LABUAN - Baru-baru ini, tular sebuah video pendek di media sosial mengenai tindakan seorang pelajar perempuan yang menggendong pelajar Pendidikan Khas ketika hujan lebat.

Kejadian yang berlaku awal pagi di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mutiara itu, sempat dirakam seorang guru, Maslika Ramli yang berkebetulan berada di situ.

GPS Bestari menghubungi pengetua SMK Mutiara bagi mendapatkan maklumat berkenaan perkara tersebut.

Pengetua, Mohd Nizam Yasim berkata, dua pelajar yang dimaksudkan itu sememangnya pelajar dari sekolah berkenaan.

"Nama pelajar yang menggendong pelajar Pendidikan Khas, Nur Shimah M. Fadilah ini adalah Baverly Liew Hui Wen.

"Beliau merupakan pelajar Tingkatan Empat iaitu pelajar dari kelas arus perdana," katanya.

Baverly (kanan) bersama Siti Aminah yang juga turut diangkat Ikon Kasih Sayang SMK Mutiara.

Menurut Mohd Nizam, hujan lebat pada pagi Rabu, baru-baru ini, telah membuatkan ramai pelajar terperangkap di pondok pengawal keselamatan dan juga di perhentian bas di luar kawasan sekolah.

"Salah seorang pelajar terperangkap adalah pelajar Tingkatan Satu, Nur Shimah yang takut mengharungi air di laluan penjalan kaki.

"Melihatkan situasi itu, Baverly yang turut berada di sana, bertindak menghulurkan bantuan dengan menggendong Nur Shimah," katanya.

Selain Baverly, terdapat lima lagi pelajar yang turut membantu kira-kira 30 pelajar lain ketika hujan lebat.

Mereka ialah Siti Aminah Amirullah, Venus Mina Einstein, Chai Fu Nan, Edward Teo dan Tiu Yi Rong.

Mohd Nizam (empat dari kiri) bersama lima daripada enam Ikon Kasih Sayang SMK Mutiara.

Sementara itu, Mohd Nizam memberitahu, pihak sekolah bangga dengan amalan dan tindakan mulia pelajar SMK Mutiara yang membantu pelajar dalam kesusahan.

"Dengan ini, pihak sekolah menganugerahkan sijil penghargaan Ikon Kasih Sayang peringkat sekolah kepada enam pelajar berkenaan.

"Semoga semua pelajar mempunyai sifat keprihatinan, kerjasama dan kasih sayang yang sama.

"Juga terus membantu rakan-rakan yang dalam kesusahan tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan," ujarnya.

ARTIKEL MENARIK:

Demi persahabatan, murid tahun 6 sanggup gendong rakan ke sekolah setiap hari selama 6 tahun

Gara-gara tak mahu masuk kelas..cikgu SK RPS Dala, Gerik nekad dukung murid tahun satu

Pujuk-pujuk tak jalan, cikgu ini gendong anak murid ke kelas… ‘untung le kome’

'Betis saya sakit seperti kena cucuk' - Calon UPSR mangsa pencemaran Sg Kim Kim kini derita Myokimia

Pelajar autisme SMK Bukit Baru, Juara Khat pendidikan Khas Peringkat Negeri Melaka 2018 dan 2019