Kangar - Bertemakan Ceritera Rakyat, guru Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Perempuan (SMKAP) Kangar menyambut hari guru dengan mengenakan pakaian yang serba klasik dan kemelayuan.

Pengarah projek, Dr Abdul Jalil Ramli berkata, sambutan Majlis Hari Guru kali ini amat meriah apabila seramai 732 pelajar, 71 guru dan 35 ibu bapa yang terlibat dalam menjayakan majlis ini cukup 'sporting'.

"Majlis ini dirasmikan Pengetua SMKAP Kangar, Shakirah Ahmad selaku pengetua baru selepas persaraan Shabariah Othman.

"Pelbagai aktiviti yang dijalankan antaranya sukan rakyat iaitu congkak, menganyam ketupat, batu seremban, musang berjanggut, boling kelapa, dan tuju kasut," katanya.

Guru Perempuan SMKAP Kangar yang manis berbaju songket dan klasik Melayu.

Guru lelaki yang berpakaian seperti pendekar SMKAP Kangar bersama Dr Abdul Jalil (tengah).

Beliau yang juga Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) berkata, selain acara padang, acara dalam dewan turut diadakan seperti persembahan sketsa oleh wakil ibu bapa dan nyanyian seterusnya perarakan masuk 30 biji kek mewakili setiap kelas sebagai gimik perasmian.

Selain itu, guru, pelajar dan ibu bapa turut disajikan dengan hidangan menu tradisi Perlis iaitu pulut bersama ikan masin beserta kuih muih tradisional pada sebelah pagi manakala untuk jamuan tengah hari mereka dihidangkan dengan menu kampung pajeri nenas, kerabu, ikan bakar, ulam dan sambal belacan.

"Guru diarak masuk dengan paluan kompang, sirih junjung dan bunga manggar untuk ke Dewan Az-Zahra.

"Warga SMKAP Kangar amat teruja dengan sambutan kali ini kerana tema kali ini agak menarik," katanya lagi.

Sambutan hari guru pada tahun ini merupakan pertama kali diuruskan oleh PIBG sama ada dari segi tema majlis, dekorasi pentas yang berkonsepkan suasana rumah kampung dan peralatan kraftangan tradisi yang disumbangkan oleh ibu bapa serta guru.

Shakirah Ahmad berkata, beliau amat sukakan suasana majlis itu kerana kesemua guru, pelajar dan ibu bapa 'sporting' apabila diminta untuk bermain atau membuat persembahan memandangkan baru pertama kali menyambut hari guru di SMKAP Kangar.

"Saya ingin berterima kasih kepada pihak PIBG, staf, guru dan semua pelajar yang memeriahkan sambutan hari guru tahun ini," katanya.

Aidi Helmi Mohamed membuat persembahan mewakili ibu bapa.

Nur Syaza Kholim fokus untuk memenangi acara sukan rakyat boling kelapa.

Zubir Don dan Idris Ahmad membuat persembahan silat semasa Majlis Sambutan Hari Guru SMKAP Kangar.

Warga SMKAP Kangar juga telah mengembalikan nostalgia sukan rakyat dalam acara tuju kasut.

Ruzaimi Othman cuba menjatuhkan pin dalam slot sukan rakyat boling kelapa sambil diperhatikan pasukan lawan Idris Ahmad (kiri), Fakhruddin Yaali (tengah) dan Abd Waffi Abd Halim (kanan).