Terletak jauh di pedalaman dengan jaraknya 120 kilometer dari Sri Aman, Sarawak, siapa sangka Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Delok mempunyai permata yang makin bersinar dalam arena sepak takraw.

Guru Bahasa Melayu, Suriyong Sayrie Boon Chara berkata, beliau yang menguruskan pasukan sepak takraw yang dinamakan Kumpulan Delok Gator Takraw SK Nanga Delok sejak tiga tahun lalu berasa bertuah kerana sentiasa mendapat komitmen tinggi daripada murid setiap kali membuat latihan.

Delok Gator Takraw Team bersama Cikgu Suriyong dan piala yang dimenangi di peringkat negeri

"Mereka tidak pernah mengeluh jika perlu membuat latihan lebih kerap, inilah rahsia saya berjaya menggilap potensi dan bakat murid hinggakan empat murid yang mewakili sekolah kini boleh diibaratkan bakal permata negara.

“Mereka ini sangat istimewa dan tidak pernah sekalipun merungut walaupun berdepan dengan keadaan serba kekurangan. Kami bagaikan sebuah keluarga, dan saya sendiri sudah dianggap seperti ayah dalam kalangan mereka.

“Tanggapan itu secara tak langsung membuatkan hubungan kami bertambah akrab, sehingga setiap arahan yang saya berikan ketika latihan dapat dipatuhi dengan baik,” katanya.

Tiga murid berkenaan ialah Hillary Dundang Louis, 11, (tekong); Felexson Gerrard Jantan, 12, (apit kiri);  Nicolrooy Shcaller Margaret, 12, (apit kanan) dan Watson Boni Johnny, 11, (pemain simpanan).

Aksi menarik dari Hilary Dundang

Kata Cikgu Suriyong, biarpun sanggup berhabis wang ringgit namun pengorbanannya sangat berbaloi apabila pasukan sekolah itu meraih kemenangan demi kemenangan hingga ke peringkat negeri.

Antara kejayaan manis yang pernah dikecapi adalah pasukan sepak takraw SK Nanga Delok pernah mendapat tempat ketiga peringkat sekolah, bahagian, negeri pada MSSN Sarawak.

"Lebih menggembirakan apabila pasukan kami dapat mewakili Sarawak ke peringkat kebangsaan walaupun tewas dalam saingan sengit pasukan lawan," katanya.

Guru yang berasal dari Kodiang ini berkata, sebenarnya kehadiran tiga pemain itu di gelanggang amat digeruni lawan memandangkan mereka mempunyai kelebihan di posisi masing-masing.

"Ketika bertemu Perlis dan Kelantan, pasukan kami berjaya menjuarai perlawanan namun kecundang pada saat bertemu dengan Pahang di Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) yang berlangsung di Centre Court Paroi, Seremban, Negeri Sembilan pada bulan Mac 2019,” katanya.

Cara latihan Cikgu Suriyong

Menyingkap kembali usaha beliau melahirkan bintang-bintang muda SK Nanga Delok, guru muda ini memulakan pencarian menerusi latihan asas menimbang bola. Bermula dari situlah, murid-murid ini mula minat dengan sukan takraw.
 

Kontinjen Sarawak dalam kejohanan Sepak Takraw Majlis Sukan Sekolah Malaysia, di Paroi Seremban.

“Saya gilap bakat murid menerusi latihan yang spesifik mengikut posisi masing-masing. Saya mulakan dengan asas permainan sepak takraw, selepas mereka benar-benar faham, barulah mereka boleh menguasai kemahiran dalam permainan,” katanya.

Katanya, beliau setiasa menasihatkan pemain supaya merebut semua peluang ketika perlawanan dan jangan buat kesilapan mudah.

Malah, demi meningkatkan prestasi pemainnya, Cikgu Suriyong sanggup membawa pasukan sekolah menyertai pelbagai pertandingan terbuka biarpun terpaksa bersaing dengan pemain dewasa.

