SHAH ALAM - Kematian bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan 4, Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, 17, yang menjadi mangsa tembakan rambang ketika di Masjid Al Noor, Christchurch, New Zealand tergolong dalam mati syahid akhirat.

MOHAMAD SHUKRI

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, ia berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW bahawa mana-mana umat Islam yang meninggal akibat kemalangan seperti kebakaran, lemas dan sebagai, ia termasuk dalam golongan mati syahid.

Menurutnya, mati syahid dikategorikan dua keadaan iaitu syahid dunia serta akhirat.

“Tetapi ia (Haziq) bukanlah mati syahid Fisabilillah atau berperang di jalan ALLAH SWT. Bagaimanapun tetap tergolong dalam mati syahid akhirat.

“Apatah lagi Allahyarham berada dalam masjid dan pastinyaberwuduk. Kita doakan ALLAH SWT kurniakan sebaik-baik tempat buat Allahyarham,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mohamad Shukri turut berpesan kepada keluarga Allahyarham supaya reda kerana walaupun Haziq meninggal dunia dalam keadaan tragis, tetapi di tempat yang suci.

"Umat Islam di sana (New Zealand) janganlah trauma untuk pergi ke masjid kerana kematian itu ada di mana-mana dan bila-bila masa. Tetaplah bersangka baik kepada ALLAH," katanya.

Zulkifli

Sementara itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad berkata, umat Islam yang mati dalam serangan di dua masjid di New Zealand, meninggal dunia dalam keadaan husnul khatimah.

Menerusi khutbah Jumaat minggu lalu, beliau berkata, kesemua yang maut itu meninggal dunia ketika ingin menunaikan solat Jumaat dan mahu menghadap ALLAH SWT.

"Mereka menghadap ALLAH dalam keadaan berwuduk dan dalam rumah ALLAH SWT, menanti untuk solat berjemaah.

"Kesemua itu kebaikan demi kebaikan. Mati dalam husnul khatimah. Kita mengharapkan mereka diganjari balasan yang sebaiknya di sisi ALLAH," katanya.

Abdul Rahman

Dalam pada itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman turut menyifatkan kematian Muhammad Haziq sebagai syahid akhirat.

Bagaimanapun, katanya, jenazah Muhammad Haziq masih perlu diuruskan seperti biasa.

"Ini sebab Allahyarham meninggal dunia akibat ditembak dalam serangan itu dan bukan dalam peperangan.

“Kalau mati dalam peperangan, jenazah tidak perlu dimandikan," jelasnya memetik laporan sebuah akhbar tempatan semalam.

Ini pula kata rakan sekelas Muhammad Haziq ketika di tingkatan 1 SMK Jalan 4, Bangi https://www.gpsbestari.com/berita/kuala-lumpur/haziq-seorang-prihatin-sentiasa-ingat-kawan-kawannya-1.924174