Google Classroom, Zoom mahupun Google Meet, merupakan antara wahana alternatif Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dalam talian yang semakin popular dalam dunia pendidikan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.

Kaedah yang bergantung sepenuhnya kepada capaian internet itu menjadi pilihan tenaga pengajar termasuk guru dan pensyarah bagi memastikan golongan pelajar mampu meneruskan pelajaran dari kediaman masing-masing.

Ia bertepatan dengan arahan kerajaan untuk semua duduk di rumah sepanjang tempoh PKP bagi mengelakkan jangkitan Covid-19.

Bagaimanapun, ada dalam kalangan ibu bapa serta pelajar yang mengeluh berikutan kekangan serta keterbatasan untuk menjayakannya PdP kerana capaian internet yang lemah serta tiada peranti elektronik khusus bagi keluarga yang kurang berkemampuan.

Namun begitu, bagi kebanyakan pelajar yang tinggal di bandar mahupun luar bandar, yang tidak begitu jauh dari kawasan pedalaman, guru masih boleh menghubungi mereka dengan telefon bimbit untuk diberi tugasan bagi memastikan mereka tidak ketinggalan.

Tidak kisahlah, sekiranya telefon itu hanya mempunyai fungsi asas sahaja, sekadar terima dan jawab panggilan, sekurang-kurangnya masih ada jaringan perhubungan.

Bagaimana pula halnya dengan pelajar yang tinggal jauh di pedalaman, apatah lagi dikelilingi hutan belantara tebal.

Bukan sahaja mereka tidak mempunyai capaian internet, malah tidak juga mempunyai sebarang rangkaian talian komunikasi!

Kedudukan SK Nanga Ju yang jauh di pedalaman membuatkan murid sukar mendapat talian internet.

Berkemungkinan pelajar di kawasan berkenaan tidak dapat mengikuit sebarang program PdP berbanding rakan mereka yang tinggal di bandar atau luar bandar, yang masih mampu mendapat capaian internet.

Perkara ini bermain-main dalam pemikiran saya sepanjang PKP ini ketika ingatan singgah kepada sebuah kawasan pedalaman di Sarawak yang pernah saya kunjungi pada akhir 2018 untuk Misi Klinik Bergerak anjuran UMW Corporation Sdn Bhd (UMW) dengan kerjasama Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia).

HUTAN BELANTARA

Terdapat sebuah rumah panjang, Anthony Bau, di kawasan pedalaman yang saya maksudkan itu yang didiami masyarakat suku kaum Iban. Ia terletak di daerah Julau, bahagian Sarikei.

Selain langsung tidak ada talian komunikasi, bukan mudah untuk sampai ke penempatan masyarakat Iban itu.

Rumah Panjang Anthony Bau itu sememangnya sangat ‘terpisah’ dengan dunia luar kerana hutan belantara yang tebal.

Bagi membolehkan penduduk rumah panjang mendapatkan rangkaian komunikasi, mereka perlu ke pekan Julau yang memakan masa berjam-jam lamanya.

Itupun bergantung kepada pengangkutan, sama ada melalui sungai, jalan balak atau udara sahaja.

Sekiranya ke pekan Julau menerusi sungai dengan perahu panjang enjin sangkut, perjalanan mengambil masa kira-kira lima hingga enam jam, dan mungkin lebih, bergantung kepada keadaan sungai untuk sampai ke Jeti Nanga Entabai yang terletak di Julau.

Dari jeti, untuk sampai ke Pekan Julau, perlu mengambil pengangkutan van dan jarak perjalanan kira-kira 45 minit.

Jika menggunakan jalan balak, perjalanan agak singkat iaitu kira-kira empat jam.

Walaupun pelbagai halangan untuk berhubung, guru mengambil pelbaga inisatif termasuk menggunakan orang tengah supaya dapat memberi kerja sekolah kepada murid.

Bolehlah menggunakan kenderaan pacuan empat roda (4WD) dan motosikal lasak namun berdepan pelbagai cabaran seperti ancaman binatang buas, jalan licin disebabkan hujan serta berisiko kenderaan rosak.

