MARANG - Jabatan Bomba dan Penyelamat akan meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) peserta larian Gopeng Ultra Trail (GUT) 2019, juga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sg Abong Muar, Mohammad Ashraf Hassan atau lebih dikenali sebagai Acap sehingga ditemui.

Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata setakat ini, pihaknya tidak menetapkan tempoh tertentu untuk menamatkan operasi itu.

"Pelbagai kaedah telah kami usahakan dan kami juga mendapat bantuan daripada Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang turun ke lokasi dan Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria pada peringkat awal.

"Kaedah mengikut prosedur SAR dan berikhtiar dengan kaedah Islam yang mengikut syariat ini seperti solat hajat dan bacaan Yaasin akan diteruskan sehingga Acap ditemui," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan kursus khas STORM di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai di sini hari ini.

Beliau berkata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin dijangka hadir ke lokasi SAR Acap Sabtu ini di mana operasi besar-besaran akan diadakan pada hari itu.

Pada 23 Mac lalu, Acap yang berasal dari Muar, Johor, disedari hilang selepas tidak tiba di garisan penamat meskipun berada pada kedudukan 10 peserta teratas bagi kategori 25 kilometer (km). - Bernama