentiasa ghairah terhadap ilmu.

Peringkat Sarjana

Setelah tamat pengajian Universiti Islam Madinah pada tahun 2008, saya kemudiannya pulang ke Malaysia dan berkahwin sebelum menyambung peringkat MA di Riyadh untuk tempoh empat tahun.

Biarpun ada yang bersuara: ‘Rugi belajar lama-lama, baiklah dapatkan sarjana di Malaysia atau Britain kerana jauh lebih cepat’.

Namun, saya tetap tekad untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana di Universiti King Saud Riyadh kerana bagi saya tahap bidang hadis di negara-negara Timur Tengah jauh lebih baik.

Seseorang juga pernah menasihati saya agar melanjutkan pengajian di Malaysia atau United Kingdom sahaja, memandangkan tempoh pengajian sarjana di Arab Saudi dalam bidang hadis, paling minima empat tahun.

Namun saya katakan padanya, ‘Sebagaimana modal sangat penting buat para usahawan, ilmu juga adalah modal buat cendekiawan.

Lebih lama saya belajar di sana, lebih besar modal yang saya dapat kumpulkan. Lebih banyak modal, lebih besar kemampuan saya untuk melakukan sesuatu berkaitan bidang yang saya ceburi.’

Saya akui, antara faktor utama saya berazam untuk melanjutkan pengajian  dalam bidang hadis adalah, saya sebenarnya masih kabur  dan halatujunya.

Pembelajaran hadis peringkat sarjana muda masih banyak berteraskan kepada teori dan masih kurang pratikal.

Selain itu saya juga masih belum menemui ‘kunci’ yang betul-betul boleh membuka minat dan kefahaman saya dalam bidang yang saya ceburi.

Di Arab Saudi, minat saya mula bercambah. Saya lebih banyak belajar secara praktikal berbanding teori.

Ketika itu Dr. Ali bin Abdullah As-Sayyah, profesor yang menjadi penyelia tesis saya banyak membantu dan mengambil berat.

Bercerita mengenai tesis sarjana, pada peringkat permulaan ramai di kalangan guru tidak bersetuju dengan pemilihan tajuknya kerana ia dianggap panjang dan berkemungkinan tidak mampu diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan. Namun saya bertekad untuk meneruskan kerana menganggap tajuk tersebut mampu mengasah kemahiran dan mendedahkan saya kepada sumber-sumber dalam bidang hadis yang dianggap penting.

Saya kumpulkan bahan-bahan kajian dalam jangka masa setahun, dan kemudian menghabiskan tulisan kajian yang mencecah 1800 halaman sebanyak 4 jilid dalam tempoh masa kurang dari enam bulan.

Saya juga telah mendapat anugerah tesis cemerlang oleh pihak universiti. Bahkan menurut pihak yang menilai kajian saya itu, tesis tersebut layak dinaik taraf kepada peringkat doktor falsafah (phD).

Tesis sarjana saya berjudul: Mawarid Al-Hafiz Mughlatay Fi Kitabihi  Ikmal Tahzdib al-Kamal, sebuah tesis yang membincangkan sumber-sumber Mughlatay yang meninggal dunia pada tahun 762 hijrah dalam kitabnya Ikmal Tahzdib al-Kamal.

Kitab tersebut merupakan rujukan yang sangat penting kepada para penyelidik dalam disiplin ilmu Jarh & Ta'dil (cabang ilmu hadis) lantaran kandungannya yang berkait rapat dengan rujukan utama bagi mengkaji status kredibiliti para perawi penulis kutub Sittah, iaitu kitab Tahzib al-Kamal karya al-Mizziy yang menghimpunkan maklumat-maklumat perawi kepada kitab-kitab utama karya al-Bukhariy, Muslim, Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasa'iy, dan Ibn Majah.

Kitab Ikmal Tahzib al-Kamal ini merupakan himpunan analisis, penambahbaikan, dan kritikan Mughlutay kepada karya gurunya al-Mizziy. Kitab ini mengandungi banyak maklumat-maklumat penting yang tiada dalam kitab al-Mizziy.

Hal ini berikutan sikap Mughlatay yang dikenali sebagai ilmuwan yang mementingkan pemikiran yang kritis, serta banyaknya himpunan rujukan-rujukan beliau sehingga diibaratkan karyanya sebagai ensiklopedia yang menghimpunkan pelbagai sumber ilmu.

Dalam menghasilkan kajian ini, saya banyak membaca dan menganalisis kitab Mughlatay, dan pelbagai karya-karya beliau yang lain untuk lebih memahami gaya kritisan dan pemikiran ilmiahnya disamping merujuk kepada pelbagai sumber berkaitan.

 Hadis Palsu dan Harapan Pelajar Agama

Berkenaan dengan hadis palsu, Rasulullah SAW pernah mengingatkan kita bahawa sentiasa akan ada pembawa hadis-hadis palsu di setiap zaman.

Namun Rasulullah juga memberitahu kita bahawa sentiasa akan ada pembaharu pada setiap zaman bagi menyelamatkan ummah daripada ancaman golongan yang membawa hadis palsu ini.

Sungguhpun begitu, Malaysia masih lagi memerlukan ramai penuntut-penuntut ilmu yang berkemahiran dalam bidang hadis. 

Justeru, saya menyeru serta menggalakkan pelajar-pelajar dalam bidang agama, untuk menyambung pengajian dalam bidang hadis di Arab Saudi, Jordan, India dan seumpamanya.

Kerana bagi saya suasana dan pembudayaan ilmu di sana lebih kukuh dan menarik.