SETIU - Masih ramai pelajar yang berpakaian seragam sekolah didapati tidak memakai topi keledar ketika menunggang atau membonceng motosikal.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Zulkarnain Yasin berkata, ramai pelajar melakukan kesalahan tersebut walaupun sedar sikap negatif itu membahayakan nyawa mereka sendiri.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mengejut di sebuah sekolah menengah di Jertih mendapati 75 pelajar tidak memakai topi keledar daripada 115 pelajar yang menggunakan motosikal ke sekolah, pagi semalam.

“Pemeriksaan lanjut juga mendapati 40 kes kesalahan teknikal dikesan seperti tiada cermin sisi pandang belakang, lampu tidak menyala dan nombor pendaftaran tidak mengikuti spesifikasi ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa operasi pemeriksaan mengejut diketuai Ketua Stesen Penguatkuasa JPJ Air Sejuk, Setiu, Che Mohd Hisham Che Jamaluddin.

Hadir sama Pegawai Keselamatan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Terengganu, Ramli Jusoh.

Zulkarnain berkata, pemeriksaan mengejut itu adalah program advokasi untuk mendidik pelajar mematuhi undang-undang jalan raya.

Kata Zulkarnain, pihaknya akan mengambil tindakan termasuk saman atau sita motosikal  sekiranya pemeriksaan seterusnya mendapati pelajar masih tidak mematuhi peraturan,” katanya.