KUALA TE­RENGGANU – ALUMNI Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji Alam di sini mengambil inisiatif mengumpul dana untuk menyediakan alat pengimbas haba inframerah automatik bagi kegunaan sekolah tersebut.

Pengerusinya, Adnan Salleh berkata, alat berteknologi itu wajar digunakan di sekolah kerana mampu menjimatkan masa guru menyaring suhu badan murid di sekolah yang mempunyai pelajar melebihi 500 orang itu.

“Alat pengimbas suhu berteknologi tinggi ini memang patut ditempatkan di sekolah. Oleh kerana kekangan kewangan, kami sebagai alumni akan bantu mencari dan mengumpul dana mencukupi untuk menyumbang alat ini.

“Selain alat pengimbas suhu berteknologi tinggi, dana yang dikumpul juga akan digunakan untuk menyediakan pelitup muka dan cecair pembasmi kuman untuk kegunaan pelajar,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Menurut Adnan, menjadi tanggungjawab alumni menyumbang kepada sekolah sebagai tanda penghargaan buat warga pendidik SMK Panji Alam.

“Jadi kita harap semua ahli alumni sama ada aktif atau tidak sama-sama menyumbang bantu sekolah kita. Sumbangan boleh disalurkan terus ke akaun CIMB bernombor 86-0253144-3 atas nama Alumni Sekolah Menengah Kebang­saan Panji Alam,” katanya.