GURU - guru tak nak lagi mahu menjadi pengawas peperiksaan. Lebih elok buka saja peluang itu kepada askar pencen, budak lepasan universiti yang masih mencari pekerjaan, yang 'jobless' dan sebagainya.

Aku mencadangkan, pengawas peperiksaan bagi setiap peperiksaan bukan lagi dipilih dari kalangan guru. Cukuplah ambil seorang dua dari guru untuk jadi ketua pengawas, selebihnya buka tawaran secara terbuka untuk menjawab jawatan pengawas peperiksaan.

Saban tahun, guru-guru dipaksa rela untuk menjadi pengawas peperiksaan. Majoriti tak nak pun jadi pengawas ini.

Ini terbukti bila satu post dimuat naik dalam group guru dan mendapat respon hebat. Majoriti mereka tidak mahu menjadi pengawas peperiksaan.

Dan aku fikir, Dr Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan perlu ambil cakna luahan hati ini.

Guru-guru tak nak lagi mahu menjadi pengawas peperiksaan. Lebih elok buka saja peluang itu kepada askar pencen, budak lepasan U yang masih mencari pekerjaan, yang 'jobless' dan sebagainya.

Atau mungkin boleh sahaja buka jawatan (sementara) pengawas peperiksaan ini kepada mahasiswa dan mahasiswi. Boleh juga mereka dapatkan side income buat tampung pembelajaran.

Hentikan budaya paksa rela ini. Hentikan memaksa guru menjadi pengawas peperiksaan sedangkan mereka tidak rela pun.

Atas kertas, memang menjadi pengawas peperiksaan itu atas kerelaan guru. Itu atas kertas sahaja.

Realitinya, sangat ramai guru menolak jawatan itu sehingga arahan dikeluarkan wajib setiap sekolah menghantar sekian-sekian jumlah guru untuk peperiksaan sekian-sekian.

Maka guru ditangkap muat, dipaksa untuk menjadi pengawas peperiksaan pula.

 

Kenapa ramai yang tidak mahu menjadi pengawas peperiksaan?

Kerana sebaik menerima jawatan itu, sebelah kaki dah dalam penjara. Apa-apa kebocoran soalan, apa-apa masalah membahayakan kerjaya guru itu sendiri. Itu yang pertama.

Yang kedua, bayaran yang dibayar langsung tidak setimpal dengan kerja berat dan risiko yang ditanggung. Bayaran menjadi pengawas ini makin lama makin murah. Bila claim lebih sikit, kena potong sana sini.

Bayangkan bayaran hanya sekitar RM100 (bergantung pada jarak) untuk menjadi pengawas UPSR sedangkan amanah serta tanggungjawab itu cukup besar dan berat.

Yang terakhir dan menjadi isu hangat ialah claim itu terlalu lambat dibayar.

Dah la dibayar murah, lambat pula tu. Ramai rakan-rakan guru yang menjadi pengawas peperiksaan UPSR 2018 pada bulan 9 tahun lepas masih belum menerima bayaran menjadi pengawas peperiksaan.

Ini dah masuk pertengahan bulan 3 dah pun. Dah lebih setengah tahun bekerja namun bayaran belum diterima bukan benda kecil.

Memang bayaran itu murah sahaja, tapi orang dah bekerja maka bayarlah cepat-cepat.

Aku dan rakan-rakan guru yang lain sangat berharap YB Menteri memandang serius hal ini. Tolonglah jangan paksa guru lagi menjadi pengawas peperiksaan. Buka saja jawatan itu kepada agensi lain.

Dan tolong percepatkan bayaran kepada guru-guru yang telah pun bertugas sejak tahun lepas namun masih belum menerima bayaran lagi.

 

Sekian, terima kasih.

 

#MFS

Mohd Fadli Salleh

 

 

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik ada memuat naik status di Facebook miliknya pada 11 Mac lalu.