KUALA TERENGGANU - Sepanjang hampir sebulan Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), segelintir netizen telah melemparkan pelbagai kenyataan yang memperkecil kredibiliti dan mengguris hati golongan pendidik apabila mendakwa mereka hanya 'bercuti'  menyebabkan pelajar ketinggalan dalam pelajaran.

Hakikatnya, ramai yang tidak tahu walaupun tidak bertugas seperti golongan di barisan hadapan, sesi persekolahan yang terpaksa ditangguhkan bukanlah 'lampu hijau' untuk golongan guru berehat, sebaliknya mereka perlu memastikan sesi pembelajaran diteruskan menerusi pelbagai platform dalam talian yang disediakan  Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Apatah lagi bagi guru-guru yang turut memikul tanggungjawab sebagai ketua atau pentadbir bagi platform dalam talian berkenaan kerana mereka juga perlu mengajar dan memastikan semua guru di Malaysia dapat menguasai teknik pembelajaran itu dengan baik.

Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Marang, El Gamillo Habibun Tan ketika dihubungi Bernama berkata antara yang sedang mendapat sambutan hangat ialah perkongsian video pengajaran secara maya oleh sekumpulan guru menerusi Kumpulan Cikgootube di saluran Telegram.

"Cikgootube menampilkan sekumpulan guru dari seluruh negara yang berkongsi bahan pengajaran mereka mengikut subjek melalui aplikasi Youtube di bawah seliaan Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP) KPM, mengikut sukatan pengajaran yang terkini.

"Setakat ini, kira-kira 3,500 guru dari seluruh negara telah menyertai kumpulan Telegram Team Cikgootube yang berkongsi pelbagai video pengajaran dan tutorial malah, ada di kalangan mereka membuat rakaman pengajaran melalui Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP) di negeri masing-masing dan hasil dari rakaman tersebut disiarkan di rancangan TV Pendidikan melalui saluran TV OKEY (RTM)," katanya.

Beliau yang juga Jurulatih Kebangsaan Cikgootube bersama rakan lain di Kumpulan Telegram Apple Teacher Community (ATC iChampion MY) turut mengadakan pelbagai tutorial pembangunan profesionalisme kepada guru-guru yang menggunakan iPad, setiap malam sejak PKP bermula.

Rujukan laman sesawang mereka boleh dicapai di pautan https://www.cikguel.com, https://www.atcichampion.my/ dan https://cikgootube.net/.

Bagi Pengerusi Kumpulan e-DIDIK Malaysia, Dr Syed Abi Ghufran Syed Ahmad Al Idrus pula, PKP adalah tempoh mencabar buat dirinya kerana perlu menganjurkan bengkel dan kursus dalam talian kepada semua guru di Malaysia agar mereka dapat menguasai kemahiran dan kaedah mengajar yang terbaik seiring kemajuan teknologi komunikasi maklumat.

"Jadual bengkel memang sentiasa penuh siang dan malam mengikut kesesuaian guru terlibat di seluruh negara agar mereka dapat menyesuaikan diri dengan segera untuk meneruskan sesi pembelajaran secara dalam talian.

"Memang platform e-DIDIK ini telah lama wujud namun ini adalah kali pertama semua guru 'wajib'  mengaplikasikan ilmu dengan membuat latihan di alam maya.

Kami gabungkan kepelbagaian kemahiran pembelajaran yang ada dari semua guru di Malaysia agar dapat digunakan untuk membantu guru lain menguasai kemahiran ini pula dengan baik melalui bengkel yang dijalankan," katanya yang mengajar subjek Pendidikan Islam dan Bahasa Inggeris di SK Wakaf Mempelam di sini.

Guru di SK Gong Balai Marang, Kamariah Awang yang bertugas sebagai pentadbir dalam Channel Digitalclassroom pula berkata pihaknya telah menyusun perancangan lebih awal dengan merakam video pembelajaran untuk dimuat naik ke platform YouTube.

"Kandungan pembelajaran dalam talian mestilah interaktif agar anak murid seronok dan ceria...pelbagai aspek perlu dititikberatkan antaranya elemen muzik, animasi, kuiz, audio dan reka bentuk grafik yang menarik.

"Sejak akhir-akhir ini, maklum balas ibu bapa mengenai platform pembelajaran dalam talian sangat positif dan ramai yang semakin selesa menggunakannya untuk melakukan ulang kaji bersama anak-anak di rumah," katanya. - Bernama

Tip menarik:

Nota Sejarah untuk calon SPM baca dan buat ulangkaji di rumah – Perkongsian Cikgu Sharifah Afida

Perkongsian kuiz online Perniagaan SPM daripada Guru Cemerlang SMK Bakar Arang

'Panduan langkah demi langkah bina Google Classroom sendiri berserta video' - Cikgu boleh cuba ni

Guru ini buat video cara mudah 'login' Google Classroom sebagai murid.. mohon ibu bapa bantu