KUALA TERENGGANU - Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (Sesma), Kuala Nerus menjuarai pertandingan Sketsa Rukun Negara 2019 peringkat negeri yang diadakan di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu, di sini.

Kumpulan yang dinamakan Sesmarianz Production itu disertai lima pelajar iaitu Muhammad Aikal Daniel Mohd Aziziul, Eunoss Anaqi Hawan, Muhammad Akif Alias, Nur Aliyah Insyirah Abdul Latiff dan Iris Mahirah Fadhli.

Mereka melakonkan sketsa berjudul ‘Negeri Cantik Budaya Menarik’, sekali gus berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, sijil dan plak.

Naib juara pula disandang kumpulan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mak Lagam, Kemaman dan menerima hadiah wang tunai RM1,500, sijil dan plak manakala tempat ketiga disandang kumpulan dari SMK Tengku Ibrahim, Setiu dan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, sijil dan plak.

Lima kumpulan lain iaitu SMK Tengku Ampuan Intan, Hulu Terengganu; SMK Sultan Omar, Dungun; SMK Kuala Besut, Besut; SMK Merchang, Marang dan SMK Panji Alam, Kuala Terengganu menerima hadiah sagu hati berupa plak dan sijil.

Sebanyak lapan kumpulan terdiri daripada ahli Kelab Malaysiaku menyertai pertandingan anjuran Jabatan Penerangan Negeri Terengganu yang diadakan setiap tahun bermula 2013.

Kumpulan Sesmarianz Production yang menjuarai pertandingan Sketsa Rukun Negara 2019 Peringkat Negeri Terengganu.

 

Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, Azahar Ismail berkata, juara pertandingan iaitu SESMA akan mewakili Terengganu ke pertandingan akhir yang diadakan di Ipoh, Perak pada 26 hingga 28 Julai ini.

“Pertandingan ini terbuka kepada sekolah menengah yang mempunyai Kelab Malaysiaku dan sketsa dilakonkan perlu berdasarkan lima prinsip Rukun Negara.

“Penganjuran pertandingan itu adalah bertujuan untuk memberi pemahaman tentang konsep Rukun Negara bagi memupuk semangat jati diri dan cintakan negara, selain dapat menghayati lima prinsip Rukun Negara dalam kehidupan seharian,” katanya.

Turut hadir Timbalan Ketua Sektor, Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Mohd Tahar Salime.

ARTIKEL MENARIK:

Bagi mereka yang masih kurang jelas mengenai 1BestariNet - Ini penjelasan Ketua Setiausaha KPM

Lumpuh separuh badan, bekas pelajar SMK Sungai Abong cemerlang SPM ini nekad sambung di UTHM

'Pihak sekolah, ibu bapa perlu periksa bas sebelum sewa' - PPIK