SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Rasau Kerteh B5 di sini menjadi sekolah pertama di daerah ini mempelopori sistem kehadiran secara online lengkap dengan bacaan suhu badan melalui sistem i-Hadir.

Sistem kehadiran guru, murid dan anggota kumpulan pelaksana itu digunakan sejak awal tahun ini, namun ditambah baik dengan memasukkan bacaan suhu seiring dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pengetuanya, Mohd Akhir Tompang berkata, sistem i-Hadir menggunakan komputer dan kamera mampu menjimatkan masa merekodkan kehadiran dan suhu badan murid sehingga 70 peratus berbanding kaedah manual.

“Sistem ini berfungsi merekodkan kehadiran semasa datang dan waktu pulang dari sekolah melalui QR Code. Ia ditambah baik dengan memasukkan bacaan suhu badan yang amat diperlukan sepanjang tempoh PKPP.

“Selain dapat merekodkan kehadiran dan bacaan suhu murid sebelum masuk ke kawasan sekolah lebih cekap, ia juga memudahkan pihak sekolah melaksanakan tindakan susulan berkaitan kehadiran ke sekolah,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurut Mohd Akhir, inovasi i-Hadir dibangunkan selama enam bulan oleh penyelaras projek, Mohd Syukri Husain hasil kerjasama Fakulti Komputeran, Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kos sebanyak RM1,000.

Beliau berkata, sebanyak tiga unit komputer dan kamera digunakan untuk merekodkan kehadiran 173 murid dan 33 guru serta pentadbir sekolah pada setiap hari persekolahan.

“Data murid yang hadir akan diimbas oleh QR Code, namun setakat ini suhu badan diisi secara manual kerana kita belum sediakan mesin pengimbas suhu yang disambung terus ke pangkalan data atas faktor kewangan.

“Kita dalam proses mendapatkan dana, insya-ALLAH ia akan ditambah baik lagi selepas ini,” katanya.

Pelancaran sistem itu disempurnakan Timbalan Exco Infrastuk­tur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau Tereng­­ganu, Ir Saiful Azmi Suhaili.