“Wah..si polan tu tayang kejayaan anak dialah kat Facebook..Nak menunjuk lah tu..Ish, tak sukalah”

“Dia ni lagi..asyik-asyik tunjuk keputusan peperiksaan anak dia jer..Orang lain pun ada anak yang pandai juga..Tak de lah macam si pompuan ni..Rimas tau"

Inilah kata-kata yang sering kita dengar kalangan netizen bila ada mak ayah pamer kejayaan cemerlang anak di laman sosial.

Sebenarnya, salah ke cara yang dilakukan itu? Adakah mak ayah perlu simpan kenangan manis si anak dalam diari sahaja?

Perkongsian Ustaz Nazri melalui facebooknya itu mungkin boleh meredakan rasa marah netizen di atas kejayaan anak orang lain.

Jom kita ikuti

***

Mutakhir ini, sudah jadi trend, ibu bapa mengupload gambar kejayaan anak masing-masing di laman sosial, seperti FB. Lantas, ada netizen kurang senang dengan fenomena ini.

Ia dikatakan akan mendukacitakan ibu bapa atau anak-anak yang tidak berjaya. Ia juga dikatakan antara punca anak-anak tertekan. Lalu, disebabkan inilah barangkali... ia juga mendesak kerajaan menghapuskan sistem peperiksaan. Barangkali.

Benarkah begitu?? Sekali lagi saya mohon berbeza pandangan. Saya tidak melihat fenomena ini sebagai “ancaman” yang membawa tekanan kepada anak-anak JIKA IBU BAPA ITU BERSIKAP POSITIF DAN BERSYUKUR.

Mengapa disalahkan kepada mereka yang mengupload gambar kejayaan?

Salahkah mereka ingin mengabadikan kenangan indah mereka di laman facebook mereka?

Yang salahnya kita. Mengapa kita tidak berfikiran positif sahaja?... Oo.. anaknya berjaya. Itu rezeki dia. Barangkali saya tidak kena teknik nya. Mungkin rezeki anak saya belum tiba... Jika kita berfikiran positif seperti ini, sudah pasti tiada tekanan buat kita.

Mengapa kita tidak bersyukur memiliki anak.? Walaupun anak kita kurang berjaya, dia tetap anak kita. Kejayaan akademik bukanlah syarat utama bahagia. Tetapi, jadikan lah akhlak yang paling utama.

Hari ini saya meraikan kejayaan anak-anak murid saya. Sebagai guru, saya mahu lihat anak-anak murid saya berjaya menaiki pentas anugerah ini. Lebih-lebih lagi lah anak saya señdiri.

Namun, kelibat anak saya sendiri tidak kelihatan di pentas. Apakah patut saya tertekan? Tidak! Kita kena percaya kepada rezeki. Rezeki Allah hanya Allah tahu... Ia bukan terletak di atas kertas ataupun sijil.

Peluklah anak kita yang kurang berjaya itu.

Sayangilah dia. Berilah keyakinan kepadanya. Jangan calarkan hatinya dengan membanding-bandingkan dengan anak-anak orang lain. Jadikan gambar-gambar yang melintas di wall facebook anda sebagai pendorong sahaja. Bukannya tekanan supaya anda dapat sebagai mana orang lain dapat.

Walaupun anak saya kurang berjaya, mendapat nombor 20 daripada 56 orang murid, namun ia bukanlah penghalang untuk saya berbangga dan bergembira bersamanya.

Saya tidak malu untuk katakannya... Saya tetap ajak dia bergambar di pentas keramat itu, tanpa sedikit pun rasa kesal.

Ingat...Jangan hanya bergambar bila anakmu berjaya sahaja.

Dialah anak saya. Dialah Anugerah Allah kepada saya. Dialah yang akan mewarisi apa yang saya ada suatu hari nanti. Dialah darah daging saya. Mengapa harus saya bersedih, hanya kerana dia tidak cemerlang dalam ukuran akademik sahaja?

FIKIR2KAN!!!

#NazriAlkeluangi

Nota: Bunga yang anakanda saya pegang tu pun pinjam dengan orang

 

Sumber: Facebook Ustaz Nazri (Nazri Alkeluangi)