KUALA TERENGGANU – BADAN korporat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diharap dapat menyumbang alat pengimbas haba inframerah kepada sekolah sebagai satu tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Ikan di sini, Ahmad Zamri Sulong berkata, sumbangan tersebut penting bagi mempercepatkan urusan mengimbas suhu murid yang hadir ke sekolah.

Menurutnya, walaupun pihaknya sedar alat pengimbas haba inframerah lebih mudah berbanding alat pengimbas suhu biasa namun sekolah tidak mampu menyediakan mesin itu ekoran keka­ngan kewangan.

“PIBG amat menyokong usaha penggu­naan alat ini tapi kita tidak mampu untuk beli kerana selain harganya tinggi kita juga banyak komitmen lain perlu dipenuhi termasuk penye­diaan cecair pembasmi kuman dan sebagainya.

“Jadi kita harap syarikat korporat dan GLC dapat bantu kerajaan sumbangkan alat ini kepada sekolah. Jika tidak mampu beri semua, boleh utamakan sekolah pinggir dan luar bandar yang mempunyai ramai murid.

“Selain syarikat dan GLC, alumni sekolah dan mana-mana pihak yang berkemampuan juga boleh turut serta menyumbang beli satu alat di satu sekolah bagi meringankan tugas guru,” katanya di sini semalam.

Ahmad Zamri berkata, penggunaan alat pengimbas suhu biasa akan menyebabkan beban guru bertambah kerana ia memakan masa.

Katanya, SK Kubang Ikan yang mempunyai lebih 800 murid dan lima alat pengimbas suhu digital menunjukkan nisbah satu alat digunakan untuk mengimbas suhu kira-kira 160 murid.

“Banyak masa akan diambil, jadi kita berharap kerajaan dapat fikirkan perkara ini dengan menyediakan mesin automatik. PIBG juga akan berusaha dapatkan sumbangan supaya perkara ini dapat direalisasikan,” katanya.