BANTING - Menceritakan rutin harian anak-anaknya ibu mangsa, Serihayati Ngainan, 48, berkata, setiap kali selepas Maghrib mereka berdua akan mengaji bersama sehingga waktu solat Isyak.

Menurutnya, mereka akan menghadap satu sama lain dan memperbetulkan bacaan al-Quran masing-masing.

Serihayati

“Si kakak akan membetulkan adik, si adik pula akan tegur kakaknya dalam bacaan itu.

“Kemudiannya barulah tunggu solat Isyak dan selepas selesai akan mengulangkaji pelajaran bersama,” katanya sebak menceritakan detik itu ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Banting semalam.

Keadaan rumah mangsa yang terbakar di Kampung Endah Kuala Langat awal pagi semalam.

Serihayati berkata, pendek kata, segala-galanya dilakukan bersama termasuk pembahagian kerja rumah.

Katanya, mereka tidak pernah berpisah sehinggalah naik basikal ke sekolah pun kakak bawa adik sampai ke sekolah.

“Tak sangkalah  mereka nak pergi pun bersama,” katanya sedih.

Dengar jeritan mangsa minta tolong... bapa saudara kesal gagal selamatkan dua beradik                

‘Teriakan minta tolong anak saudara masih lagi dalam ingatan.’ Demikian luahan Khamijas Ngainan, 52, bapa saudara kepada dua beradik yang terkorban dalam kebakaran di rumah di Jalan Utama, Kampung Endah di sini awal pagi semalam.

Jenazah kedua-dua beradik yang maut dalam kebakaran selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Endah banting semalam. Foto: Sinar Harian/Rosli Talib

 

Menurutnya, dia cuba menyelamatkan mereka ikut pintu belakang rumah tetapi api sudah marak.

“Pada awalnya jeritan mereka kuat kedengaran, namun makin lama makin perlahan sehingga tiada lagi suara mereka.

“Waktu tu jam 2.30 pagi saya dan isteri  baru pulang dari berniaga di restoran kami di Kanchong Darat dan sebaik tiba di rumah tiada apa yang berlaku.

“Namun apabila saya masuk saja dalam rumah, saya terlihat api sudah menjulang tinggi, saya dan isteri berlari ke rumah adik,” katanya yang kesal kerana tidak dapat selamatkan mangsa.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, mangsa, Nur Salsabila Mohd Fakrul, 15, dan Nur Ain Sumayyah Mohd Fakrul, 13, tinggal berdua di dalam rumah.

Ibu bapa mereka keluar kerana menyediakan makanan untuk anggota bomba memadamkan kebakaran kilang kimia di Pelabuhan Klang malam semalam.

Khamijas berkata, dia yang tinggal berhadapan rumah adiknya, Serihayati Ngainan, 48, pada ketika itu melihat api sudah mula marak dan berlari untuk menyelamatkan anak saudaranya.

Sementara itu, isteri Khamijas, Juvita Wahab, 51, berkata, suaminya agak terkilan kerana tidak dapat membantu kedua-dua anak saudaranya yang sudah dianggap seperti anak sendiri.

Katanya lagi, dua beradik itu sering tinggal bersendirian kerana ibu bapa mereka berniaga makanan di Hentian Rehat dan Rawat Pulau Indah.

“Kebetulan malam semalam ibu bapa mereka mendapat tempahan menyediakan makanan untuk anggota bomba yang bertugas memadamkan kebakaran di kilang kimia di Pulau Indah,” katanya.

Litar pintas punca kebakaran                

Litar pintas dikenal pasti sebagai punca kebakaran rumah di Jalan Utama, Kampung Endah, Kuala Langat yang mengorbankan dua beradik.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Azizan Tukiman berkata, siasatan awal forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan kebakaran berlaku akibat litar pintas dan tiada unsur jenayah dikesan dalam kebakaran itu.

“Kebakaran melibatkan sebuah rumah kampung yang 100 peratus kayu dan hangus tidak sampai sejam.

“Rumah ini didiami lima sekeluarga dan ketika kejadian hanya ada dua mangsa perempuan adik beradik dalam rumah, abang mangsa di luar untuk makan manakala ibu bapa di Pelabuhan Klang untuk membekal makanan kepada petugas kebakaran kilang,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Pihak bomba sedang menjalankan siasatan kebakaran yang berlaku di rumah mangsa di Kampung Endah semalam.

Azizan berkata, berdasarkan keterangan bapa saudara mangsa, kedua-dua remaja perempuan itu berlari-lari di dalam rumah untuk cuba melepaskan diri namun gagal.

“Kedua-dua mangsa dicam dan disahkan oleh ibu bapa serta bapa saudara, proses bedah siasat juga sudah dilaksanakan dan punca kematian akibat terbakar,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Hafisham Mohd Noor Nur berkata, mayat kedua-dua pelajar tingkatan tiga dan satu Sekolah Menengah Batu Laut, Tanjong Sepat itu terperangkap di dalam bilik tidur mereka ketika api sudah marak.

Menurutnya, mayat mereka ditemui  dalam bilik yang sama oleh anggota bomba dan penyelamat setelah kebakaran dipadamkan sepenuhnya.

“Kami menerima panggilan kecemasan pada jam 2.48 pagi dan dua jentera bomba masing-masing sebuah dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting dan KLIA bersama 17 anggota digegaskan ke tempat kejadian dan tiba 15 minit kemudian.

“Ketika sampai api sedang marak membakar rumah yang diperbuat daripada papan itu dan pasukan kami bagaimanapun berjaya mengawal kebakaran dua minit kemudian dan api dipadamkan sepenuhnya selepas 10 minit,” katanya.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Al-Toyyibin Kampung Endah sekitar jam 4 petang semalam.

Jenazah dua beradik yang maut dalam kebakaran disembahyangkan di Masjid At-Toyyibin Kampung Endah semalam.

[ARTIKEL BERKAITAN : 'Semoga adik-adikku tenang di sana' - Calon SPM SMK Batu Laut]

[ARIKEL BERKAITAN: 'Dua beradik sering menjadi tumpuan di sekolah kerana suka membantu' - Guru]

[ARIKEL BERKAITAN: 'Kami memang rapat... sehinggakan makan pun kami sanggup berlumba' - Ayah cerita gelagat Salsabila]

Artikel lain:

‘Ibu kata, cikgu tak boleh rotan dan apa-apakan kita’- Luluh hati guru dengar ungkapan murid ini...

Link Soalan Percubaan UPSR 2019 - Penting untuk calon buat latih tubi

Guru pakar Sains, Cikgu Zazolnizam kongsi tip mudah lulus Sains (MULUS) UPSR