Untuk memperoleh keputusan yang cemerlang dalam subjek Bahasa Melayu UPSR, Munsyi Dewan DBP, Pusat Akademik Munsyi, Cikgu Azhar Salleh sarankan calon-calon kuasai kemahiran ini.

1.Kuasai Kosa Kata

Kemahiran ini sangat penting untuk menjawab soalan Bahagian A, Kertas Pemahaman. Aspek ini diuji secara langsung dalam soalan penggunaan kata seperti kata nama, kata kerja, dan kata adjektif. Dalam Kertas Penulisan, kosa kata yang luas amat dititikberatkan untuk mendapat markah yang lebih baik. Calon mestilah memiliki perbendaharaan kata yang tinggi dan mencakupi banyak bidang kerana soalan yang berkaitan dengan kosa kata dan penggunaan kosa kata yang luas tidak berkaitan dengan rumus tatabahasa.

Oleh sebab itu, calon mestilah banyak membaca pelbagai bahan bacaan yang sesuai seperti majalah, akhbar, dan buku cerita. Kamus hendaklah dijadikan rujukan penting untuk memahami perkataan yang sukar dan mempelajari perkataan yang lebih menarik, khususnya dalam penulisan karangan. Karangan yang berkesan memiliki jumlah kosa kata yang luas dan menarik apabila dibaca. Kosa kata yang luas akan memudahkan calon menjawab soalan penggunaan kata, kata hampir sama makna dan menentukan ayat yang betul. Biasanya, kosa kata yang berkaitan dengan kata kerja dan kata adjektif yang banyak dikemukakan dalam Bahagian A, Kertas Pemahaman.

2.Kuasai Tatabahasa

Tatabahasa merupakan aspek yang agak sukar bagi kebanyakan calon. Hal ini dikatakan demikian kerana tatabahasa merupakan sistem bahasa yang ada rumus dan hukumnya. Soalan tentang tatabahasa lazimnya dikemukakan dalam Bahagian A, Kertas Pemahaman (Soalan 15 & 16 – Pilih ayat yang betul). Antara kesalahan umum tatabahasa yang kerap dikemukakan termasuklah kesalahan kata sendi nama, kata hubung, kata nafi, kata perintah, kata bilangan, kata tanya dan kata pemeri. Calon perlu menguasai pembentukan ayat pasif, ayat perintah, ayat tanya dan struktur ayat yang tepat. Dalam Kertas Penulisan, aspek tatabahasa menjadi keutamaan dalam pemberian markah selain markah isi dan huraiannya. Sekiranya calon gagal menggunakan bahasa dengan baiknya dalam penulisan karangan, calon sukar untuk mendapat markah cemerlang walaupun ada isi dan huraian yang relevan.

Untuk memahami dan menguasai tatabahasa dengan cemerlangnya, calon dinasihati agar sentiasa merujuk guru sekiranya berhadapan dengan masalah ini. Calon perlu menjawab soalan-soalan yang pernah dikemukakan dalam UPSR sebelum ini kerana kebanyakan isu yang dikemukakan lazimnya akan disoal kembali dalam ayat yang berbeza. Misalnya, penggunaan kata sendi nama dari dan daripada, kata berbagai dan berbagai-bagai, dan perbezaan antara bukan dengan tidak telah dikemukakan beberapa kali dalam UPSR sejak tahun 2001. Sistem ejaan yang betul dan tepat mestilah dikuasai oleh calon untuk mengelakkan pemotongan markah Kertas Penulisan.

3.Kuasai Teknik Penulisan

Bahagian B, Kertas Pemahaman Soalan 23, Soalan 24 dan Soalan 25 (Bahagian B) Kertas Pemahaman ialah soalan yang berkaitan dengan petikan. Calon akan diberi petikan dan beberapa soalan yang berkaitan dengan petikan. Lazimnya, soalan ini memerlukan calon menulis jawaban yang dapat ditemukan daripada petikan yang diberikan. Ada soalan yang memerlukan calon menulis jawaban yang tidak ada dalam petikan kerana arahannya ialah pada pendapat kamu. Oleh sebab itu, calon dinasihati agar menguasai kemahiran berfikir selain menulis jawaban berdasarkan kehendak soalan. Teknik penulisan ini mestilah difahami dengan baiknya kerana calon tidak akan mendapat markah penuh sekiranya jawaban yang diberikan tidak bersesuaian dengan skema.

Bahagian A, Kertas Penulisan

Calon diminta menulis lima ayat yang gramatis dan sesuai berdasarkan gambar atau grafik yang diberikan. Calon perlu membina ayat yang lengkap dan tepat. Teknik 5W1H dapat dimanfaatkan. Siapa + Buat Apa + Bila + Di mana + Mengapa + Bagaimana seharusnya menjadi panduan kepada calon untuk membina ayat yang berkaitan dengan gambar atau grafik yang ditunjukkan. Pastikan ayat yang dibina berkaitan dengan grafik. Pastikan ayat tersebut lengkap dari segi subjek dan predikatnya. Pastikan ayat majmuk dibina sebagai keterangan atau peluasan ayat untuk mendapat markah yang lebih baik. Pastikan tanda bacaan betul, iaitu huruf besar, noktah dan koma. Pastikan ejaan yang betul. Pastikan tulisan kemas dan mudah dibaca. Jangan tulis ayat yang tidak berkaitan dengan gambar. Kelemahan calon ialah ayat yang tidak sesuai dengan grafik dan banyak kesalahan tanda bacaan dan tatabahasa.

