KUALA TERENGGANU - Sebanyak 2,668 murid dari lapan sekolah rendah di Terengganu menerima barangan keperluan persekolahan dan peralatan kebersihan diri sumbangan Institut Teknologi Petroleum Petronas (Instep).

Ketua Pegawai Eksekutif Instep, Idris Ibrahim berkata, antara barangan disumbangkan menerusi program 'Kembali Ke sekolah' 2021 adalah alat tulis, pelitup muka, pengimbas suhu serta bahan bacaan berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

"Kami berharap sumbangan ini dapat mengurangkan kerisauan murid dan keluarga mereka dalam menempuh sesi persekolahan berikutan pandemik Covid-19 masih menular.

"Instep juga akan terus meningkatkan usaha dalam menyumbang ke arah kesejahteraan masyarakat selaras dengan strategi utama tanggungjawab sosial korporat Kumpulan Petronas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara sekolah yang terpilih menerima sumbangan itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Rakit, SK Pechah Rotan, SK Pagar Besi, SK Bukit Wan dan SK Maras.

Idris berkata, program itu dilaksanakan oleh Instep dengan kerjasama Persatuan Isteri-Isteri Kakitangan & Kakitangan Wanita Petronas, Jawatankuasa Masjid Al-Ehsan dan Badan Kebajikan Islam Petronas.

"Bagi membantu murid-murid dari keluarga kurang berkemampuan, inisiatif ini juga melibatkan kempen menderma dalam kalangan kakitangan Instep yang berjaya mengumpul lebih dari RM13,000 untuk menampung kos pembelian barangan disumbangkan," katanya. - BERNAMA

Artikel menarik

Kelas terbuka berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu, tenang dan mendamaikan

Pelajar wajib pelajari pendidikan literasi kewangan, ini nasihat penting pelatih kewangan