KUALA KUBU BHARU - Kasih sayang ibu terhadap anaknya tiada batasan meskipun mereka berlainan pegangan agama.

Ketika anaknya mendaftar sebagai pelajar tahfiz, seorang suri rumah, Ang Bee Cheng, 48, hadir menemani bagi menguruskan pendaftaran tersebut.

Anak sulung daripada tiga beradik, Tan Mike Foong, 23, merupakan pelajar mualaf yang berjaya menamatkan Sijil Asas Tahfiz selama setahun di Darul Quran Jabatan Agama Islam (JAKIM) Kuala Kubu.

Mike Fong membuktikan keupayaan menghafaz 10 juzuk Al-Quran walaupun orang kurang upaya (OKU) penglihatan sejak dilahirkan.

Kini dia meneruskan pengajian peringkat Diploma Tahfiz Al-Quran dan Al-Qiraat yang ditetapkan syarat menghafaz kesemua 30 juzuk dalam tempoh tiga tahun.

Sesi pendaftaran program diploma itu pada Selasa lalu mendapat perhatian ramai apabila dia ditemani ibunya yang bukan beragama Islam.

Mike Fong memeluk Islam pada 2015 yang ketika itu tanpa pengetahuan ibu bapanya.

Dia menerima pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Kubu Bharu dan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Setapak, Kuala Lumpur.

Ketika  kanak-kanak Mike Fong pernah meniru suara azan di rumah kerana seringkali mendengar laungan tersebut dari surau berdekatan rumahnya di Batangkal.

Menurutnya, terdapat sebuah kem tentera di belakang sekolah menengah yang akan memasang bacaan  Al-Quran sebelum masuk solat.

"Bila dengar bacaan itu saya tidak rasa ia satu muzik tetapi satu kalimah yang berlainan sehingga ketika di tingkatan empat, saya akan buka radio untuk dengar bacaan solat terawih.

"Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya mengikuti latihan kemahiran pengurusan pejabat di bawah Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB).

"Ramai yang beragama Islam dan bila mereka ada kuliah agama dikendalikan Ustaz Mat Noor, saya bersama dua rakan bukan Islam akan mendengar," katanya.

Bee Cheng (kiri) ketika menemani Mike Foong untuk pendaftaran.

Rahsia terbongkar ketika bawa ibu makan di restoran

Mike Fong berkata, satu hari pihak persatuan menjemput seorang pendakwah mualaf kerana ada antara mereka yang ingin tahu tentang Islam.

Menurutnya, dia turut serta dalam perbincangan tersebut sebelum diajukan beberapa soalan berkaitan fitrah kejadian penciptaan dan pencipta.

"Pada hari itulah saya melafaz dua kalimah Syahadah dan sekali lagi seminggu kemudian ketika mendaftar secara rasmi di pejabat agama.

"Saya rahsiakan dari pengetahuan ibu bapa dan selepas setahun setengah, baharu mereka tahu.

"Saya ajak ibu pergi makan kedai makan mualaf Cina dan pemilik kedai bertanya adakah saya muslim di hadapan ibu," katanya.

Ibunya memberi reaksi terkejut apabila Mike Fong membuat pengakuan memeluk Islam ketika  menjawap soalan pemilik kedai makan itu.

Sampai di rumah Mike Foong ditanya ibunya mengenai kejadian di restoran itu.

Tamat pengajian Diploma Kemahiran Malaysia, Mike Fong menyertai Interactive Dakwah Training (IDK) sebagai sukarelawan dan belajar cara pendakwah menyantuni golongan mualaf.

Dia mula mempelajari dan membaca buku Iqra selain menghafaz surah serta berjaya memenangi pertandingan hafazan mualaf di peringkat negeri Melaka.

"Atas cadangan seorang rakan, saya mengikuti Kursus Asas Tahfiz di Darul Quran Jakim selama setahun bermula Januari tahun lepas," katanya.

Bee Cheng, walaupun terkilan dan mengambil masa hampir setahun untuk menerima hakikat namun dia akur dengan keputusan anak sulungnya itu.

"Saya takut kehilangan Mike kerana ramai yang kata, orang Islam tidak boleh tinggal bersama dengan bukan Islam dan saya takut Mike tidak boleh menguruskan diri.

"Selepas Mike menerangkan segalanya, baharu saya boleh terima dan gembira melihat perubahan dia yang semakin baik.

"Saya sendiri menemani dia mendaftar sebagai pelajar tahfiz dan mula-mula dulu, hari-hari saya datang jenguk Mike kerana rumah kami di Kampung Asam Kumbang tidak jauh dalam 10 minit sahaja," katanya.

Bee Cheng berkata, Mike Fong dilahirkan tidak cukup bulan dengan berat 900 gram dan ditahan di wad Hospital Kuala Lumpur selama tiga bulan.

Menurutnya, bapa Mike Fong, Tan Ang Chong, 54, mengusahakan bengkel sendiri manakala dua lagi anak masing-masing berusia 20 dan tujuh tahun.

"Kami semua bukan Islam dan hanya Mike sahaja Islam tapi hidup bahagia malah anak bongsu suka melihat Mike solat," katanya.

Sementara itu Mike Fong berkata, dia tidak mempunyai keluarga angkat beragama Islam kerana ibu bapa dan dua adiknya adalah harta dunia akhirat yang tiada pengganti.

Menurutnya, nama asal dikekalkan kerana tiada keperluan berbuat demikian walaupun sudah menganuti Islam.

Artikel menarik:

Dua lepasan SPM ini terkejut subjek Gagal, rupa-rupanya A setelah semakan semula dibuat

Anak Allahyarham Abu Hassan kongsi saat terakhir bersama bapa - (7 foto)

'Saya nak baca al-Quran semula' - murid SK Sik hilang penglihatan, hidap kanser otak

Pelajar cemerlang SPM ini dedah teknik menulis karangan Bahasa Melayu yang berkesan

Tahniah! Maahad Muhammadi Pasir Mas johan bahas ala Parlimen, Mumtazatul A'liya pendebat terbaik