KUALA TERENGGANU - Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan COVID-19 bukanlah waktu 'berbulan madu' terutama bagi calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Ujian Pencapaian sekolah Rendah (UPSR) di Terengganu.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Salim Ab Ghani berkata ini kerana perkembangan akademik mereka tetap dipantau, dengan setiap sekolah mempunyai cara tersendiri dalam memastikan pelajar mereka tidak terlalu leka dan mengabaikan pelajaran sepanjang tempoh itu.

"Saya sangat menggalakkan komunikasi antara ibu bapa dan guru kelas melalui aplikasi WhatsApp atau Telegram agar pelajar dapat mengulang kaji subjek atau topik tertentu sepanjang tempoh ini berkuat kuasa.

"Alhamdulillah, di Terengganu memang guru kelas ada memaklumkan kepada ibu bapa mengenai platform pelajaran secara dalam talian yang boleh diikuti di rumah yang mana kebanyakannya dibangunkan sendiri oleh guru-guru di seluruh Malaysia," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Jerong di Marang, Salmah Abd Rahman berkata semua murid Tahun Enam tetap diberi kerja rumah seperti latih tubi dan kuiz untuk dilakukan dengan pemantauan ibu bapa.

"Sejak hari pertama perintah ini dilaksanakan, pihak sekolah telah memulakan inisiatif ini dalam membantu murid memahami subjek tertentu terutama Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

"Sebenarnya banyak bahan pembelajaran telah disediakan oleh Kementerian Pendidikan melalui Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan...sebab itu saya sangat syorkan agar ibu bapa manfaatkan kemudahan ini sepenuhnya sepanjang tempoh ini," katanya ketika dihubungi Bernama.

Antara kemudahan menerusi platform pembelajaran digital yang disediakan Kementerian Pendidikan ialah portal.moe.edu.my atau portal.moe-dl.edu.my dan portal EduwebTV (eduwebtv.moe.edu.my) yang boleh diakses di mana sahaja selagi ada liputan internet.

Selain itu terdapat video pembelajaran interaktif di YouTube yang disusun mengikut silibus kementerian seperti di pautan video.pandai.org/year1 sehingga video.pandai.org/form5 yang sesuai untuk semua sekolah rendah dan menengah.

Bagi Muhammad Al Muhaimin Mohamad Hazman, 17, pelajar Tingkatan Lima sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Dato' Haji Abbas, peluang berada di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengulangkaji pelajaran terutama Fizik, Kimia dan Matematik Tambahan.

Pelajar itu berkata beliau bertuah kerana mendapat tunjuk ajar daripada abangnya Luqmanul Haqim, 18, yang memperoleh A+ dalam semua subjek dalam SPM tahun lepas, kerana biasanya waktu cuti hujung minggu, beliau sibuk menyertai pelbagai aktiviti tambahan di sekolah.

"Cuti panjang tempoh perintah ini juga ada hikmahnya kerana saya dapat memberi fokus kepada mata pelajaran tanpa 'gangguan-gangguan' lain seperti aktiviti sukan atau perkhemahan bersama rakan, kerana tidak boleh keluar rumah," katanya yang mempunyai jadual waktu sendiri sepanjang tempoh ini berjalan. - Bernama

Artikel lain:

Jom cikgu sepakat bersama berganding bahu #DudukRumah

Sempena cuti Perintah Kawalan Pergerakan, anda boleh buat ini manfaat masa

PM umum Perintah Kawalan Pergerakan tapi cikgu ini pula yang pening

Cikgu kena tahu 10 pantang larang ini bila pindah sekolah baru

Pengetua SMKA Naim Lilbanat kongsi tip lonjak keputusan SPM 2019 - Boleh jadi panduan sekolah lain