Bagaimana untuk menjadi seorang pendidik yang cemerlang? Guru SMK Dato' Undang MusaAl-Haj, Cikgu Razali Saaran kupas tiga ciri pekerja yang bernilai dan berjaya.  

“Di bawah ini, saya kongsikan tiga ciri pekerja yang bernilai dalam organisasi. Sesuai juga dijadikan amalan di sekolah atau institusi pendidikan. Mudah-mudahan ada manfaatnya buat kita semua. Insya-Allah.

1. Amanah dalam berkerja

Saya meletakkan ini di tempat yang pertama kerana ia adalah penting dalam sesebuah organisasi. Saya percaya, sekiranya kita amanah dalam bekerja, kita tiada masa untuk melakukan perkara yang boleh mendatangkan masalah kepada orang lain.

Tidak boleh lagi mengelak kerja mahupun memberi alasan untuk mengurangkan beban kerja dan menyerahkan beban tugas itu kepada orang lain. Selain itu kita juga akan menjadi orang yang sentiasa berfikir, kelak aku akan ditanya oleh ALLAH.. itulah motivasi terbaik untuk kita sebagai pekerja.  

2. Menghormati ketua

Adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai pekerja supaya menghormati ketuanya. Namun saya faham, adakalanya organisasi itu ketuanya tidak seperti yang kita harapkan.

Namun begitu, sebagai seorang pekerja, menghormati ketua itu adalah perkara yang dituntut walaupun sikapnya itu tidak kena dengan citarasa kita.

Cuma, dalam kita menghormati, bukanlah bermaksud kita hanya tahu mengangguk dan menggeleng sahaja. Kita bukan seperti lembu dicucuk hidung.

Ada masa kita perlu memberikan pandangan dan menegur ketua sekiranya kita rasa perlu. Cuma, caranya sahaja yang perlu dijaga, harus ada adab dan cara yang sesuai.

Bagaimana sekiranya ketua kita tidak tahu menghormati kita? Sedangkan diri kita ada nilainya. Mengapa kita mahu merendahkan nilai diri kita dengan mengikut cara yang tidak sepatutnya.

“Pergilah kamu berdua kepada Firaun kerana dia benar-benar melampaui batas. Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya (Firaun) dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan dia sedar atau takut ,” (Taha : 43-44)

3. Menghormati yang tua, mengasihi yang muda

Saya faham, dalam organisasi yang mempunyai pelbagai peringkat umur dan pangkat, akan wujud konflik dalam kalangan pekerja. Orang lama ada egonya, orang muda juga ada pegangannya.

Sebagai pekerja, mahu tidak mahu, kita perlu mengiktiraf pengalaman orang lama yang telah makan garam terlebih dahulu. Sudah tentu pengalaman mereka itu tidak sama dengan teori orang baru yang dipelajari di pusat pengajiannya.

Oleh itu, adalah sesuatu yang manis sekiranya orang lama itu dihormati pandangannya dan diberikan kedudukan yang sesuai dengan pengalamannya.

Namun begitu, orang muda kadangkala kaya dengan ilmu pengetahuannya. Mereka itu golongan baru yang sangat terdedah dengan ledakan teknologi. Mereka itu disebut juga generasi Y yang wataknya berbeza dengan orang lama. Mereka sukakan cabaran dan bekerja secara aktif.

Oleh kerana kedua-dua golongan ini begitu penting kepada organisasi, kedua-duanya perlu saling memahami. Kedua-duanya perlu saling menghormati. Kedua-duanya perlu ada sifat berlapang dada. Saya percaya, sekiranya yang tua dihormati dan muda dikasihi, insya-Allah, organisasi akan aman dan berkembang. Bukan bermaksud tiada konflik, tetapi ia dapat diminimumkan.  
 

Artikel Lain:

Mulai tahun 2020, pakej mata pelajaran baharu bagi Tingkatan Empat dan Lima diperkenal KPM

Pakej mata pelajaran tingkatan 4 tahun hadapan yang perlu guru tahu... pelajar mudah faham

'Ada yang menyorok dalam tandas kerana enggan bersukan' - Cikgu ini kongsi sikap murid-muridnya

Berlatih hanya dua minggu, tak sangka pasukan sekolah ini bolot emas semua kategori di Spain