Tidak seperti anugerah lain yang pernah dimenangi sebelum ini, Rise Educator Award 2021 memberikan satu nilai yang sangat mahal bagi guru Sekolah Kebangsaan (SK) Luagan, Cikgu Muhammad Nazmi Rosli, 28, apabila tercalon sebagai 10 finalis pendidik bagi anugerah anjuran Taylor’s College, baru-baru ini.

Pencalonan itu dilakukan oleh seorang ibu kepada murid di sekolah lamanya, SK Long Sukang, Lawas, Sarawak iaitu Jenny Bulan Gelawat.

Dalam poster pencalonannya, Jenny berkongsi pelbagai usaha yang dibuat Muhammad Nazmi atau lebih dikenali dengan nama Cikgu Nazmi terhadap murid dan juga penduduk kampung bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam mendapat pendedahan mengenai perkembangan semasa.

Menurut Jenny, Cikgu Nazmi mencuba pelbagai cara untuk mendidik anak-anak di pedalaman itu melangkaui persekitaran pedalaman mereka.

"Anak-anak kami tak pernah ke kolam renang, Cikgu Nazmi buatkan untuk mereka daripada 200 keping plastik sampah.

"Anak kami tidak pernah ke kedai dobi, Cikgu Nazmi ubah kelas menjadi dobi. Anak kami tak pernah menaiki kereta api, Cikgu Nazmi buatkan satu menggunakan tiang katil. Walaupun tiada internet dan elektrik, Cikgu Nazmi buat semuanya menggunakan sampah sarap dan bahan terbuang," katanya.

Jenny turut berkongsi mengenai usaha Cikgu Nazmi untuk menghantar bahan pembelajaran ke kampung mereka dengan berpanas berhujan menaiki ruang belakang Hilux sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mengulas mengenai pencalonan yang diterima itu, Cikgu Nazmi yang mengajar subjek Bahasa Inggeris berkata, beliau sangat tersentuh dan terharu dengan usaha yang dibuat oleh ibu bapa SK Long Sukang dan menganggap ia satu perhargaan yang tidak ternilai buat dirinya sepanjang bergelar pendidik.

"Situasi ini sangat berbeza dengan pertandingan anugerah yang pernah saya sertai sebelum ini kerana ia dibuat oleh ibu bapa yang menghargai tugas saya sebagai pendidik di sekolah berkenaan.

"Mengambil kira kesukaran yang perlu dilalui ibu bapa untuk ke pekan bagi mendapatkan capaian internet untuk mencalonkan saya sudah cukup membuatkan saya tersentuh dan terharu dengan susah payah dan pengorbanan mereka.

"Ini kerana, di Kampung Long Sukang tiada capaian internet dan ibu bapa perlu ke pekan terdekat untuk mendapatkan internet yang mana perjalanan mengambil masa selama empat hingga lima jam.

"Saya berpendapat itulah cara yang digunakan oleh ibu bapa di kampung berkenaan untuk mencalonkan saya kerana sehingga hari ini, saya belum berpeluang untuk bertemu mereka bagi menyatakan rasa terima kasih saya terhadap percalonan ini," katanya kepada GPS Bestari.

Rise Educator Award adalah anugerah untuk mengiktiraf dan menghargai kalangan pendidik dalam menyampaikan ilmu dan berbakti kepada masyarakat.

Calon yang mendapat paling banyak tanda suka di Facebook akan dipilih sebagai pemenang sekali gus menerima hadiah wang tunai sebanyak RM2,000, manakala individu yang mencalonkannya akan mendapat RM500.

Cikgu Nazmi menggunakan barang-barang terpakai untuk menghasilkan simulasi di dalam kelas.

Menurut Cikgu Nazmi, sudah tentunya beliau mengharapkan kemenangan dalam anugerah berkenaan kerana mahu ia menjadi sumbangan terakhir untuk SK Long Sukang memandangkan beliau tidak lagi mengajar di sekolah itu.

"Jika saya menang, kemenangan ini bukan untuk saya tetapi untuk murid-murid saya di SK Long Sukang dan ibu bapa mereka yang gembira dengan pendekatan yang saya gunakan dalam mendidik anak-anak mereka," katanya.

Cikgu Nazmi bersama anak-anak murid di SK Long Sukang.

Berkongsi pengalaman menjadi pendidik di sekolah pedalaman seperti SK Long Sukang, Cikgu Nazmi berkata, murid-murid di kampung berkenaan memang agak ketinggalan dengan perkembangan dunia luar berbanding murid-murid di bandar.

"Ditambah pula kekangan kekurangan infrastruktur seperti elektrik dan internet menyebabkan saya menggunakan pelbagai kaedah untuk membawa dunia luar ke dalam bilik darjah melalui pelbagai aktiviti simulasi termasuklah membuat kolam renang dan kedai dobi.

"Apabila murid-murid ini didedahkan dengan situasi sebenar melalui simulasi yang dibuat, mereka bukan saja dapat belajar silibus yang ditetapkan dalam buku teks tetapi dalam masa yang sama mendapat ilmu mengenai nilai-nilai murni yang lain," katanya.

Cikgu Nazmi berkata, beliau bercadang untuk berkunjung ke kampung berkenaan bagi berjumpa sendiri dengan ibu bapa yang mencalonkan namanya seterusnya menyatakan penghargaan di atas pencalonan yang dibuat.

"Saya sentiasa mendoakan anak-anak murid saya terus berjaya dalam pelajaran masing-masing dan mendapat lebih banyak pendedahan mengenai dunia luar melalui pembelajaran mereka di dalam dan luar kelas," katanya.

Artikel menarik

Berdepan gangguan seksual atau jenaka rogol? Ini langkah yang guru-guru perlu buat, mohon hadam

Ego ibu bapa punca anak memberontak