MARANG - Walaupun berstatus orang kurang upaya (OKU) dan mempunyai ketinggian kira-kira 80 sentimeter, ia tidak menghalang Mohd Syazwi Zayan Zamri, 7, mengikuti pembelajaran di sekolah aliran perdana.

Malah murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek itu dikatakan enggan memasuki sekolah pendidikan khas, sebaliknya mahu terus kekal bersama rakan-rakannya di sekolah itu.

Zayan dilahirkan pada 20 Julai 2012 dikategorikan sebagai OKU fizikal, disarankan memasuki sekolah pendidikan khas, namun dia masih berpeluang untuk belajar di sekolah itu.

Ini kerana, proses penelitian terakhir bagi menilai perkembangan anak kepada pasangan Zamri Ismail, 44, dan Shazila Che Syafie, 34, itu masih lagi dijalankan sebelum sebarang keputusan diambil.

Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, SK Tasek, Mohd Adnan Ramli ditemui Sinar Harian mengesahkan perkara itu berkata, Zayan tidak pernah dipinggirkan dalam aktiviti melibatkan murid seusianya.

“Zayan juga bertuah kerana sepanjang berada di sekolah, semua cikgu memberi perhatian kepadanya, malah rakan-rakan sekelasnya juga sentiasa membantu memberikan tunjuk ajar,” katanya.

Murid istimewa itu dilahirkan tidak cukup bulan sehingga terpaksa ditahan di wad selama dua bulan, namun membesar tanpa sebarang masalah.

Sementara itu, bapa Zayan mengakui sepanjang anak lelakinya di sekolah, semua cikgu memberi perhatian, malah sepupunya di sekolah sama turut membantu menjaganya.

“Saya harap Zayan tidak mengalami sebarang masalah kesihatan seterusnya membesar dengan sihat seperti kanak-kanak lain seusianya,” katanya.