KUALA BERANG - Proses membaik pulih dua bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Landas di sini, yang rosak akibat ribut dijangka siap sepenuhnya sebelum sesi persekolahan 2020 yang bermula Januari depan.

Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Shafruddin Ali Hussin berkata kerja-kerja membaik pulih itu  melibatkan peruntukan RM400,000 daripada Kementerian Pendidikan.

"Pelajar di 17 kelas yang terlibat dengan kerosakan itu akan belajar sementara di bangunan Tingkatan Enam yang kosong sehinggalah kerja baik pulih selesai.

"Kita yakin ini (kerja-kerja membaik pulih) tidak akan menjejaskan persiapan pelajar untuk menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga dan Sijil Pelajaran Malaysia tidak lama lagi," katanya kepada pemberita selepas meninjau kerosakan di sekolah berkenaan hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Dua bangunan SMK Landas rosak dilanda ribut, kerugian kira-kira RM400,000]

Dalam kejadian ribut kira-kira 3 petang semalam, struktur atap, siling dan kekuda di bangunan akademik tiga tingkat serta keseluruhan atap di bengkel kemahiran hidup (bangunan setingkat) sekolah itu diterbangkan angin sejauh 200 meter.

Shafruddin berkata pihak forensik Jabatan Kerja Raya (JKR) akan melawat sekolah berkenaan dan membuat penilaian awal mengenai anggaran kerosakan sebenar kerja membaik pulih itu.

"Sekiranya kos baik pulih melebihi peruntukan disediakan, jabatan akan memohon peruntukan tambahan daripada Kementerian Pendidikan berserta laporan penuh daripada JKR.

"Pada masa ini, sesi pembelajaran masih berjalan seperti biasa namun mereka tidak dibenarkan berada di dua bangunan yang terjejas itu bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini," katanya.

Terdapat 315 pelajar di sekolah itu, dengan 140 daripadanya tinggal di asrama berdekatan. - Bernama

Tip Menarik:

Skor A Matematik UPSR...Cikgu Mohamad Hakim kongsi 11 contoh soalan bersama langkah pengiraannya

10 topik Sains wajib ulang kaji menjelang UPSR - Ramalan Guru Pakar Sains, Cikgu Zazolnizam

Teknik GPS cara Cikgu Shahrul...calon pasti dapat jawab dengan mudah Sains (Kertas 1) UPSR