DUNGUN - Semangat kekitaan dan kerjasama menjadi rahsia kejayaan alumni Sekolah Menengah (SM) Sains Dungun (Ex-Semesdians) hingga terbinanya surau baharu sekolah itu yang bernilai hampir RM1 juta.

Dengan kejayaan itu, Ex-Semesdians juga muncul sebagai satu-satunya alumni di negara ini yang mampu mengumpul dana hampir RM1 juta untuk projek pembinaan surau sekolah.

Setiausaha Kehormat Ex-Semesdians, Rizan Ali berkata, kejayaan pembangunan surau baharu yang berkapasiti 1,000 jemaah itu membuktikan semangat kerjasama dan muafakat yang kukuh semua alumni dari tahun 1983 (iaitu pelajar sesi pertama sekolah itu) hingga sekarang.

"Alhamdulillah hasil usaha semua alumni tanpa apa-apa bantuan dari agensi kerajaan kita mampu bangunkan sebuah surau di sekolah yang pernah kami menuntut ilmu.

"Untuk kumpul dana ini, alumni dari sesi pertama hingga sekarang sama-sama berganding bahu hingga setiap alumni setiap sesi mampu kutip dana antara RM20,000 hingga RM30,000," katanya.

Beliau ditemui pada perasmian surau yang dinamakan Surau Baitun Najihin itu di SM Sains Dungun.

Perasmian surau itu disempurnakan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli.

Hadir sama, Presiden Ex-Semesdians, Ir Wan Sabri Ahmad dan alumni-alumni sekolah berkenaan.

Jawatankuasa Ex-Semesdians bergambar bersama Mohd Hatta (depan, empat kanan) selepas majlis perasmian Surau Baitun Najihin.

 

Surau itu dibina setelah Ex-Semesdians mengambil kira suasana surau lama yang sudah uzur selepas 30 tahun dibina dan pernah terbakar disebabkan litar pintas.

Rentetan itu, Ex-Semesdians menggerakkan aktiviti mengumpul dana yang dilancarkan secara besar-besaran sewaktu program Alumni Back To School pada 1 Mei 2016.

Berkat usaha alumni serta bantuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pihak sekolah, hampir RM1 juta dana berjaya dikumpul dan pembinaan surau itu dimulakan secara rasminya pada 6 Jun 2017.

Rizan berkata, ianya siap serta mula digunakan pada minggu pertama Ramadan pada pertengahan tahun lalu.

"Selepas surau ini berjaya dibina, sekolah lain pun mahu mencontohinya.

"Pada 27 April ini, saya dipanggil oleh gabungan alumni sekolah berasrama penuh untuk kongsi rahsia berjaya kumpul dana ini" katanya.