KUALA TERENGGANU - Halal Development  Corporation Berhad (HDC) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi menubuhkan Pusat Innovasi Halal di negeri Terengganu sekali gus meluaskan kerjasama akademik, dari sudut latihan dan penyelidikan.

Majlis menandatangani MoU itu disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari dan Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar dengan disaksikan oleh Pengerusi  Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman di Majlis Perasmian Program Jelajah Halal Malaysia anjuran HDC di Hotel Grand Continental, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Hairol Ariffein berkata, sejajar dengan visi HDC untuk menjadikan halal sebagai pilihan pertama dalam meneroka perniagaan dan misi HDC untuk menyediakan lebih ramai tenaga kerja mahir di dalam industri halal, kerjasama dengan UMT itu bertujuan meningkatkan dan meluaskan kerjasama akademik, dari sudut latihan dan penyelidikan serta mempromosikan jalinan kerjasama kedua-dua belah pihak.

Katanya, kerjasama itu menunjukkan pentingnya industri halal dalam era ekonomi baru memandangkan industri halal global sangat besar dengan permintaan yang mencecah USD3 trilion setahun.

"Pelbagai peluang perniagaan dan prospek pengajian serta tambah nilai ke atas inisiatif pembangunan bakat dan pekerjaan berkualiti menanti dalam industri ini. Oleh itu, UMT sebagai institut pengajian tinggi (IPT) yang pertama di Terengganu yang bekerjasama  dengan HDC diharap dapat meningkatkan penyelidikan dan pembangunan halal dan seterusnya mewujudkan Pusat Inovasi Halal  di Terengganu,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari

Dr Nor Aieni pula berkata, kerjasama dengan HDC untuk memperkuatkan ekosistem industri halal itu memperkukuhkan lagi komitmen universiti untuk menyediakan nilai tambah kepada pelajar UMT.

"Ia sejajar dengan usaha kita dalam memastikan pelajar UMT dilengkapi dengan segala kemahiran dan pengetahuan untuk berjaya dalam industri halal tempatan dan global seterusnya  membuka banyak peluang kerjaya kepada mereka di masa depan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, Bank Islam gembira dapat bekerjasama dengan HDC dalam memberikan nilai tambah kepada pelanggan.

"Produk dan perkhidmatan kami tidak terhad kepada pelanggan perseorangan atau perkhidmatan pengurusan tunai sederhana sahaja tetapi juga untuk memenuhi kepercayaan perniagaan yang lebih bersesuaian dengan PKS mengikut keadaan dan suasana perniagaan yang mencabar sekarang.

"Sebagai Bank yang memajukan kesejahteraan untuk semua, kami percaya bahawa kolaborasi ini akan memberikan sokongan yang diperlukan untuk mengekalkan perniagaan, terutamanya PKS, seterusnya mengembangkan industri halal negara ke tahap yang lebih tinggi," katanya.

INFO MENGENAI HDC
- Selain diiktiraf sebagai Badan Peneraju Industri (Halal) Negara oleh Kementerian Sumber Manusia,  HDC juga diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) sebagai agensi pembangun Standard Pengajian Halal bagi IPT di Malaysia.
- HDC telah menghasilkan lebih daripada 60,000 tenaga kerja mahir halal sejak tahun 2007.
- Tahun ini, fokus HDC tertumpu kepada penempatan pekerjaan kepada golongan terlatih ke dalam lebih daripada 8,000 syarikat halal dari dalam dan dari luar negara, yang berpotensi sebagai bakal majikan.
- Selain daripada menyediakan latihan professional halal, HDC juga menawarkan kepakarannya dalam memudah cara bagi pemain industri untuk mengorak langkah ke dalam pasaran halal melalui perkhidmatan konsultansi dan nasihat pakar industri, khidmat pemadanan perniagaan serta perkhidmatan “Halal Integrated Platform”.

Artikel menarik

Cikgu Aidil Azahar aktif dalam dunia kebajikan, jadi sumber rujukan warga guru

'Setahun sebagai KPPM, saya akui cabaran paling getir ketika negara berdepan Covid-19' - Dr Habibah