KUALA NERUS - Murid Berkeperluan Khas (MBK) juga mampu mencintai bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) jika dibimbing secara berterusan oleh pelbagai pihak.

Pengerusi National STEM Movement, Profesor Datuk Noraini Idris berkata keyakinan itu berdasarkan kajian dan pemantauan dengan kerjasama 20 universiti awam dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang menjadi peneraju bagi negeri Pantai Timur.

"Kalau dahulu kita fokus pada golongan tertentu, tetapi kini kita turun padang untuk membantu mereka mencintai STEM. Semua murid berpeluang termasuk golongan B40 dan MBK," katanya kepada pemberita di Program Discover UMT dan Perintis STEM 2020 di UMT di sini semalam.

Beliau berkata di Terengganu, hanya murid MBK di Sekolah Kebangsaan Padang Hiliran, Kuala Terengganu sahaja yang terlibat dengan STEM dan ia merupakan kajian rintis sebelum diperluas ke sekolah lain.

Sementara itu, Pengarah Pusat Asasi STEM UMT Profesor Madya Dr Laili Che Rose berkata sejak Disember 2019, pihak UMT telah menerima dana sebanyak RM20,000 daripada Kementerian Pendidikan bagi menggerakkan program tersebut dan sekali gus memberi peluang kepada golongan MBK mengembangkan kebolehan mereka dalam bidang STEM.

Beliau berkata antara langkah yang diambil ialah memperkenalkan STEM dalam bidang reka cipta dan robotik kepada pelajar sekolah yang terlibat.

"Selain itu, UMT menjalin kerjasama dengan sebuah syarikat robotik bagi mengajar pelajar asasi STEM sebelum pelajar ini menjadi fasilitator dan pembimbing kepada murid MBK dan pelajar dari 32 sekolah angkat STEM UMT,” katanya. - Bernama

Artikel Menarik:

Usaha guru ini cipta konsep pusat sumber DIY tarik minat pelajar ke PSS

Tak tahan tengok pelajar tak mampu beli makanan di kantin...cikgu ini sanggup sedia makanan percuma

Menusuk kalbu doa habis kelas.. ustazah ini kongsi kuasai hati, minda. Murid pun seronok!

Seronok cikgu dengan baju batik pun siap menari pusing-pusing lagi

'Saya terpaksa tinggalkan kamu semua...maafkan cikgu, maafkan cikgu'