KUALA TERENGGANU - Muhammad Syukur Khamis mengakui tidak menjamah lauk kerbau yang dihidangkan  sempena majlis sambut menantu bagi meraikan dua abangnya, Jumaat lalu.

Mungkin masih belum boleh menerima sepenuhnya kehilangan kerbau kesayangan, Tongkol, remaja berusia 14 tahun itu hanya makan lauk lembu dan hidangan lain.

Ditanya sama ada masih bersedih dengan pemergian kerbau itu, remaja itu menyangkal, namun, daripada lirikan matanya, dia tidak mampu menyembunyikan isi
hatinya yang sebenar.

Biarpun yang diraikan adalah dua abangnya, Muhammad Kamil Khamis, 30 dan Muhammad Alias, 29, Syukur adalah watak utama yang menjadi tumpuan dalam
majlis itu.

Mana tidaknya, sejak jam 9 pagi hingga 5 petang, Syukur tidak putus-putus menerima permintaan bergambar oleh tetamu majlis itu.

Bapa Syukur, Khamis Jusoh, 64, berkata, ramai tetamu yang datang bertanyakan Syukur untuk bergambar.

"Ramai orang mari tanya Syukur. Popular dia pula daripada pengantin," katanya dalam nada berseloroh ketika ditemui di kediamannya di Kampung Banggol Katong, di sini.

 

Syukur memenuhi permintaan bergambar oleh tetamu yang hadir ke majlis perkahwinan abangnya.

 

Katanya, walaupun nampak penat, Syukur tidak pernah  mengadu hal itu kepadanya.

"Memang kita tahu dia penat layan 'peminat', tetapi dia tak pernah mengadu.

"Saya juga sering mengingatkan dia supaya terus melayani permintaan untuk bergambar (swafoto) dan sebagainya kerana dia telah dikenali ramai," katanya.

Khamis berkata, dia menganggarkan lebih 3,000  tetamu yang hadir pada majlis itu, kelmarin.

Kesemua mereka dijamu dengan 10 kawah lauk iaitu lima kawah gulai kerbau, tiga kawah gulai lembu dan dua kawah gulai ayam.

Sementara itu, Muhammad Kamil berkata, walaupun  itu majlis perkahwinan pertama yang diadakan bapanya, ia turut meraikan Muhammad Syukur.

"Kita dah tahu orang yang datang pun nak gambar dengan dia sebab dia dikenali ramai.

"Kita anggap ini sebagai rezeki Syukur dan ahli keluarga akan terus bersama untuk pantau dia," katanya.

Muhammad Kamil mendirikan rumahtangga bersama pasangan, Nur Baizura Ramli, 31, yang berasal dari Kampung Kubang Kerian, Kelantan.

Manakala, adiknya, Muhammad Alias bertemu jodoh dengan pasangannya yang berasal dari Kampung Tok Randok, Ajil, Nurul Aina Che Jusoh.

 

Ikuti cerita terdahulu https://www.gpsbestari.com/berita/terengganu/saya-akan-utamakan-pelajaran-itu-pesan-ayah-syukur-khamis-1.921002