KUALA NERUS - Seramai 45 kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah, asnaf dan yatim piatu di Kuala Nerus dibelikan pakaian baharu di Mydin Gong Badak di sini.

Projek Beli-Belah Baju Hari Raya itu anjuran Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (Akrab) Negeri Terengganu.

Penaung Akrab, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abd Jalil berkata, ia merupakan program tanggungjawab sosial korporat korporat (CSR) pihaknya bagi meneruskan usaha murni Akrab untuk berkongsi keceriaan sambutan hari raya dengan kanak-kanak terbabit.

Katanya, melihat kanak-kanak dari Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal, SK Bukit Nenas dan SK Bukit Cempaka itu gembira mencuba pakaian baharu membuatkan beliau juga gembira.

“Alhamdulillah kita sudah selesai menjayakan program CSR di antara pegawai-pegawai kita iaitu daripada kumpulan Akrab.

“Kita ingin tunjukkan kepada kanak-kanak ini dan keluarga mereka bahawa mereka tidak keseorangan kerana masyarakat sedia membantu mereka,” katanya selepas merasmikan program itu di Mydin Gong Badak, Kuala Nerus di sini.

Beliau yang juga Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) berkata, setiap kanak-kanak diperuntukkan kira-kira RM100 untuk membeli pakaian raya dan itu merupakan kali kedua projek tersebut dikendalikan Akrab.

Menurutnya, walaupun perbelanjaan minimum RM100 bagi setiap orang tetapi jumlah pembelian melebihi kadar itu.

Sementara itu, antara penerima manfaat projek amal itu, Haziq Qauff Adang, 12, dari SK Bukit Cempaka dan Nur Batrisyia Najwa Mohd Zubir, 12, dari SK Tok Jembal.

Kedua-dua kanak-kanak itu menghabiskan masa selama sejam di Mydin Gong Badak mencari pakaian baharu mereka.

Ditanya perasaan mereka selepas dibawa membeli-belah, Haziq hanya mengukir senyuman manakala Nur Batrisyia meluahkan rasa syukur.

“Saya gembira sebab ada yang sudi bantu kami. Dengan baju baharu ini, saya tak sabar nak raya,” kata Nur Batrisyia yang juga anak kedua daripada tiga beradik.

INFO

•• Seramai 45 kanak-kanak dibawa beli-belah

•• Peserta terdiri daripada murid SK Tok Jembal, SK Bukit Nenas dan SK Bukit Cempaka

•• Setiap peserta menerima peruntukan RM100

ARTIKEL MENARIK:

'Menjadi guru bukan pilihanku, namun Allah lebih tahu segalanya' - GB SK Beruas

Hujan lebat, guna plastik sampah balut anak - Guru pedalaman ini kongsi kisah sesat dalam hutan

Tulisan Dr Isahak mengenai sistem pendidikan negara dan UEC - Satu pandangan yang membuka mata

Budak lari lawan arah: Aishah ketakutan setelah hiburkan satu Malaysia

Patutlah guru-guru ini terima Anugerah Guru Adiwira...rupa-rupanya ini cerita mereka