KUALA NERUS - Bagi memperkasakan pembelajaran dan pengajaran (PdP) khususnya dalam aspek pembacaan al-Quran dan hafazan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)  membangunkan Studio al-Quran yang pertama di universiti itu.

Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, kos pembinaan studio yang diberi nama Studio Al Quran Ibn Al Jazari itu adalah berjumlah RM 360,601.

“Sebanyak RM 120,713 pembinaan fizikal studio menggunakan dana zakat UniSZA di bawah asnaf fi Sabilillah,  manakala selebihnya adalah peruntukan universiti bagi pembelian peralatan computer.

“Kami harap semoga ianya benar-benar dapat dimanfaatkan ke jalan Allah sesuai dengan matlamat utama peruntukan zakat dikeluarkan untuk pembinaannya,” katanya ketika merasmikan studio tersebut.

Katanya lagi, studio yang di  bawah jagaan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI) itu turut boleh digunakan oleh fakulti lain bagi tujuan PdP, mesyuarat dan temuduga dalam talian.

“Semoga studio ini dapat memberi manfaat yang semaksimun mungkin kepada seluruh mahasiswa UniSZA terutamanya penuntut Ijazah Sarjana Muda (ISM) al Quran dan al Sunnah (Qiraat),” katanya.

Sementara itu, siswa ISM Bahasa Arab, Syarifah Marsya Fariha Syed Kamaruddin berkata, dia begitu bersyukur dan berterima kasih kepada UniSZA atas kemudahan yang sistematik dan tersusun yang disediakan itu.

“Studio ini dapat memberi penuntut tahfiz untk belajar al-Quran dengan lebih mudah melalui pembelajaran dalam talian.

“Sebelum ini, saya pergi ke bilik-bilik pensyarah untuk belajar al-Quran tapi bila wujudnya studio ini ia lebih mudah untuk saya mmemperbetulkan bacaan al-Quran”, katanya.

Siswa ISM Dakwah, Muhamas Muwardi Aziz pula berharap agar penuntut dapat memanfaatkan dan menggunakan studio itu dengan sebaiknya.

Sumber: Portal UniSZA

Artikel menarik

Yayasan Peneraju terus lahirkan World Prize Winner dalam peperiksaan CAT dan ACCA

Maskot watak adiwira Ultraman, Spiderman, Ironman sambut kehadiran murid SK Setia Alam