Dengan segala kesukaran untuk mendapatkan talian komunikasi ini dan terdedah kepada tragedi perahu karam mahupun terkandas di hutan belantara tebal serta kos perjalanan melebihi RM500 ke atas, apakah semuanya ini boleh mematahkan semangat anak pedalaman ini untuk belajar semasa PKP?

SEMANGAT JITU

Untuk mengetahui jawapan kepada persoalan ini, penulis menghubungi Guru Penolong Kanan, sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Ju, Julau, Sarawak, Julaihi Mahdi,  baru-baru ini.

Menurut beliau, meskipun belajar jauh di pedalaman dikelilingi  hutan belantara tebal, murid di kawasan berkenaan maklum tentang Google Classroom serta Google Meet.

"Pada awal tahun, guru sudah memberi penerangan dan penjelasan kepada mereka. Namun, praktikalnya tidak dapat dilakukan pada masa itu dan sehingga kini disebabkan masalah talian komunikasi dan capaian internet. Jadi, apabila adanya PKP yang menuntut semua sekolah ditutup, keadaan ini memberi cabaran besar buat para guru.

"Bagaimana kami hendak memastikan murid tidak ketinggalan dalam pembelajaran tambahan ketika ini semua guru berada di kediaman masing-masing dan tidak ada seorang pun di asrama sekolah,” kata Julaihi.

Beliau yang dihubungi melalui telefon dan e-mel berkata, SK Nanga Ju yang mempunyai 23 murid dari Rumah Panjang Lepong Bilat (Rumah Nyalih) dan Rumah Panjang Nanga Ju (Rumah Gerasi) adalah sekolah paling jauh berbanding tiga sekolah lain.

Dari jeti Nanga Entabai, terdapat tiga buah lagi sekolah sebelum sampai ke SK Nanga Ju iaitu SK Nanga Entabai, SK Lubok Asam dan SK Nanga Maong. SK Nanga Ju adalah sekolah paling jauh di laluan ini. Difahamkan kira-kira sejam perjalanan dari rumah panjang Anthony Bau.

Sekolah pedalaman itu ada dibekalkan dengan alat komunikasi iaitu internet yang menggunakan parabola bagi membolehkan perhubungan secara terus kepada satelit.

Namun begitu, Julaihi yang hampir tujuh tahun mengajar di sekolah tersebut berkata, kemudahan yang diberikan itu mengalami kerosakan pada awal tahun ini  dan menyukarkan lagi melaksanakan PdP dalam talian. "Pelaksanaan PKP menjejaskan perancangan para guru khususnya untuk pelajar yang menghadapi UPSR. Bagaimanapun, kami bersyukur kerana kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan membatalkan peperiksaan tersebut.

"Namun, itu bukanlah bermakna kami para guru seramai 10 orang dan 6 orang Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP)  menjadikan kesukaran komunikasi sebagai alasan membiarkan sahaja murid begitu sahaja.

”Kami ada cara tersendiri untuk memastikan mereka tidak tercicir,” jelasnya yang kini berada di rumah keluarganya di Bintangor, Sarawak.

CARA KREATIF

Menjelaskan lebih lanjut apa yang dinyatakan oleh Julaihi, Guru prasekolah SK Nanga Ju, Muhamad Fadheruhisham Daud, yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan memberitahu Bernama, terdapat beberapa cara, antaranya menyampaikan tugasan kepada wakil ibu bapa.

Menurut beliau, seorang wakil ibu bapa murid secara sukarela ke pekan Julau seminggu sekali untuk menghubungi guru menerusi telefon bagi mendapatkan tugasan murid selain membeli barangan keperluan.

Sebaik sahaja dapat dihubungi, guru yang sudah menyediakan bahan untuk latih tubi, lebaran kerja, aktiviti kuiz dalam bentuk salinan digital, mahupun gambar akan memberikannya menerusi aplikasi WhatsApp.

Terdapat juga latihan berpandukan buku teks kerana sudah mempunyai banyak maklumat dan lengkap, cuma perlu memberitahu muka surat sahaja.

