DUNGUN - Tindakan pantas seorang murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Dungun mengejutkan ibu dan adik-adiknya daripada tidur berjaya menyelamatkan mereka daripada rentung dalam kejadian kebakaran di Kampung Sura Tengah di sini semalam.

Nur Adriana Batrissya Abdullah, 11 yang juga anak sulung daripada empat beradik itu menyedari rumahnya terbakar pada kira-kira jam 1 pagi.

Ibunya, Aslinda Jusoh, 32, berkata, dia bersyukur kerana anak sulungnya bertindak pantas sebaik menyedari kejadian itu.

“Saya tergamam seketika apabila anak sulung kejutkan saya beritahu rumah terbakar. Dia juga kejut semua adik-adik.

“Kami cepat-cepat keluar dari rumah kerana api marak dengan  cepat dan saya cuma sempat capai kad pengenalan dan dokumen penting sahaja,” katanya.

Susulan kejadian itu, rumah didiami lima beranak terbabit musnah 100 peratus dan mereka tinggal sehelai sepinggang.

Nur Adriana Batrissya (kiri) dan ibu serta tiga adiknya tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran semalam.

Kebakaran itu berjaya dipadamkan oleh sepasukan pegawai serta anggota Balai Bomba dan Penyelamat Dungun yang bergegas ke lokasi kejadian menggunakan dua jentera selepas menerima panggilan kecemasan.

Aslinda yang merupakan pembantu kantin di SK Seri Dungun berkata, ketika kejadian suaminya bekerja di Melaka.

Nasib lima beranak itu mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik yang menghulurkan sumbangan wang tunai kepada mereka sekeluarga.

Wan Hapandi berkata, bantuan segera seperti pakaian sekolah, pakaian harian dan makanan akan diserahkan.

“Kita akan cuba berbincang dengan kerajaan negeri untuk membantu daripada segi bantuan membina rumah baharu atau bantuan lain yang dapat meringankan beban mereka,” katanya.

Baca:

Tip akhir menjelang UPSR, guru ini kongsi rahsia cemerlang dalam penulisan bahasa Melayu

Guru ini kongsi tip mudah, bagaimana nak 'power' penulisan bahasa Inggeris UPSR

Guru ini perkenal teknik 'ulat beluncas hijau' bantu murid menulis karangan dengan baik

Cikgu Mohamad Safuan kongsi 18 fakta penting persoalan tentang Bumi dan Sains Angkasa KSSR

Pertukaran Pelajar Malaysia-Jepun, perkasakan jaringan antarabangsa