KUALA TERENGGANU - Sekolah Menengah Darul Iman (SMIDI), Sekolah Berasrama Penuh (SBP) milik kerajaan negeri, di sini, akan membuka permohonan untuk kemasukan pelajar sulung ke sekolah itu Jumaat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata buat permulaan, hanya 100 pelajar tingkatan satu akan diambil untuk sesi persekolahan tahun 2020.

"SMIDI yang pertama ini akan beroperasi di Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS) dekat Bukit Besi, Dungun dengan menggunakan Kurikulum Standard sekolah Menengah (KSSM), Kurikulum Bersepadu Dini (KBD) dan hafazan Al-Quran.

"Permohonan hanya dibuka untuk murid tahun enam yang memperoleh minimum 3A dan 3B sahaja dalam Ujian Pencapaian sekolah Rendah (UPSR) dan mesti lulus dalam Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK)," katanya kepada Bernama hari ini.

Dalam pada itu, Satiful berkata operasi sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) pula akan diperluas ke tiga lagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada sesi persekolahan tahun 2020.

"Tiga lokasi itu ialah di Permaisuri, Setiu; Kerteh 1, Dungun dan di Kijal, Kemaman di mana setiap SRIDI akan mengambil 50 murid untuk dua kelas sebagai permulaan.

"Ketika ini, kerajaan Terengganu telah membuka enam SRIDI pada Januari lepas iaitu di Bandar AMBS, Dungun; Ajil (Hulu Terengganu), Binjai Rendah (Marang), Manir (Hulu Terengganu), Wakaf Mempelam (Kuala Terengganu) dan Kampung Raja (Besut)," katanya.

Sehubungan itu, ibu bapa yang berminat untuk memohon kemasukan ke SRIDI dan SMIDI boleh menghubungi Bahagian Pendidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) di talian 09-6252525 untuk maklumat lanjut. - Bernama

Artikel Menarik:

Jangan tekan anak keterlaluan dalam pelajaran - Permaisuri

'Banyak kelebihan jika kita tahu lebih bahasa ini' - Pengetua SMK Tunku Abdul Aziz

Tip beli baju sekolah anak... khas untuk ibu bapa anak sulung tahun satu 2020