KUALA TERENGGANU - Sudah seminggu berlalu, namun berita mengenai Muhammad Syukur Khamis – Kampung Boy, masih terus mendapat perhatian masyarakat terutama bagi mereka yang ingin mengenali lebih dekat siapa sebenarnya pelajar yang mendapat jolokan `Mowgli Malaysia’ itu.

Dia yang merupakan pelajar tingkatan 2 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin itu, hampir setiap hari menerima undangan daripada pelbagai pihak yang mahu mendengar pengalamannya bergambar dengan kerbau-kerbau kesayangannya.

"Sibuk.. penat pun ada jugak!” itu yang diluahkan oleh Syukur Khamis ketika ditanya wartawan BBTV Azzahra SMK Padang Midin, Aina Nazirah mengenai perbezaan rutin kehidupannya setelah cerita tentangnya tular.

Bagi Syukur sendiri dia tidak pernah terfikir untuk jadi sesibuk ini.

"Selepas ini saya akan memberi sepenuh perhatian terhadap pelajaran pula," katanya bila ditanya mengenai perancangan kelak.

Bagi ayah Syukur yang lebih mesra dengan panggilan Pok Khamis, dia menganggap keadaan seperti ini akan bersifat sementara sahaja.

"Saya berharap Syukur tidak leka dengan sanjungan dan pujian daripada orang ramai dan mahu Syukur menumpukan perhatian terhadap pelajaran," ujarnya.

Keunikan Syukur Khamis - Kampung Boy ini telah melayakkannya menerima Anugerah Pelajar Unggul dari Pejabat Pendidikan Daerah Negeri Terengganu yang disampaikan Jelani Sulong.

Menurut Jelani, anugerah itu bertepatan dengan prinsip yang diterapkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) di sekolah-sekolah ketika ini iaitu kebahagiaan, kasih sayang, hormat-menghormati dan kemanusiaan.

Apa yang lebih manis lagi, cerita tentang Syukur juga telah mendapat perhatian daripada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang sudi singgah ke SMK Padang Midin untuk berjumpa dengan Syukur ketika mengadakan lawatan kerja ke Kuala Terengganu.

 

ARTIKEL BERKAITAN: "Saya bersyukur jumpa 'Mowgli' Malaysia.. saya akan sokong guru gilap bakat pelajar"

ARTIKEL BERKAITAN: "Saye dok seke dapat semo ni.. ingat ambik gambo suke-suke je' - Syukur

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar SMK Padang Midin gemparkan dunia fotografi, aksi dengan kerbau menang peringkat dunia

ARTIKEL BERKAITAN: Bimbangkan keselamatan Syukur.. ini pesan Nazri Sulaiman

 

Jurufoto, Dollah Deen menyerahkan gambar Syukur yang diambilnya kepada Maszlee.

Wajah ceria Syukur Khamis ketika bertemu dengan Maszlee di SMK Padang Midin, Kuala Terengganu.