KUALA NERUS - Program Ceria ke Sekolah (CKS) yang dilaksanakan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bukan sahaja menggembirakan para pelajar malah memberi kelegaan kepada ibu bapa terutama yang terjejas pendapatan ekoran penularan pandemik Covid-19.

Suri rumah, Halimaton Mahamad, 42, berkata sumbangan RM100 yang diterima anak perempuannya, Al Basyitah Kamarudin dapat meringankan beban keluarga memandangkan suaminya hanya bekerja sebagai nelayan dengan pendapatan sekitar RM700 hingga RM800 sebulan.

"Kami sekeluarga hanya bergantung kepada pendapatan suami. Apatah lagi tahun lepas suami pernah dikuarantin selama dua minggu kerana disyaki dijangkiti Covid-19 dan selepas itu beberapa bulan juga beliau tidak dapat turun ke laut atas faktor cuaca yang menjejaskan pendapatan keluarga.

"Tiga daripada enam anak saya pula masih bersekolah, jadi sumbangan hari ini dapat membeli buku-buku buat Al Basyitah yang kini di Tahun Lima Sekolah Kebangsaan (SK) Duyong,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Program CKS Peringkat Parlimen Kuala Nerus, di sini, hari ini.

Murid Tahun Enam, SK Bukit Tumbuh, Mohd Haziq Fahmi Amran, 12, pula berterima kasih kepada TNB kerana tidak menyangka terpilih menerima sumbangan itu yang akan digunakan membeli persiapan memasuki sekolah menengah tahun hadapan.

"Saya bercadang memasuki sekolah menengah agama tahun hadapan. Jadi sumbangan ini akan digunakan untuk membeli kelengkapan sekolah dan dapat meringankan beban ibu bapa saya yang terpaksa menanggung persekolahan empat adik-beradik yang lain,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar (Hal Ehwal Korporat) TNB, Datuk Omar Sidek berkata, sumbangan kepada 200 pelajar daripada keluarga B40 bagi Parlimen Kuala Nerus itu merupakan sebahagian daripada peruntukan RM150,000 kepada 1,500 pelajar di seluruh Terengganu.

Katanya secara keseluruhan, sebanyak RM3 juta diluluskan untuk program CKS tahun ini dan ia sebagai bukti keprihatinan TNB terhadap golongan yang terkesan dengan penularan Covid-19.  

"Tahun lepas kita hanya peruntukkan RM1 juta sahaja tetapi ekoran penularan Covid-19 kita faham ramai keluarga terutama daripada kalangan B40 terjejas pendapatan. Jadi tahun ini kita naikkan jumlah kepada RM3 juta supaya lebih ramai masyarakat menerima manfaat daripada sumbangan ini,” katanya sambil memaklumkan sumbangan RM100 diberikan dalam bentuk wang tunai atau kelengkapan persekolahan.

Katanya, selain program CKS, TNB mempunyai pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi sektor pendidikan antaranya pemberian biasiswa kepada pelajar universiti yang dikelolakan Yayasan Tenaga Nasional dan sumbangan wang tunai kepada pelajar keluarga B40 yang menyambung pengajian di universiti.

Sementara itu Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus menzahirkan ucapan terima kasih kepada TNB atas sumbangan itu dan berharap ia menjadi suntikan semangat buat pelajar untuk terus berjaya dalam pelajaran. - BERNAMA

Artikel menarik

‘Ayah bawa lori, ustazah. Mak pula dah tak ada’ – Luahan murid Tahun 6 ini buat ramai sebak!

17 adab yang perlu guru-guru amalkan, ikuti perkongsian Dr Mohd Hasrul