KUALA BESUT - Pengetua dan seorang guru lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bukit Puteri di sini bersyukur kerana masih berpeluang meraikan sambutan Hari Guru bersama warga pendidik dan pelajar sekolah itu semalam.

Pada Selasa lepas, Mohamad Nawi, 53, dan Wan Zulkifleamin Wan Omar, 44, nyaris maut apabila terlibat kemalangan di Kilometer 375, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dekat Bukit Besi, Dungun.

Dalam kejadian itu, kereta Mercedes Benz dipandu Mohamad terbabas dan ditembusi besi penghadang jalan.

Ketika itu mereka dalam perjalanan pulang ke Besut selepas menghadiri sambutan Hari Guru peringkat negeri di Kemaman.

Wan Zulkifleamin berkata, semasa tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu ketuanya itu tiba-tiba hilang kawalan dipercayai akibat hujan lebat.

MOHAMAD

Katanya, ketika itu Mohamad terus memanggil namanya sebagai isyarat memberitahu kereta sudah hilang kawalan.

“Cikgu Mat (Mohamad) sebut ‘Cikgu Wan, ALLAH’, maka saya terus pegang bahagian pemegang pada bumbung kereta dengan erat dan berserah kepada Tuhan untuk menentukan nasib saya dan Cikgu Mat.

“Selepas kira-kira 30 meter Cikgu Mat cuba mengawal kereta, akhirnya kereta itu terbabas dengan berpusing kemudian bahagian belakang merempuh penghadang jalan sebelum terbalik,” katanya.

Wan Zulkifleamin berkata, walaupun kenderaan remuk teruk, mereka berdua tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kami sendiri bagai tidak percaya dengan apa yang berlaku. Syukur kerana saya sedikit pun tidak luka, begitu juga dengan Cikgu Mat. Ramai yang tidak percaya memandangkan keadaan kereta yang teruk.

“Saya bersyukur kerana Tuhan selamatkan kami dan syukur kerana dapat hadir meraikan sambutan Hari Guru peringkat sekolah bersama rakan guru, pelajar dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG),” katanya.

Menurut Wan Zulkifleamin, itu kejadian kali kedua dialaminya selepas kali pertama di Sungai Koyan, Pahang pada 1996 apabila kereta dipandunya terbabas, namun dia bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan.

Sementara itu, Mohamad tidak dapat hadir ke sekolah semalam kerana perlu menyelesaikan urusan berkait kemalangan itu.

Beliau yang masih trauma dengan kejadian itu meluahkan rasa syukur kerana tidak mengalami kecederaan tetapi bercadang untuk menjalani pemeriksaan lanjut.

“Walaupun tidak dapat hadir ke sekolah hari ini (semalam) tetapi saya bersyukur kerana masih berkesempatan untuk bersama dengan guru dan pelajar SMK Seri Bukit Puteri. Syukur ALLAH masih panjangkan umur saya dan Cikgu Wan Zul (Wan Zulkifleamin),” katanya ketika dihubungi semalam.

Majlis Sambutan Hari Guru peringkat sekolah itu dirasmikan Pengerusi PIBG, Mohd Husaimi Husain dan Mohamad diwakili Guru Penolong Kanan Pentadbiran, Mazlan Mohamed.

Sambutan berjalan lancar dan meriah dengan penglibatan warga sekolah serta PIBG.

Bagaimanapun di sebalik kegembiraan tersebut, terselit berita sedih apabila bekas pengetua sekolah itu yang kini Pengetua SMK Nasiruddin Shah, Wan Abdul Razak Wan Din, 57, meninggal dunia di Hospital Besut, awal pagi semalam akibat masalah jantung.

Wan Zulkifleamin (duduk, kanan) bersama Mohd Husaimi (duduk, enam kiri), guru dan ahli jawatankuasa PIBG SMK Seri Bukit Puteri semasa sambutan Hari Guru peringkat sekolah itu
semalam.

Artikel menarik:

Dua lepasan SPM ini terkejut subjek Gagal, rupa-rupanya A setelah semakan semula dibuat

Tajau usia 500 tahun perlu dimusnahkan... Ustaz Malik amhu Aki jujur bercerita dan ini yang berlaku

'Sporting' betul cikgu SK NOng Chik ni... seronoklah murid tengok cikgu mereka dah bertukar karakter

Selipar lusuh dikutip lalu direka menjadi mainan sendiri... idea pelajar ini tarik perhatian netizen

Sains Pertanian bakal diperkenalkan semula di sekolah