KEMAMAN - Demi memacu kecemerlangan sekolah ke aras lebih tinggi, Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gajah diberi penjenamaan baharu dan kini dikenali sebagai SESIGA.

Nama SESIGA yang mudah disebut supaya menjadi sebutan orang ramai adalah akronim daripada nama sekolah berkenaan iaitu suku kata SE diambil daripada perkataan Sekolah, SI (Pasir) dan GA (Gajah).

Guru Besarnya, Zabidah Sulaiman berkata, penjenamaan baharu itu adalah perubahan dibuat pihak pentadbiran sekolah untuk meningkatkan kecemerlangan dalam semua aspek seterusnya menjadi contoh kepada sekolah lain.

“Tumpuan kita kepada kemenjadian sekolah dan murid. Sebab itu serentak dengan pengenalan SESIGA, kita turut lancar slogan baru tahun ini iaitu Fly SESIGA Fly, Fly Higher.

“Slogan ini adalah target yang kita letak kerana kita mahu terus terbang tinggi dan capai apa yang kita inginkan seiring dengan kehendak Pejabat Pendidikan Daerah  Kemaman, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dan Kementerian Pendidikan,” katanya.

Pelancaran itu diadakan serentak dengan perasmian Galeri SESIGA Gemerlapan dan SESIGA D’My Cafe disempurnakan Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Kemaman, Idris Bidin.

Turut hadir, Pengarah Intan Wilayah Timur (Intim), Asri Mohamed Ali; Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SESIGA, Anuar Ismail serta wakil Bank Rakyat Cawangan Kemaman. SESIGA juga merupakan sekolah angkat Intim dan juga Bank Rakyat.

Sasar lapan calon

dapat semua A

Menurut Zabidah, SESIGA mahu memastikan semua muridnya berjaya mencapai kecemerlangan dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

“Kita mahu meningkatkan prestasi murid dalam pencapaian UPSR. Tahun ini kita miliki 22 calon dan kita letakkan target  lapan calon memperoleh semua A.

“Ke arah mencapai target ini, kita mulakan Program Cerah Minda iaitu kelas tambahan petang sejak selepas sambutan Tahun Baru Cina yang lalu dan Program Kembalilah Sayang iaitu kelas hujung minggu. Di samping itu, aspek kerohanian turut ditekankan apabila setiap hari kita adakan solat berjemaah melibatkan murid dan guru, selain tazkirah selama lima minit setiap hari,” katanya.

Ditanya mengenai Galeri Gemerlapan, kata Zabidah, galeri itu mempamerkan penghargaan dianugerahkan kepada sekolah tersebut untuk meningkatkan kerja buat (prestasi) warga SESIGA.

Katanya, galeri itu adalah cerminan keterujaan guru kerana walaupun sekolah mereka kecil dan terpencil, tetapi mampu meraih anugerah hebat antaranya Anugerah Persatuan Ibu Bapa dan Komuniti Terbaik daerah, negeri serta kebangsaan dan juga Anugerah Tempat Keempat Terbaik UPSR (2016) Daerah.

Kafe lambang penyatuan

Mengulas lanjut, Zabidah berkata, sebagai tanda penyatuan hati antara warga SESIGA dan Idris, nama ketua pegawai pendidikan daerah itu turut diabadikan di kafe sekolah tersebut yang baru dilancarkan.

Katanya, huruf D dalam nama SESIGA D’My Cafe diambil sempena pangkal nama Deris (lazimnya dalam loghat Terengganu nama Idris disebut Deris), sementara perkataan My pula adalah merujuk kepada seluruh warga SESIGA.

“Serentak dengan penjenamaan baru, kita naik taraf kemudahan sekolah dengan mewujudkan ruang santapan atau jamuan dikenali sebagai SESIGA D’My Cafe ini untuk menghargai sokongan semua pihak,” katanya.

Yakin SESIGA mampu

jadi sekolah hebat

Sementara itu, Idris melahirkan keyakinan SESIGA dapat dimajukan menjadi sebuah sekolah yang hebat dan dikenali di peringkat lebih tinggi berdasarkan komitmen jitu pihak pengurusan sekolah diterajui Zabidah.

Bagaimanapun katanya, pencapaian murid perlu seimbang, selain turut hebat dalam kegiatan sukan dan kokurikulum.

“Atlet memanah negara, Khairul Anuar Mohamad adalah anak kelahiran Pasir Gajah, jadi ambillah aura Khairul Anuar yang hebat dalam sukan memanah hingga berjaya menggegarkan dunia dengan pencapaian luar biasa agar SESIGA juga mencapai kejayaan serupa.

“Saya juga berhasrat untuk mewujudkan program sekolah tanpa sampah untuk menyuburkan amalan sekolah bersih di semua sekolah di Kemaman. Saya lihat SESIGA berpotensi untuk jadi sekolah rintis sebab keluasan sekolah ini tidak begitu besar,” katanya.

 

Sekolah angkat Nafida Ventures

Dalam program itu, SESIGA turut diumumkan secara rasmi menjadi sekolah angkat sebuah syarikat minyak dan gas, Nafida Ventures Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif Nafida Ventures, Mohd Nor Azhar Hassanusi memberitahu, bentuk sokongan tertumpu kepada pembangunan sukan khususnya bola sepak dan bola jaring agar SESIGA dapat menjadi tempat melahirkan atlet pelapis negara.

“Anggaran kasar kita salurkan RM7,000 setahun kepada sekolah ini yang menjadi sekolah angkat pertama kita,” katanya.

Nafida Ventures yang beroperasi sejak enam tahun lalu turut memiliki dua anak syarikat iaitu Nuyu Travel and Tours (agensi pelancongan) dan Nuyu Maju Trading (perkhidmatan bersih bangunan dan landskap).