Menurut Kamus Dewan 2007: 1787, vandalisme merujuk kepada perbuatan membinasakan atau merosakkan harta benda awam atau persendirian. Dalam erti kata lain, vandalisme itu adalah membuat sebarang perubahan seperi melukis, menanda, mengecat, menampal, merosakkan atau mengotorkan harta benda awam.

Namun berlainan pula kisahnya, guru dari SMK Kulai Besar, Johor ini. Vandalisme atau contengan yang dibuat dengan menggunakan whiteboard marker pada dinding sekolah itu bukan sahaja bertujuan untuk mencantikkan dinding sekolah. Tetapi juga sebagai terapi dan hobi pada masa lapang.

Menurut Guru Bahasa Inggeris, Cikgu Shahrizal Sha’ari, beliau turut mengambil tempahan untuk sesiapa yang berminat.

“Tidaklah sukar untuk menghasilkan doodles yang menarik. Selalunya idea tu datang sendiri, atau tengok-tengok juga di internet mana yang cantik dan sesuai.

“Saya ada stail tersendiri, jika ada bahan yang nak dilukis serta tangga, tak sampai seminggu siaplah sebuah doodles di dinding,”katanya kepada GPSBestari.

Kata guru asal Kuala Terengganu itu, dia sering berkongsi idea doodles di instagram miliknya iaitu Doodle_mural.

“Doodle ni sebenarnya dah lama bertakuk dalam industri seni ni. Kebiasaannya saya lukis ikut apa yang orang suruh buatkan. Kebanyakan hasil lukisan saya mengambil inspirasi daripada haiwan, tumbuhan, alien, robot dan lain-lain lagi.

“Di sekolah saya mengajar subjek Bahasa Inggeris untuk pelajar kelas belakang. Bila saya menggunakan kaedah melukis dalam pembelajaran, murid akan menjadi mudah faham dan fokus. Vocab mereka agak lemah, bila kita tunjukkan sahaja lukisan, mereka mudah mendapat jawapan dan ingat sesuatu itu dalam bahasa Inggeris,”katanya.  

Menurutnya lagi, awal-awal dahulu pelajar memang tidak suka melukis. Namun lama kelamaan mereka sudah terbiasa dan mudah menyesuaikan diri.

“Sehingga kini banyak perubahan yang boleh dilihat. Walaupun sukar pada mulanya, namun bila kita sentiasa tunjuk ajar, mereka menjadi mudah faham. Jika kita suruh mereka bina ayat, mereka masih ingat kosa kata yang dipelajari pada hari sebelumnya,”katanya.

Artikel Menarik:

Mulai tahun 2020, pakej mata pelajaran baharu bagi Tingkatan Empat dan Lima diperkenal KPM

Persediaan Matematik Tahun Enam 2020 - Pesanan penting guru ini 'kena mula dari sekarang'

'Perlu jaga imej' - Guru ini kongsi empat elemen imej yang perlu ada pada pendidik

'Tidak layak ke sekolah berasrama penuh, bukan gelap masa depan' - Penulis ini kongsi pengalaman