Timbalan Menteri Pendidikan II, Muslimin Yahya menyeru semua warga pendidik terus jalankan PdP dari rumah dan pastikan semua murid mendapat akses kepada ilmu, bersesuaian dengan tema Hari Guru pada tahun ini, Guru Demi Ilmu, membina Genarasi Baru.

“Kita tahu semua warga pendidik mempunyai spiritual yang tinggi, jiwanya adalah untuk menyampaikan ilmu kepada pelajar. Bahkan kami juga faham, mereka mempunyai kerinduan untuk bersemuka dengan anak murid,

“Namun warga pendidik semua harus fahami, ini adalah peperangan kita berhadapan dengan sesuatu yang kita tidak nampak,” katanya pada sidang akhbar di majlis penyampaian sumbangan agihan 2000 nashkah al-Quran oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) kepada Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan II, Muslimin Yahya, Pengarah Pendidikan Negeri Selangor, Izmi Ismail, Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Pendidikan Dua, Mohamad Zaidi Selamat, Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah, Naib YDP Majllis Guru Besar Selangor, Abdul Rahman Marhaban dan juga Ketua Pengarang Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin.

Dalam majlis tersebut, Majlis Guru Besar Selangor turut tampil memberikan sumbangan sebanyak RM20,000.20 untuk Tabung Bantuan Frontliners Covid-19 Sinar Harian.

Sumbangan disampaikan oleh Timbalan YDP Majlis Guru Besar Selangor, Nor Azmi Rahmat kepada Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Media Karangkraf Datuk Muhammad Nasir Hamzah.

Nor Azmi berkata, ia sebagai tanda simpati dan cakna mereka terhadap frontliner yang selama ini bertungkus lumus membantu seluruh rakyat Malaysia.

“Dalam majlis mesyuarat khas exco Majlis Guru Besar Selangor sebelum ini, kami telah bersetuju menyumbangkan dana daripada tabung Majlis Guru Besar dan juga tabung Majlis Guru Besar daerah-daerah seluruh Negeri Selangor.

“Ia sebagai tanda terima kasih kami kepada wira-wira negara yang bertugas di barisan hadapan dalam memerangi penularan wabak Covid-19 ini,”katanya.