"KAMAL, pergila amik ikan sekor dua kat sungai, buat lauk.

"Mak nak ikan apa?

"Aku boleh pergi tangkap ikan ikut jenis yang emak aku order.

Begitulah perkongsian guru bahasa Arab Sekolah Kebangsaan (SK) Sendayan, Ustaz Mohd Zaimi Yusoff.

Bercerita mengenai pengalaman lalu tentang kehidupan seorang anak kampung berasal dari Kampung Dura, Bukit Betong, Kuala Lipis dalam 50KM dari bandar Lipis.

Mari kita ikuti perkongsian beliau.

Ustaz Mohd Zaimi @Kamal

+++

Sekadar Bercerita.. Untuk yang sudi membaca..

Aku menulis untuk berkongsi pengalaman yang aku rasa unik dan sangat istimewa.

Aku dibesarkan tanpa jalan raya, elektrik dan air paip.

100 meter di belakang rumah, mengunjur sungai Tanum yang sangat kaya dengan pelbagai jenis ikan dan sumber bekalan protein untuk kami sekeluarga.

Apa yang uniknya?

Kebanyakan masa, bila emak hendak masak nasi (gunakan dapur kayu), mak akan bagitau.

"Kamal, g la amik ikan sekor dua kat sungai, buat lauk"

Apa yang lagi unik? Aku akan tanya mak "Mak nak ikan apa"?

Aku boleh pergi tangkap ikan ikut jenis yang emak aku order.

Kalau baung, aku tahu batang mana baung menyorok. Kalau lampam, aku tahu lubuk mana aku perlu tuju.

Kalau udang galah, aku tahu setiap lubang yang ada udang, kalau kenerak, aku tahu jeram mana aku kena terjah.

Kerana masak nasi gunakan dapur kayu, ia akan ambil masa yang sedikit lama dan sempat untuk aku ke sungai, menyelam tangkap ikan.. dan balik untuk mak masak.

Tp kalau mak teringin ikan-ikan yag agak rare seperti tengalan atau krai.. Mak akan bgtahu beberapa hari lebih awal.. Sebab ikan-ikan itu agak sukar untuk ditangkap.

Adakalanya, aku menyelam ditebing sebelah sini, sedang sekumpulan gajah merayap mencari makan ditebing sebelah sana.

Itu semua sebuah memori yang tercicir dibelakang.

Jasa guru.. telah membawa aku keluar dari hutan rimba dan membina hidup di hutan batu. Tabtibau.

+++

 

Kata Ustaz Mohd Zaimi kepada GPSBestari, Kamal adalah nama samaran di kampung.

"Ibu saya memanggil dengan nama Kamal kerana saya selalu menangis ketika kecil.

"Saya pandai berenang sejak sebelum masuk sekolah lagi. Tiada siapa yang ajar.. mungkin sudah biasa dengan sungai, tau-tau sudah pandai berenang," katanya.

Menurutnya, beliau menyelam menggunakan cermin menyelam dan senapang buat sendiri daripada besi dan getah lastik.

"Tak pasti ia boleh bertahan berapa dalam air.. tapi agak lamalah jika saya mengintai baung di celah kayu.

"Memang boleh kenal jenis ikan kerana boleh lihat dengan jelas ketika memakai cermin menyelam yang ala-ala 'swimming goggles'," jelas beliau.

Katanya lagi, rakan karibnya ketika itu hanya arwah adiknya sahaja sebab rumah memang jauh daripada orang lain.

"Banyak aktiviti kami lakukan termasuklah menjerat burung.

"Adik beradik lelaki semuanya mahir selok belok hutan dan sungai," kata ustaz yang mempunyai tujuh adik-beradik itu.

Kata Ustaz Mohd Zaimi, cikgu yang paling diingati beliau sehingga kini ialah Cikgu Chin Boon Long yang ketika itu bersekolah di SK Aur Gading.

"Sangat banyak jasanya kepada saya dan tidak terbalas," katanya.

Sekarang, Ustaz Mohd Zaimi turut menghantar anak-anaknya ke kelas Renang di Kompleks Sukan Air Paroi.

Sesekali balik kampung, Ustaz Mohd Zaimi masih lagi menjaring, cari siput, mengutip pucuk paku sebagai sedikit pengalaman kepada anak-anak.

Sebelum ini, Ustaz Mohd Zaimi turut pernah mengajar di SK Sawah Dato Mersing dan SK Jalan 4 Bandar Baru Bangi.

Artikel menarik:

'Saya buat cara old school. Guna Whatsapp aje' - Guru lain boleh ikut cara Cikgu Ain tak pening

Guru ini buat video cara mudah 'login' Google Classroom sebagai murid.. mohon ibu bapa bantu

Patutlah ramai cikgu buat Google Classroom...rupa-rupa ini faktornya

11 nota asas Matematik yang wajib dan sepatutnya murid tahap dua kuasai

Mudahnya tanda jawapan murid di telefon, ini kaedahnya yang boleh cikgu cuba