Bahagian B, Kertas Penulisan

Calon diminta menulis ulasan berpandukan bahan yang diberikan, sama ada bahan berbentuk grafik atau teks. Calon diingatkan agar membaca arahan soalan dengan telitinya supaya tidak tersilap semasa menulis ulasan. Ulasan yang ditulis lazimnya memiliki empat perkara, iaitu pendahuluan, isi tersurat, isi tersirat dan penutup. Kemahiran menulis isi tersurat mestilah dipelajari dan hal ini tidak terlalu sukar kerana isi tersurat terdapat dalam grafik atau teks. Isi tersirat sangat penting kerana calon tidak akan mendapat markah yang cemerlang sekiranya ulasan tidak mempunyai isi tersirat yang sesuai.

Kemahiran menulis isi tersirat perlu difokuskan dan salah satu kaedah yang lazim digunakan ialah Teknik SUKA (supaya, untuk, kerana, agar). Isi tersirat merupakan huraian lanjut yang menekankan aspek mengapa dan bagaimana. Bahagian C, Kertas Penulisan Calon diminta memilih salah satu tajuk atau soalan karangan yang diberikan. Pilihlah soalan yang paling mudah dan calon mempunyai idea tentang tajuk tersebut. Ada soalan yang berformat khusus dan ada yang tidak mempunyai format khusus. Karangan berformat yang popular termasuklah surat tidak rasmi, dialog, catatan, laporan, ucapan, syarahan dan berita. Ada dua bentuk karangan, iaitu karangan jenis cerita dan fakta. Calon perlu menulis pendahuluan, isi penting dan huraian, dan penutup yang baik. Yang penting, calon perlu memahami kehendak soalan terlebih dahulu.

Tulis karangan berdasarkan kehendak soalan. Lazimnya, empat isi mencukupi bagi sebuah karangan untuk UPSR. Setiap isi mestilah dihuraikan. Bagi karangan berbentuk cerita, calon mestilah memahami situasi seperti yang dikemukakan dalam soalan.

  • Ada jalan ceritanya.
  • Berkaitan antara satu perenggan dengan perenggan yang seterusnya.
  • Menekankan tindakan atau kegiatan yang dilakukan. Tulislah cerita yang menarik.
  • Ada nilai murni dan pengajarannya.
  • Berkaitan dengan kehendak soalan.

Bagi karangan berbentuk fakta, lazimnya soalan berkaitan dengan cara-cara atau faedah dan kebaikan. Fokus pada kehendak soalan merupakan hal yang sangat penting agar karangan tidak terpesong. Sekiranya tajuk karangan ialah faedah atau kebaikan, maka calon mestilah menulis manfaat atau kepentingan yang diperoleh.

Sekiranya tajuk karangan tentang cara-cara, calon mestilah menulis tindakan atau usaha yang dilakukan untuk menjawab soalan tersebut. Penggunaan bahasa yang menarik, kosa kata yang luas, ayat yang gramatis dan tanda bacaan yang betul perlu dititikberatkan oleh calon. Dicadangkan agar panjang bagi setiap perenggan dalam lingkungan tiga hingga lima ayat.

4.Kuasai Peribahasa

Soalan yang berkaitan dengan peribahasa seperti simpulan bahasa dan perumpamaan boleh dikemukakan dalam Kertas Pemahaman. Calon perlu mengetahui maksud peribahasa dan konteks penggunaan yang sesuai. Calon dinasihati agar terus membaca buku atau kamus peribahasa supaya calon dapat memahami maksud peribahasa, khususnya peribahasa yang popular dan terkandung dalam buku teks. Penggunaan peribahasa dalam karangan turut membantu calon untuk mendapat markah yang cemerlang.

5.Kuasai Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT)

Kemahiran berfikir aras tinggi bukanlah sesuatu yang sukar atau seharusnya menjadi kebimbangan kepada calon. Kemahiran ini sebenarnya mendorong calon untuk memberikan jawaban yang rasional dan relevan dengan konteks atau situasi soalan. Ada yang beranggapan bahawa soalan KBAT ialah soalan yang sukar untuk dijawab.

Pandangan ini kurang tepat sebenarnya kerana sekiranya calon dapat mengemukakan idea yang baik dan rasional berpandukan konteks soalan, calon akan mendapat markah yang cemerlang. Lazimnya, soalan aras ini dikemukakan dalam Bahagian B, Kertas Pemahaman dan soalan petikan yang memperuntukkan 3 markah. Calon hendaklah memberikan jawaban berdasarkan alasan dan pandangan yang sesuai dengan soalan yang dikemukakan.

Oleh sebab itu, calon dinasihati agar menjadikan sumber rujukan lain sebagai bacaan tambahan seperti akhbar dan majalah untuk menajamkan fikiran. Penguasaan calon dalam pelbagai bidang ilmu menjadi pemangkin yang terbaik untuk menjawab soalan aras tinggi ini.

TIP MENARIK:

'Kata kuncinya adalah hafal formula' - Ini peringatan penting cikgu Matematik kepada calon UPSR

Latih tubi tajuk peratus bagi subjek Matematik UPSR - Dua markah untuk soalan ini

Dua tajuk penting subjek Sains untuk calon UPSR hafal, ingat - Contoh soalan disediakan (Siri 1)

Calon UPSR hafal tajuk ini untuk skor subjek Sains - Disediakan contoh soalan untuk latihan (Siri 2)

Nak pandai Matematik? Cikgu Fadli kongsi empat video mengikut pecahan tajuk, dijamin faham (Siri 1)

Mudahnya nak skor A Matematik UPSR, Cikgu Fadli kongsi tiga video (Siri 2)