Profesor Emeritus Datuk Isahak Haron ialah pensyarah di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya

Pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (Sijil Unified Examination Certificate -UEC) Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) tidak membantu mengukuhkan sistem Pendidikan Kebangsaan bagi membina negara bangsa.

Saya melihat isu pengiktirafan UEC ini dalam konteks yang lebih luas, iaitu dari segi teori dan amalan pembentukan identiti negara bangsa.

Konsep identiti negara bangsa dan identiti nasional (national identity) ditakrif oleh ahli sains politik Rupert Emerson sebagai 'a body of people who feel that they are a nation.'

Ia satu konsep ‘rasa bangga bersama’ sebagai warga sebuah negara, yang rakyatnya mungkin terdiri daripada pelbagai kaum, etnik dan kumpulan budaya.

Ia berasaskan beberapa ciri antaranya: Simbol budaya sama, pengalaman pendidikan yang sama dan mengguna bahasa yang sama.

Indonesia yang mempunyai lebih daripada 500 bahasa etnik utama di lebih 2,000 pulau dan daerah yang berselerak, pemimpin dan pejuang kemerdekaannya memilih bahasa Melayu sebagai Bahasa Nasional dan dengan bangga memanggilnya bahasa Indonesia sebagai bahasa penyatuan pelbagai etnik di Kepulauan Indonesia.

Boleh dikatakan faktor utama yang menyatukan 270 juta rakyat Indonesia pelbagai etnik dan daerah dan identiti bangsa Indonesia sekarang ialah satu bahasa dan satu sistem pendidikan kebangsaan.

Ertinya Indonesia mempunyai ikatan penyatuan dan identiti nasional yang menjadi asas dan payung, di samping budaya dan bahasa sub-identiti etnik.

Singapura juga unik.

Pada masa Singapura terpisah dari Malaysia dan mendapat kemerdekaan pada 1965, populasinya 1.9 juta, terdiri daripada pelbagai kaum, majoritinya Cina, mengguna pelbagai bahasa: Kebanyakan orang Cina mengguna Mandarin dan pelbagai dialek Cina. Orang berketurunan India mengguna bahasa Tamil, Telugu dan Urdu.

Orang Melayu mengguna bahasa Melayu. Kumpulan atasan golongan profesional daripada semua kaum mengguna bahasa Inggeris. Dalam komunikasi harian antara kaum-kaum ini, bahasa popular ialah bahasa Melayu pasar dan bahasa Inggeris.

Sistem pendidikan juga pelbagai.

Selain aliran Inggeris yang muridnya kebanyakan pelajar Cina dan campuran pelajar minoriti Melayu, India dan Serani, terdapat juga sekolah aliran Mandarin, yang kebanyakan pelajarnya berketurunan Cina.

Terdapat juga sekolah rendah dan menengah aliran Melayu.

Rakyat Singapura yang majoriti Cina telah terima satu sistem pendidikan kebangsaan pengantar bahasa Inggeris tetapi pengajaran bahasa ibunda diwajibkan.

Rakyat Singapura generasi kedua dan ketiga sekarang bangga dengan sistem pendidikan satu bahasa (bahasa Inggeris), satu kurikulum, peperiksaan dari rendah ke menengah dan universiti.

Ini dua contoh bagaimana satu sistem pendidikan mengguna satu bahasa utama/kebangsaan sebagai bahasa pengantar dapat memupuk rasa ‘kekitaan bersama’ dalam satu negara: Indonesia atau Singapura.

Teori dan amalan pembinaan negara bangsa dan identiti nasional melalui satu bahasa utama/ kebangsaan dan satu sistem pendidikan sudah lama diamalkan di Thailand, Vietnam, China, Taiwan, Perancis, Amerika Syarikat, Jepun, Korea Utara dan Selatan, Rusia, Finland, Belanda, Sepanyol, Arab Saudi, Mesir dan sebagainya.

Rakyat setiap negara ini ada identitinya dan bangga menjadi warganegaranya.

Cabaran

Kita semua tahu dalam kes Malaysia masalah dan cabaran besar adalah masalah penyatuan pelbagai kaum di negara ini dan pembentukan identiti negara yang semua merasa kekitaannya.

Elok saya ulangi sepintas sejarahnya.

Pada awal perjuangan ke arah mencapai kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu (1957), pemimpin pelbagai bangsa Melayu, Cina dan India di bawah kepimpinan Tunku Abdul Rahman Putra atas kebijaksanaan mereka, bersetuju sebagai satu ‘kontrak sosial’ menerima Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (dan kemudian Malaysia): Antara lainnya menerima bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan untuk semua urusan rasmi termasuk pendidikan.

Bahasa Melayu telah popular digunakan dalam komunikasi harian antara kaum. Ia mudah dipelajari dan dituturkan.

Tun Abdul Razak Hussein dan pemimpin ketika itu mengkaji apakah sistem pendidikan yang terbaik untuk negara Persekutuan Tanah Melayu (dan kemudian Malaysia), dan menerbitkan Laporan Pendidikan Razak 1956, di mana disyorkan satu sistem pendidikan yang menggunakan Bahasa Kebangsaan/ Melayu sebagai bahasa pengantar utama di semua peringkat: Rendah, menengah dan tinggi, sebagai sistem untuk membina negara bangsa; tetapi mereka akui bahawa proses ini hendaklah berperingkat-peringkat (gradual) mengambil masa beberapa waktu.