"Sekembalinya wakil ibu bapa ini ke rumah panjang, ibu bapa murid lain akan bertemu dengannya dan mengambil gambar tugasan tersebut menggunakan telefon bimbit masing-masing daripada telefon wakil berkenaan.

"Mesej tugasan tidak dapat dihantar kepada semua kerana mereka tidak ada talian,” katanya yang sudah hampir enam tahun mengajar di sekolah tersebut.

Selain itu, guru juga menggunakan khidmat Apai Lovy, 38, salah seorang kakitangan sekolah yang tinggal di Sarikei untuk menghantar tugasan yang sudah dicetak kepada wakil ibu bapa berkenaan di pekan Julau.

Sepanjang PKP guru yang tinggi di pekan mengumpul bahan untuk diberikan kepada Apai Lovy agar dapat disampaikan kepada murid mereka.

Bagaimanapun, sekiranya guru tidak dapat menghubungi mana-mana wakil ibu bapa selepas dua minggu, Apai Lovy akan ke rumah panjang berkenaan menggunakan jalan balak iaitu kira-kira lapan jam perjalanan (pergi balik) dari Sarikei untuk menghantar tugasan kepada mereka.

"Kebanyakan guru termasuk saya berada di Sarikei bersama keluarga dan ini memudahkan kami kumpul bahan untuk diberikan kepada Apai Lovy.

"Kami cuba pastikan mereka tidak tercicir pelajaran. Bagaimanapun, segala tugasan itu akan diperiksa guru selepas berakhirnya PKP nanti,” kata Muhamad Fadheruhisham ketika dihubungi menerusi telefon.

PUNCAK BUKIT

Murid sekolah juga mempunyai cara tersendiri sekiranya mereka tidak faham akan sesuatu tugasan yang diberikan oleh guru mereka.

Menurut Apai Lovy yang merupakan individu penting yang menghantar tugasan tersebut ke rumah panjang, ibu bapa murid akan membawa anak mereka ke puncak bukit untuk cuba menghubungi guru.      

"Bolehlah dapat talian tapi nyawa-nyawa ikan. Ada juga yang akan menghubungi cikgu mereka untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai latihan ketika berpeluang mengikuti ibu atau bapa mereka ke pekan,” katanya.

Julaihi (berdiri kanan) bersama murid SK Nanga Ju ketika sebelum PKP.

Istimewanya, biarpun mereka tidak ada sebarang talian komunikasi namun kebanyakan rumah panjang di situ mempunyai televisyen yang dilengkapi dengan Astro Njoi.

Ini bukan sahaja membantu mereka mendapatkan informasi semasa mengenai Covid-19 bahkan juga program TV pendidikan menerusi saluran baharu RTM, TV Okey.

Bersiaran selama dua jam, pada jam 9 hingga 10 pagi dan 1 tengah hari hingga 2 petang setiap hari sepanjang tempoh pelaksanaan PKP, program itu sedikit sebanyak membantu murid di kawasan pedalaman.

"Walaupun mereka kurang kemudahan, saya dapati semangat belajar anak-anak ini kuat. Ibu bapa dan tuai rumah (ketua rumah panjang) pun sangat menitikberatkan pelajaran buat anak-anak ini,” katanya.

SK Nanga Ju yang terletak jauh dalam kawasan pedalaman hutan belantara tebal di daerah Julau, bahagian Sarikei, Sarawak, sememangnya sangat 'terpisah' dengan dunia luar dan
langsung tidak mempunyai sebarang rangkaian komunikasi.

Artikel berkaitan:

16 Jawapan KPM mengenai pembukaan semula sekolah, persoalan berkaitan guru, pentadbir sepanjang PKPB

Pembukaan semula seolah dinilai dalam tempoh empat minggu ini

NUTP mohon syarikat pembekal internet lebih prihatin beri akses percuma untuk guru, pelajar

22 ulasan yang boleh diguna pakai guru untuk slip peperiksaan

Pencerahan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT): Bahagian 6