Setiap hari, guru akan bertemu dengan pelajarnya, sama ada untuk sesi pembelajaran di dalam atau aktiviti di luar kelas.

Oleh itu, penampilan dan perlakuan guru sering menjadi perhatian pelajar.

Apa-apa sahaja yang digayakan, diucapkan atau dilakukan oleh cikgu boleh menjadi inspirasi kepada pelajar.

Di sini, pentingnya guru menjaga penampilan kerana tiga tujuan utama iaitu

1) Menjaga kredibiliti profesion keguruan

2) Mengundang rasa hormat daripada sesiapa juga yang berurusan dengan guru

3) Membina identiti guru yang efektif.

Kami senaraikan tip penampilan yang baik untuk guru-guru amalkan:

1) Potongan pakaian perlu profesional. Adalah baik sekiranya guru mempunyai blazer formal yang berpadanan dengan rangka tubuh.

2) Pilih warna yang pekat dan kurangkan penggunaan warna pastel. Warna-warna pekat membawa mesej yang lebih tegas dan berpendirian manakala warna-warna pastel membawa mesej lebih santai dan kasual.

3) Untuk guru wanita, kasut perlu selesa, bertumit dan bertutup penuh.

4) Jangan lupa pakai jam. Jam adalah aksesori pelengkap yang boleh membawa mesej profesional. Pilih jam yang ringkas gaya rekaannya dan diperbuat daripada metal.

5) Minimumkan corak pada pakaian. Pakaian polos lebih berautoriti berbanding pakaian yang dipenuhi motif flora.

Antara perkara dilarang dalam berketerampilan, guru perlu elakkan:

1) Aksesori terlalu sarat.

2) Pakaian yang terlalu banyak perincian.

3) Warna-warna yang kelihatan lesu atau tidak bertenaga.

4) Gaya tudung yang lebih sesuai ke majlis khas.

5) Mekap yang terlalu tebal.

6) Muka pucat tiada langsung mekap.

Apabila kalangan guru jelas terhadap kepentingan berketerampilan secara profesional, isu rasa cemburu tidak akan timbul.

Perkara yang perlu difokuskan adalah kesan penampilan secara kemas dan konsisten terhadap karisma seorang guru.

Pelajar melihat guru yang berkarisma sebagai idola yang memberi motivasi untuk tampil bergaya secara profesional setiap hari.

Selain menjaga penampilan dari sudut pakaian, guru-guru juga perlu menambah baik teknik komunikasi apabila berhadapan dengan pelajar, rakan sekerja, ibu bapa dan tetamu institusi yang lain.

Imej bukan sahaja merujuk kepada teknik berpakaian malah salah satu komponen besar dalam imej juga adalah gaya pertuturan.

Artikel menarik

24 pesara UniSZA diraikan pada Majlis Jasamu Dikenang

UMK dan UMB jalin kerjasama antarabangsa dalam bidang penyelidikan