PUTRAJAYA - Penanda aras di peringkat antarabangsa menerusi data pentaksiran dan kajian adalah sangat penting buat sesebuah negara menambah baik corak sistem pendidikan supaya setanding dan mampu menyaingi negara maju lain.

Timbalan Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia, Dr Habibah Abdul Rahim berkata, Malaysia tidak ketinggalan mengambil bahagian dalam pentaksiran dan kajian melalui Kajian Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) dan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) untuk mencapai objektif yang sama.

“Objektif sistem pendidikan adalah memastikan murid dibekalkan dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan.

“Dapatan daripada pentaksiran dan kajian tersebut telah mencetus perubahan yang komprehensif dan dinamik dalam sistem pendidikan negara sama seperti perancangan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM),” katanya pada sidang media, Selasa lalu.

Menurutnya, penyertaan negara terhadap TIMSS dan PISA bukan hanya bertujuan untuk mengetahui prestasi dan keberkesanan sistem sedia ada malah penambahbaikan turut dilakukan dari masa ke masa.

“Kita memerlukan data yang konsisten dan dipercayai yang boleh diukur secara berkala kerana ia sangat penting untuk menambah baik kualiti serta penyampaian sistem pendidikan yang ada.

“Kedua-dua pentaksiran ini diharap dapat merealisasikan hasrat PPPM 2013-2025,” katanya.

Carta Penandaarasan Antarabangsa Sisten Pendidikan Negara melalui kaedah Program Penilaian Antarabangsa (OISA) dan Kajian Trend Pendidikan Matematik & Sains Antarabangsa (TIMSS).



Fokus Matematik dan Sains

Habibah berkata, TIMSS adalah kajian perbandingan antarabangsa anjuran Persatuan Penilaian Pencapaian Pendidikan Antarabangsa (International Association for the Evaluation of Educational Achievement (IEA) yang memberi fokus kepada  mata pelajaran Matematik dan Sains.

“Terdapat 39 negara lain mengambil bahagian dan pentaksiran ini memberi tumpuan kepada kurikulum sebagai faktor utama kerana ia dapat menerangkan pencapaian murid.

“Penyertaan Malaysia bermula pada 1999 yang bermula dalam Gred 8 yang melibatkan sampel pelajar di tingkatan dua, guru Matematik, Sains dan pentadbir sekolah yang mana ia dilakukan secara rawak oleh IEA dalam kitaran empat tahun sekali.

"Secara khususnya, model ini berkisar kepada apa yang sepatutnya dipelajari murid melalui kurikulum Matematik dan Sains serta strategi pengajaran selain pembelajaran yang dilaksanakan di bilik darjah dan hasil pencapaian murid,” katanya.

Beliau berkata, maklumat tersebut, bukan sahaja mengukur kedudukan penanda arasan pendidikan negara, malah boleh memperbaiki sistem pendidikan sedia ada.

“Penurunan skor yang ketara dalam TIMSS 2011 telah mencetuskan pelbagai inisiatif untuk penambahbaikan terhadap aspek kurikulum, strategi pengajaran dan pembelajaran, latihan guru dan pentaksiran di peringkat kebangsaan.

“Setelah mengenal pasti kelemahan murid, kaedah kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) telah diperkenalkan untuk diterapkan dalam kurikulum, item peperiksaan, kandungan buku teks dan profesionalisme guru sebagai penambahbaikan,” katanya lagi.

Seramai 9,726 murid tingkatan dua, 326 guru Matematik, 326 guru Sains dan pentadbir daripada 207 sekolah terlibat sebagai sampel pentaksiran TIMSS. Mengukur pencapaian murid dalam pelbagai bidang

Berbeza pula dengan PISA, ia dilaksanakan tiga tahun sekali yang mengukur pengetahuan atau kemahiran dalam aspek Literasi Bacaan, Literasi Matematik dan Literasi Saintifik yang melibatkan pelajar berusia 15 tahun.

Setiap pusingan PISA menilai sejauh mana pelajar dapat mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang telah dipelajari di sekolah.



Kata Habibah, pentaksiran yang ditadbirkan oleh Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) ini turut mampu membantu negara memantau kemajuan dalam mencapai matlamat pembelajaran.

“PISA adalah ujian antarabangsa mengandungi item yang telah didedahkan kepada murid, sekolah dan konteks kurikulum yang berbeza. Ia lebih
mencerminkan kompetensi yang perlu dikuasai murid untuk berjaya dalam pelbagai bidang.

“Setiap pusingan PISA menilai sejauh mana pelajar dapat mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang telah dipelajari di sekolah untuk menghadapi cabaran kehidupan sebenar,” ujarnya.

Beliau berkata, sebanyak 230 buah sekolah di seluruh negara yang melibatkan 9,660 murid, 230 pentadbir dan 5,750 guru telah dipilih sebagai sampel kajian PISA 2015.

“Sekolah dan murid yang mengambil bahagian dipilih secara rawak oleh OECD dan jumlah ini adalah bergantung kepada populasi yang ada.

“Buat pertama kalinya, pentadbiran PISA 2015 telah dilaksanakan berasaskan penggunaan komputer dan Malaysia juga tidak ketinggalan untuk turut serta menggunakan kaedah yang sama,” katanya.