Siri 1

1.  YB lancarkan Kempen Dekad Membaca Kebangsaan. Apakah bantuan atau usaha dilakukan pusat sumber sekolah (PSS) bagi pastikan kempen ini berkesan di sekolah?

Dr. Zuridah Md Akhir, Guru Cemerlang, SMK Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah

DR. MASZLEE: PSS memiliki peranan cukup penting dalam menanam minat dan keseronokan membaca dalam diri anak-anak kita di sekolah. Kita berhasrat untuk semua PSS ini memiliki bahan bacaan berkualiti yang mampu mencambah idea dan pemikiran anak-anak.

Ia sekali gus membentuk mereka menjadi insan yang memiliki daya kreativiti dan kematangan dalam menangani pelbagai perkara.

Sehubungan itu, KPM bersama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) telah menggerakkan usaha secara menyeluruh dalam  memberikan sumbangan buku kepada semua PSS di sekolah-sekolah di seluruh negara.

Kebiasaannya setiap agensi ini akan menyumbang buku-buku dengan nilai mencecah RM2,000.

Untuk itu, pihak sekolah yang berhasrat untuk mendapatkan buku ini boleh berhubung terus dengan DBP dan ITBM bagi mendapatkan sumbangan penuh bermakna ini.

2. Seperti Jepun dan Korea, mereka menekankan pendidikan akhlak, budaya dan kesopanan semasa sekolah rendah mahupun tadika tanpa pembelajaran subjek. Adakah ia satu realiti, pendekatan ini akan dibuat untuk sistem pendidikan akan datang?

Mohd Afiffi Baharuddin, Guru Fizik SMK(P) Sultan Abu Bakar, Muar

DR. MASZLEE: Pegangan dan pendekatan pendidikan di era Malaysia Baharu seperti yang sering saya sebut, iaitu Kasih Sayang, Hormat-menghormati dan Kegembiraan. Saya percaya dengan pendidikan yang berteraskan nilai sebagai tunjang kepada pembentukan masyarakat lebih berdaya maju.

Kita tidak mahu anak-anak kita hanya mengenali sekolah sebagai tempat menduga kekuatan akal dan fizikal semata-mata, kita tidak mahu mereka terperangkap dalam sistem yang mengutamakan gred dan markah.

Sehubungan itu, sebagai langkah awal, kita mansuhkan peperiksaan Tahap 1.

Melalui usaha ini kita mampu menghasilkan generasi baharu yang memiliki keupayaan dan pemikiran holistik di samping membina jati diri dan nilai-nilai positif sejak dari awal lagi.

3. Apakah akan diwujudkan jawatan pembantu guru bagi membantu tugas pengkeranian seperti susun soalan, isi markah, masukkan data Sistem Sahsiah Disiplin Murid agar guru dapat menumpukan kepada peningkatan kualiti Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc).

Norazri Mat Piah, SMK Kinarut, Papar, Sabah

DR. MASZLEE: Bermula pada tahun ini, KPM telah merangka lima inisiatif dan sembilan intervensi khusus bagi menangani beban tugas guru.

Inisiatif ini bertujuan mengatasi isu pertindihan tugas guru supaya mereka dapat berikan lebih fokus kepada pengajaran dan pembelajaran.

Selain daripada lima inisatif dan sembilan intervensi ini, kementerian juga telah mengenal pasti beberapa inisiatif jangka panjang melibatkan isu lebih kompleks dan memerlukan kajian semula dasar serta peraturan sedia ada, penambahbaikan infrastruktur fizikal ICT, pengoptimuman perjawatan dan pengisian sumber manusia di sekolah. 

Hal ini adalah termasuk dengan perkara berkaitan waktu kerja guru, capaian internet di sekolah, integrasi sistem maklumat, pemerkasaan peranan pentadbir sekolah dan anggota kumpulan pelaksana serta agihan guru-guru yang lebih baik di sekolah.

KPM juga sedang meneliti secara serius perkara berkaitan pembantu guru ini sebagai sebahagian daripada pilihan yang ada untuk mengatasi isu beban tugas guru.

[ARTIKEL BERKAITAN Siri 2 : Tiga soalan bersama Dr. Maszlee - KPM hargai sumbangan pengetua, guru besar dan guru kanan]

Artikel lain:

'Semua anak murid sayang abah' - Anak Allahyarham Ustaz Ku Yaacob

Meja guru perlu kemas dan tersusun - Panduan ini mungkin berguna buat cikgu-cikgu

Bekas pelajar Allahyarham Ustaz Ku Yaacob pula kongsi lima pesanan beliau sepanjang di SMKA Kedah

Cinta barangan antik bawa pesara guru ini mengembara

Sekolah dikelilingi alat permainan, patutlah 6.30 pagi murid dah datang - Macam dalam filem 3 Idiot!