"SEBAGAI seorang guru, hati saya begitu terusik bila dapat tahu pelbagai kesusahan yang dialami oleh para pelajar.

"Mereka tidak mampu membeli makanan di kantin...malah mereka juga tidak membawa bekal daripada rumah kerana faktor kemiskinan," kata Cikgu Maisarah Hannan Chong Abdullah.

Merupakan Guru Bimbingan dan Kaunseling di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Konven St. Cecilia, Sandakan Sabah, Cikgu Maisarah Hannan berkata, apa yang terjadi pada pelajarnya itu, cukup membuatkan dirinya sedih dan sebak.

"Setiap info yang saya dapat adalah berdasarkan sesi kaunseling bersama pelajar.

"Sepanjang sesi ini, saya akan tanyakan soalan yang pelbagai.

"Antaranya, 'sebelum pergi sekolah, makan atau tidak', 'makan apa', 'beras di rumah ada lagi tak', 'lauk apa yang mak masak' dan macam-macam lagi," ujar guru ini.

Cikgu Maisarah Hannan

Menurut Cikgu Maisarah Hannan, jawapan yang diberikan pelajar melalui soalan-soalan diberikan, sangat menyedihkan.    

"Ramai antara mereka yang tak makan sebelum ke sekolah. Ada juga antaranya yang hanya makan nasi dengan garam.

"Sebab itu, bila ada masa terluang, saya akan pergi ke rumah mereka untuk melihat keadaan rumah dan bertanya sendiri dengan ibu mereka. Dan ya...memang ada antara mereka yang menahan lapar untuk teruskan hidup. Bila beras dah tak banyak, buburlah yang menjadi santapan sekeluarga," katanya sebak.

Projek makanan percuma

Menyedari yang dirinya perlu lakukan sesuatu, Cikgu Maisarah Hannan nekad memperkenalkan projek makanan percuma di sekolah berkenaan.

"Projek makanan percuma ini bermula pada Mac 2018 dengan sumbangan makanan sebanyak 15 hingga 20 pek makanan sehari.

"Alhamdulillah, bilangan tersebut makin bertambah dan kini ia menjadi 50 pek sehari," katanya sambil tersenyum.

Katanya, sumbangan makanan tersebut telah disusun di atas rak makanan yang diletakkan di luar bilik guru (koridor).

Projek minuman percuma baru sahaja dimulakan pada Mac 2019.

"Setiap hari Selasa, Rabu dan Jumaat, saya dan dua lagi rakan guru iaitu Cikgu Memunah M Zain (Guru Kebajikan) dan Ustaz Saifulrizal Taasim akan meletakkan salah satu sumbangan makanan yang diberikan seperti mee goreng, nasi lemak, nasi kuning, roti atau pelbagai kuih muih.

"Pelajar sesi petang (peralihan, Tingkatan Satu dan Tingkatan Dua) yang memerlukan, boleh mengambil makanan berkenaan di rak yang disediakan," jelasnya.

Kerana kejayaan projek makanan percuma itu, Cikgu Maisarah Hannan telah memperkenalkan lagi projek minuman percuma yang dibekalkan pada hari Selasa dan Khamis.

"Sesiapa sahaja warga sekolah (guru-guru, pelajar, tukang kebun, pengawal keselamatan sekolah, pekerja pembersihan) yang lalu di hadapan kaunter air percuma yang saya letakkan di kawasan pintu gerbang sekolah, boleh menikmati minuman percuma ini," ujar guru berusia 34 tahun ini.

Ditanya mengapa beliau memperkenalkan dua projek amal tersebut...ini kata Cikgu Maisarah Hannan.

"Selain bertujuan untuk menggembirakan pelajar, kedua-dua projek ini juga saya wujudkan untuk membuka ruang dan peluang pada rakan-rakan guru yang lain untuk menyumbang. Dan alhamdulillah...kedua dua objektif saya ini telah tercapai dengan izin-Nya. Alhamdulillah," katanya.

Projek berjaya

SMK Konven St. Cecilia menyambut baik projek berkenaan.

Namun begitu, pada peringkat permulaan pelaksanaan, terdapat juga sedikit aduan yang mengatakan berlaku kesesakan di tempat rak makanan itu.

"Pelajar berebut keluar kelas tiap kali loceng rehat berbunyi. Mereka juga berebut nak ambil makanan. Ada yang ambil sampai dua pek. Ada juga yang ambil guna tangan kanan sedangkan di tangan kirinya sedang memegang bekal makanan yang di bawa dari rumah.

"Untuk atasi masalah ini, setiap kali tamat perhimpunan, saya dan seorang rakan guru disiplin akan memberi nasihat pada semua pelajar.

'Tolong jangan berebut, pastikan yang benar-benar layak sahaja yang ambik. Jangan ambik hak orang lain, kesian pada kawan-kawan kamu yang miskin tak makan sebab tak ada duit'

"Berbulan bulan juga nasihat dan tazkirah ini diberikan pada pelajar. Kemudian, barulah timbul kesedaran sedikit demi sedikit. Dan sekarang alhamdulillah tiada lagi isu berebut. 50 bungkus makanan yang disediakan sentiasa cukup," jelas beliau.

Tular sekelip mata

"Saya sebenarnya terkejut bila projek kecil saya ini menjadi viral.

"Yang menariknya, ada beberapa guru dari beberapa buah sekolah di Semenanjung menghantar mesej dengan mengucapkan terima kasih kerana telah memberi inspirasi kepada mereka, untuk membuat perkara yang sama kepada pelajar. Alhamdulillah," ujarnya.

Justeru, Cikgu Maisarah Hannan mengharapkan agar lebih banyak sekolah atau guru-guru yang dapat melaksanakan projek makanan dan minuman percuma agar lebih ramai pelajar yang dapat manfaatnya.

"Murninya projek ini kerana ia bukan hanya membantu pelajar yang kurang berkemampuan tapi ia juga dapat membuka ruang dan peluang untuk orang ramai bersedekah.

"Saya yakin, jika ada seseorang yang dapat laksanakan projek amal seperti ini untuk kali pertama, pasti akan ada ramai guru lain, pentadbir, ibu bapa, orang awam yang akan turut sama menyokong dan menyumbang untuk projek ini. Wujudkanlah lebih banyak suasana kegembiraan di sekolah," ujarnya.

Sebarkan kasih sayang di mana jua!

INFO

- Projek makanan percuma bermula Mac 2018 dengan menggunakan duit poket Cikgu Maisarah Hannan.

- Selepas projek terlaksana selama sebulan, beliau mula menerima sumbangan kewangan daripada rakan-rakan guru dan kerani sekolah.

- Projek minuman percuma pula, juga bermula Mac 2019 dengan permulaan dana daripada Cikgu Maisarah Hannan.

- Selepas pelaksanaannya, guru ini menerima sumbangan daripada pentadbir dan guru-guru.

- Ada antaranya memberikan wang tunai. Tidak terkecuali menyumbangkan bahan mentah seperti gula dan oren sunquick.

Artikel Menarik:

Berkat kegigihan tiga guru ini, pasukan bola dari sekolah di tengah belantara muncul juara MSSD

"Berehatlah muridku..."- Catatan hati guru arwah Mejar Zahir ini buat ramai sebak

Ramai meremang dengar suara merdu dua cikgu cantik dari Kuala Pilah ini

'Cantiknya' - Enam pelajar ini terkejut dapat pujian daripada Raja Permaisuri Agong

Cikgu K A Razhiyah terima Anugerah Puteri Maha Chakri 2019