"Dengan cara berlawan dengan pemain dewasa, pemain Delok Gator Takraw SK Nanga Delok mendapat suntikan semangat dan keberanian serta tidak mudah gentar ketika berhadapan dengan pasukan lawan," katanya.

Cikgu Suriyong bersama Nicolrooy (kanan), Felexson dan Hilary Dundang

Kongsi Cikgu Suriyong, ketika terpilih di peringkat negeri beliau melatih pasukannya dua jam sehari empat kali seminggu.

"Pasukan Delok Gator Takraw SK Nanga Delok dinobat Regu Terbaik Sarawak bawah 12 tahun pada MSSN Sarawak, setelah berjaya menunjukkan permainan yang berkualiti dalam perlawanan yang diadakan di Kapit.

"Bagi menghadapi saingan di peringkat kebangsaan pula, pasukan takraw sekolah menjalani latihan pusat selama seminggu di Sekolah Sukan Negeri SMK Tabuan Jaya, Kuching.

“Dari segi pemakanan, saya melarang mereka mengambil makanan yang berlemak, minuman berais dan berkarbonat,” terangnya.

Melihatkan kesungguhan muridnya itulah, Cikgu Suriyong sanggup mengeluarkan duit sendiri sebanyak RM500 lebih semata-mata untuk membeli baju latihan dan jersi perlawanan. Pengorbanannya diteruskan apabila beliau dengan rela hati menampung kos perjalanan membawa pasukannya bertanding di peringkat zon.

Sementara kos perjalanan peringkat bahagian dan negeri, ditanggung oleh Pejabat Pendidikan Daerah dan Bahagian manakala peringkat kebangsaan pula ditaja sepenuhnya oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) selain sumbangan PIBG dan Majlis Sukan Sekolah Rendah Daerah.  

Info!

Delok Gator Takraw Team

Hillary Dundang Louis, 11 tahun - Posisi tekong

Felexson Gerrard Jantan, 12 tahun - Posisi apit kiri

Nicolrooy Shcaller Margaret, 12 tahun - Posisi apit kanan

Kejayaan

Ketiga: Peringkat Sekolah

Ketiga: Peringkat Bahagian

Ketiga: Peringkat Negeri

Kalah peringkat kumpulan: Peringkat kebangsaan

Reaksi

“Saya suka tengok aksi akrobatik dalam permainan. Mula bermain takraw ketika saya di tahun empat. Azam saya, mahu menjadi pemain yang mempunyai kebolehan melakukan rejaman yang bervariasi,”

Nama: Nicolrooy Schaller Margaret                                    

Umur : 12 tahun.   

Pemain idola: Nor Aizat Nordin (Johor Tigris)

“Mahu menjadi apit kiri yang mempunyai kebolehan bermain menggunakan dua  belah kaki yang mantap,”                 

Nama: Felexson Gerrard Jantan

Umur: 12 tahun.                              

Pemain idola: Nor Faizul Razak (ATM)

“Saya mula bermain ketika di tahun tiga. Saya bercita-cita untuk menjadi seorang tekong yang mempunyai kebolehan melakukan servis kencang dan bervariasi,”                                       

Hillary Dundang Louis.

Umur: 11 tahun.

Pemain idola: Wirawut Na Nongkhai

“Mahu menjadi apit kiri yang mempunyai kebolehan menghantar bola di setiap penjuru gelanggang,”

Watson Boni Johnny.

Umur: 11 tahun.

Pemain idola: Farhan Adam (Selangor Piston)

Video berkaitan:

Video: Facebook MSSM Sepaktakraw 2019

Artikel Menarik:

22 ulasan yang boleh diguna pakai guru untuk slip peperiksaan

I Force hasil inovasi guru Fizik ini menang pelbagai anugerah buatkan subjek Fizik semudah 1,2,3

‘Biarpun terpaksa duduk bawah meja, kami tetap mahu ke sekolah,’- Situasi pilu pelajar bikin sebak