KUALA TERENGGANU - ‘Saya mula memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran kepada anak-anak saya sejak mereka masih dalam kandungan di samping menjaga pemakanan mereka bagi menguatkan daya ingatan”.

Demikian kata Nor Latifah Abdul Rahman, 50, dari Teluk Kalong, Kemaman, yang merupakan ibu kepada lapan anak ketika diminta berkongsi amalan dilakukan sehingga enam daripada lapan anaknya kini bergelar hafiz 30 juzuk al-Quran.

“Sejak mengandung ibu perlu sentiasa membaca al-Quran,  apabila bayi berusia setahun dia tahu dan dah biasa dengan huruf al-Quran. Usia empat tahun dah boleh mengaji dan usia lima tahun dah khatam muqaddam.

“Pada usia itu juga dia dah boleh ajar orang lain mengaji,” katanya.

Nor Latifah berkata, selain sentiasa bersama-sama dalam menjadikan bacaan al-Quran sebagai amalan harian, pemakanan anak-anaknya juga dijaga dengan rapi.

“Saya akan pastikan anak-anak saya mengambil susu kambing dan madu. Badam juga baik untuk daya ingatan anak-anak.

‘Selain itu, saya juga akan pastikan mereka makan makanan yang saya masak. Kalau pergi ke mana-mana, memang saya akan bawa bekal dari rumah untuk anak-anak,” katanya ketika ditemui sempena Haflah Takrimi Akademi Al-Quran Amalillah (AKMAL) kali pertama di Taman Tamadun Islam (TTI), semalam.

Pada majlis itu, anaknya, Engku Sofiah Engku Saharuumnizam, 14 dinobatkan sebagai pelajar cemerlang setelah berjaya menguasai 30 juzuk al-Quran dalam tempoh lima bulan 10 hari di Akademi Al-Quran Amalillah (AKMAL) yang beroperasi di Bukit Payong, Marang.

Selain Engku Sofiah, lima lagi anaknya yang telah menyempurnakan hafalan 30 juzuk al-Quran ialah Solehah Radhiah, 25, Engku Mahmud Nasri, 23; Engku Muhammad Luthfi, 20; Engku Ahmad Syafiq, 17, Engku Sofiah, 14 dan Engku Daud Shauqi, 12.

 

Nor Latifah (kanan) bersama anaknya, Engku Sofiah, 14 yang dinobatkan sebagai pelajar cemerlang yang berjaya menghafal 30 juzuk al-Quran dalam lima bulan.

 

Menurut Nor Latifah, dia dan suaminya yang merupakan seorang pesara, Engku Saharuumnizam Engku Abd Aziz, 57 tidak kisah berbelanja besar demi pendidikan anak-anak.

“Disebabkan memilih untuk hantar anak-anak saya ke pusat pengajian swasta,  secara kasar, untuk perbelanjaan sekolah kelima-lima anak saya belanjakan dalam RM3,000 setiap bulan.

“Suami saya tak kisah, malah dia juga tidak kisah anak-anak mahu ambil jurusan dan berkecimpung dalam bidang apa, asalkan al-Quran tu tersemat di dalam dada,” katanya yang kini berkhidmat dengan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Kijal.

Nor Latifah berkata, dua lagi anaknya yang bersekolah darjah empat dan darjah satu juga sedang dalam proses untuk bergelar hafiz.

“Sebenarnya, kita boleh buat jika ada kehendak dan kemahuan. Pada saya, saya niatkan kesemua anak-anak saya dapat menghafal dengan sempurna 30 juzuk al-Quran kerana mereka ini lah harta yang saya ada di dunia ini apabila saya meninggal dunia nanti.

“Ilmu al-Quran yang saya pelajari turun temurun daripada arwah datuk dan arwah ayah saya dahulu, saya akan pastikan ia diturunkan kepada mereka semua dan memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya yang sebelum ini bertugas sebagai guru al-Quran sebelum berkhidmat bersama i-MiTS.Engku Sofiah Engku Saharuumnizam, 14 dinobatkan sebagai pelajar cemerlang setelah berjaya menguasai 30 juzuk al-Quran dalam tempoh lima bulan  di Akademi Al-Quran Amalillah (AKMAL) .

 

         

Engku Sofiah (duduk, tiga dari kanan) merakam gambar bersama pelajar cemerlang sempena Haflah Takrimi Akademi Al-Quran Amalillah kali pertama di Taman Tamadun Islam (TTI), semalam.