JOHOR BAHRU - Sesi pembelajaran di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sri Pulai, Jalan Batai 3, di sini, terpaksa dihentikan selepas tiga bilik di tingkat tiga sekolah itu terbakar dalam satu kejadian, tengah hari semalam.

Bagaimanapun insiden kira-kira 12 tengah hari itu tidak menyebabkan sebarang kecederaan kepada murid dan kakitangan sekolah kerana pihak sekolah telah berjaya menjalankan pengungsian bangunan mengikut prosedur dalam keadaan yang aman.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Skudai Mohamad Riduan Akhyar berkata ketika kejadian, sesi pembelajaran sidang pagi sedang dijalankan.

"Kebakaran dipercayai bermula dari bilik stor dan merebak ke tandas melalui atas siling kerana bahagian bumbung diperbuat daripada kayu manakala struktur lain adalah konkrit.

"Selain dua bilik itu, bilik makmal juga terjejas kerana terkena kesan jelaga (asap) ” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, semalam.

Mohamad Riduan berkata seramai 10 anggota dengan tiga jentera dari balai itu ditugaskan untuk memadamkan kebakaran dan turut dibantu oleh empat anggota dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pekan Nenas.

Punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, beberapa video dan gambar yang menunjukkan kejadian berlaku dikongsikan oleh orang awam di laman sosial Facebook. - Bernama

ARTIKEL MENARIK:

Pesanan khas untuk ibu bapa menjelang peperiksaan UPSR

Link Soalan Percubaan UPSR 2019 - Penting untuk calon buat latih tubi

UPSR dah dekat - Ini kami kongsi 10 tip skor A Sains UPSR

Nota poket Matematik Cikgu Shahril bantu murid skor A UPSR

Cikgu boleh cuba kaedah ini, cara mudah ajar murid lemah kuasai jawi