Anak-anak muda pelbagai kaum dan budaya terdidik pelbagai aliran sekolah dan berasingan terutama di peringkat rendah yang jelas berlainan bahasa pengantar.

Laporan Razak dijadikan Ordinan Pelajaran 1957, yang mula melaksanakan sistem Pendidikan Kebangsaan seperti yang dipersetujui, Laporan Razak dikaji semula (review) oleh Jawatankuasa Abdul Rahman Talib (1960).

Jawatankuasa ini mengakui bahawa dasar Laporan Razak (1956) dan Ordinan Pendidikan 1957 itu mempunyai asas yang baik.

Maka Akta Pelajaran 1961 pun diluluskan oleh Parlimen, yang menguatkan lagi perlaksanaan satu sistem pendidikan mengguna Bahasa Kebangsaan.

Dalam Artikel 21.2 (Akta Pendidikan 1961) itu memperuntukkan kuasa Menteri Pelajaran menukar mana-mana sekolah lain yang belum menggunakan Bahasa Kebangsaan (sekolah vernakular China, Tamil dan sekolah Inggeris) menjadikannya sebagai bahasa pengantar.

Apabila berlaku pergaduhan kaum 13 Mei 1969, ini menggoncang kestabilan negara.

Ini menunjukkan pembentukan negara bangsa dalam kalangan warga negara pelbagai kaum di Malaysia belum kukuh.

Jadi salah satu langkah untuk mengukuhkan pembentukan negara bangsa yang lebih kukuh dan bersatu ialah melaksanakan sistem Pendidikan Kebangsaan seperti yang terdapat dalam Akta Pelajaran 1961.

Maka mulai 1971 proses menukar bahasa pengantar pendidikan daripada bahasa Inggeris ke Bahasa Kebangsaan/Melayu dilaksanakan berperingkatperingkat mulai Tahun 1 di sekolah rendah ke menengah dan peringkat ijazah pertama universiti 1981.

Dalam tempoh 1980–2003 perkembangan dan penggunaan Bahasa Kebangsaan sebagai mbahasa komunikasi rasmi dan tidak rasmi meluas.

Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, pemikiran dan penulisan bertambah pesat: penciptaan istilah, penerbitan karya sastera, buku, ensiklopedia dan jurnal ilmu oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan universiti pelbagai bidang dan disiplin.

Malangnya pada masa ini (masa peralihan ke Bahasa Kebangsaan 1970-an), atas pujukan dan rayuan Dong Zong dan MCA, sekolah rendah Cina minta dikecualikan dan tidak diarah tukar ke Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar; separuh sekolah menengah Cina menukar menjadi Sekolah Menengah Kebangsaan pengantar Bahasa Kebangsaan, pelajarnya mengambil SPM dan STPM.

Sistem Pendidikan ‘Kebangsaan’ Malaysia yang masih terpisah-pisah tidak memberi peluang anak-anak muda Malaysia belajar dan bermain bersama dengan Bamesra, ‘di bawah satu bumbung’ untuk memupuk kesefahaman dan kemesraan berdasarkan pengalaman bersama dalam satu sekolah sistem pendidikan kebangsaan seperti dihajati Laporan Razak dan Akta Pelajaran 1961 dan 1996.

Kefahaman

Adakah pengiktirafan UEC membantu merapatkan jurang pemisah kefahaman dan kemesraan pelajar pelbagai kaum?

Kerajaan tidak boleh mengiktiraf Sijil UEC sebab ia menyentuh kepentingan dan kedaulatan negara di mana kerajaan boleh ditakrifkan sebagai mencabul kedaulatan undang-undang, Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara sebagaimana jawapan Datuk P Kamalanathan, mantan Timbalan Menteri Pendidikan pada 29 Mac 2016 di Parlimen.

Pada asasnya mengiktiraf Sijil UEC untuk masuk ke universiti awam bermakna mengiktiraf (legitimise) sistem Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC – yang sekarang 61 buah semuanya) sebagai satu lagi ‘aliran’ sistem kebangsaan Malaysia.

Sistem Pendidikan sekarang nyata makin terpisah-pisah (segregated) dan lemah sebagai alat membina kemesraan dan identiti negara bangsa dalam kalangan anak-anak muda Malaysia.

Ke mana Malaysia pada masa depan?

Nyata pengiktirafan UEC akan menambah buruk lagi sistem Pendidikan Kebangsaan Malaysia yang terpisah-pisah.

Artikel lain: 

Melta saran KPM sedia sistem penilaian khas, bukan MUET

Kelas hanya dipisahkan dengan kain - SMI Darul Izzah perlu RM500,000 untuk siapkan bangunan

Dewan dimakan anai-anai, YB bimbang keselamatan murid masalah penglihatan, mohon KPM baiki segera

Budak lari lawan arah: Aishah ketakutan setelah hiburkan satu Malaysia

Guru Terengganu dominasi anugerah Hari Guru, JPNT sifatkan kenangan paling manis